Kedudukan fiskal negara masih kukuh, hutang yang tinggi tidak bermakna negara berisiko bankrap - tegas Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Kedudukan fiskal negara masih kukuh, hutang yang tinggi tidak bermakna negara berisiko bankrap - tegas Tengku Zafrul

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Julai - Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa kedudukan fiskal negara 
masih kukuh dan hutang Kerajaan Persekutuan di tahap terkawal. 

 

Ini sekali gus menangkis  dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini, tegas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

"Walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini, kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang. 

 

"Ini membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran 
balik yang baik," jelasnya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

MOF

 

 

Menurutnya, 97% daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit dan ini mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing
adalah minimum.

 

Malah, tegas beliau, paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan.

 

"Pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus yang utuh dan kedudukan luaran yang baik, serta kekukuhan ekonominya.

 

"Pihak Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus," katanya.

 

Baru-baru ini, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara.

 

Pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undangundang sedia ada, antara lainnya, Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang berbanding perbelanjaan operasi yang lain.

 

Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir tidak boleh melebihi RM35 bilion. Setakat akhir Jun 2022, hutang ini berjumlah RM29.4 bilion.

 

Selain itu, Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 20212 menetapkan bahawa had statutori hutang kerajaan tidak boleh  melebihi 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada akhir Jun 2022, hutang statutori mencatat 60.4% daripada KDNK.

 

Tengku Zafrul juga memberitahu, pihak MoF telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara.

 

"Ini kerana ia dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia," katanya. - DagangNews.com