KUALA LUMPUR 19 Mei - Kediaman bertanah terus menjadi pilihan utama pembeli meskipun berdepan dengan isu kemampuan dan masalah kewangan, menyebabkan permintaan lebih perlahan.
Data yang dikeluarkan PropertyGuru DataSense dalam Laporan Pasaran Hartanah Malaysia (MPMR) pada suku kedua 2022 menunjukkan Indeks Harga Jualan Hartanah Bertanah meningkat 1.1% suku ke suku manakala 3.64% tahun ke tahun.
Turut direkodkan adalah penurunan sebanyak 1.96% suku ke suku dalam Indeks Permintaan Jualan Hartanah Bertanah, walaupun mencatatkan peningkatan 5.21% tahun ke tahun.
Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Shylendra Nathan berkata,
sentimen pengguna dalam pasaran hartanah kemungkinan akan bertambah baik seiring dengan pemulihan ekonomi negara, yang dijangka dapat dilihat pada tahun ini.
"Kami dapati potensi untuk permintaan hartanah akan mula pulih pada suku akan datang, kerana rakyat Malaysia yang berkemampuan akan melihat hartanah sebagai lindung nilai terhadap inflasi.
"Dengan mengambil kira kelebihan nilai tanah, kenaikan harga hartanah bertanah menawarkan margin yang lebih besar untuk naik nilai modal dalam jangka panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Indeks Harga Jualan Hartanah Bertingkat Tinggi MPMR, harga untuk hartanah berstrata jatuh sebanyak 0.23% suku ke suku pada suku pertama 2022 dan hanya mencatatkan kenaikan 0.51% tahun ke tahun dalam tempoh sama.
Bagaimanapun, bekalan hartanah bertingkat tinggi terus meningkat sebanyak 3.25% suku ke suku dan 18.24% tahun ke tahun.
Ini menunjukkan ketidakpadanan harga dengan hasrat pembeli untuk faktor-faktor lain seperti lokasi, kemudahan dan kebolehcapaian.
Dari sudut sewaan, didapati Indeks Harga Sewa Hartanah Bertingkat Tinggi naik sedikit sebanyak 0.91% bagi suku ke suku dan meningkat 0.2% tahun ke tahun, manakala Indeks Permintaan Sewa Hartanah Bertingkat Tinggi mencatatkan peningkatan suku ke suku sebanyak 6.08% dan lonjakan 111.23% tahun ke tahun pada suku yang lalu.
Ini menunjukkan bakal pembeli rumah terutamanya mereka yang telah menangguhkan rancangan pembelian buat sementara waktu bagi menunggu ekonomi kembali stabil telah mengubah keutamaan mereka kepada menyewa.
Menurut Shylendra, hasrat pembelian pengguna sedang terjejas buat masa ini, seperti yang dapat dilihat dengan peningkatan dalam Indeks Permintaan Sewa Hartanah Bertingkat Tinggi.
"Kami telah melihat corak permintaan yang stabil bagi golongan milenial yang menyatakan hasrat terhadap kondominium di lokasi strategik.
"Namun, kekurangan perolehan dan penanggungan bagi unit bertingkat tinggi ini, walaupun banyak yang tidak terjual, telah menunjukkan ketidakpadanan harga terhadap ‘selera’ semasa pembeli," jelasnya.
Menurut Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2021 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), secara keseluruhannya terdapat penambahbaikan nyata dalam sektor ekonomi dan kewangan.
Tetapi laporan itu mendapati jumlah tinggi hartanah tidak terjual kekal sebagai isu utama bagi industri perumahan.
Laporan tersebut menyatakan lebih 180,000 unit dalam pasaran perumahan masih tidak terjual, mencerminkan isu ketidakmampuan sedia ada yang diburukkan lagi oleh pandemik.
Ini konsisten dengan Indeks Bekalan MPMR, dengan trend peningkatan terus berlaku, memperoleh 0.31% suku ke suku dan 19.1% tahun ke tahun pada suku pertama 2022 berdasarkan jumlah keseluruhan hartanah yang disenarai.
Beliau berkata, meskipun terdapat petunjuk optimis yang pasaran akan bertambah baik dan pemulihan beransur-ansur dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini, pembeli rumah terus dihalang oleh ketidakmampuan, ketidakupayaan untuk mendapatkan pembiayaan, jaminan pekerjaan dan kestabilan ekonomi secara keseluruhan.
Selain itu, katanya, dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) daripada 1.75% kepada 2%, faedah gadai janji pembeli dan pemilik rumah sedia ada dan masa hadapan akan terjejas, seterusnya melemahkan keyakinan pembelian.
"Pendekatan 'tunggu dan lihat' yang diambil pembeli diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik yang berterusan dan ketidaktentuan dasar ekonomi dan kesihatan, yang terus melembapkan pasaran.
"Sementara kita menunggu penambahbaikan terhadap faktor-faktor luaran ini, penjual perlu mengambil inisiatif untuk memberi insentif kepada pembeli dengan pakej menarik untuk merangsang pasaran”, katanya. - DagangNews.com