Kedudukan kandungan kreatif dalam wilayah ekonomi & pembangunan serantau | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 2 April 2021

KEDUDUKAN KANDUNGAN KREATIF DALAM WILAYAH EKONOMI & PEMBANGUNAN SERANTAU

 

 

PADA zaman pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi, Malaysia memperkenalkan wilayah ekonomi yang berperanan sebagai salah satu usaha mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah. Maka, lahirlah ketika itu lima buah wilayah ekonomi di seluruh negara iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Iskandar Malaysia (dahulunya Wilayah Pembangunan Iskandar), Wilayah Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

 

Daripada kelima-lima wilayah ekonomi ini, hanya satu wilayah iaitu Iskandar Malaysia yang meletakkan industri kreatif sebagai salah satu komponen utama dalam agenda pelan pembangunan wilayahnya. Perkara ini tidaklah dilihat pelik – kerana sememangnya satu daripada tujuan mewujudkan koridor wilayah ekonomi ini adalah melalui pendekatan mengenal pasti sektor utama dan pengkhususan yang berpotensi bagi setiap wilayah – bagi menjadi fokus pembangunan yang terarah.

 

Bagaimanapun, saya melihat bahawa sifat industri kreatif, khususnya kandungan kreatif yang berfungsi dan diperlukan dalam silang-industri membolehkan usaha memposisikan industri ini di kelima-lima wilayah ekonomi terbabit sebagai sesuatu yang relevan dan boleh diusahakan.

 

Sebagai contoh, kandungan kreatif boleh diintegrasikan sebagai satu daripada komponen dalam tunggak pembangunan sumber manusia yang menjadi antara keutamaan di NCER; dengan melahirkan hab latihan animator dan tenaga kerja mahir perfileman di koridor utara. Kandungan kreatif juga boleh diposisikan sebagai komponen utama dalam tunggak pembangunan pelancongan yang menjadi objektif-objektif utama di ECER.

 

PakLah

 

Saya melihat usaha pemetaan (mapping) dan integrasi ini boleh digerakkan oleh agensi pembangunan industri kandungan kreatif – dalam usaha memastikan kandungan kreatif akan sentiasa relevan dan diambil kira dalam pelan induk pembangunan ekonomi negara.

 

Ia juga boleh membantu dalam merangka strategi pembangunan industri kandungan kreatif yang holistik dan menyeluruh di seluruh negara – bagi mengurangkan lambakan dan tertumpunya sektor industri ini di Kuala Lumpur dan Lembah Klang semata-mata.

 

Pendekatan Indonesia untuk menghapuskan `Jakarta-centric` bagi industri perfilemannya telah melahirkan industri yang berkembang di bandar-bandar selain Jakarta seperti Jogjakarta dan Batam ketika ini.

 

Selain wilayah ekonomi yang diwujudkan oleh pihak kerajaan Malaysia, terdapat juga beberapa kerjasama antara negara yang dirangka oleh beberapa negara – bagi mewujudkan wilayah perdagangan antara kawasan/negara yang berjiran.

 

Inisiatif Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang meliputi Sumatera di Indonesia, sebahagian Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand. Kerangka kerjasama antara negara ini dilancarkan pada tahun 1993 yang mana Malaysia diterajui oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri sebagai agensi penyelaras.

 

imt-gt

 

Kerjasama ini meletakkan tujuh tonggak utama meliputi pertanian & industri agro, pelancongan, produk & perkhidmatan halal, pembangunan sumber manusia, pengangkutan & teknologi komunikasi maklumat, perdagangan & pelaburan serta alam sekitar.

 

Kerjasama ini berpotensi untuk dieksploitasi sebaiknya dalam digunakan sebagai platform menggalak kerjasama dan pelaburan antara kawasan/negara di wilayah ini dalam sektor kandungan kreatif. Sebagai contoh, IMT-GT boleh menjadi pemudahcara menggalak kerjasama antara penerbit kandungan kreatif di utara Malaysia dan selatan Thailand berlatar lokasi kedua kawasan ini.

 

Kerjasama melalui platform IMT-GT ini berkemungkinan (malah dapat dirancang) membolehkan ia diberikan akses pasaran kedua negara – sekaligus menggalak sektor pelancongan untuk pelancong dari kedua kawasan dalam wilayah ini untuk saling melengkapi – berkunjung ke lokasi pelancongan antara satu sama lain.

 

Selain itu, satu lagi wilayah pembangunan antara negara yang disertai Malaysia  adalah Wilayah Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) – yang mana untuk kawasan di negara kita meliputi Sabah, Sarawak & Labuan. BIMP-EAGA ini pula menetapkan lima komponen atau tunggak utama iaitu kesalinghubungan, rantaian makanan, pelancongan, alam sekitar serta sosio-budaya & pendidikan.

 

BIMP-EAGA

 

Jika BIMP-EAGA ini boleh digunakan sebagai platform bagi syarikat di kawasan terbabit menawarkan perkhidmatan kandungan kreatif antara negara – ia akan membuka potensi pelanggan yang lebih luas.

 

Organisasi antara negara yang lebih dominan seperti Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) serta pertubuhan Negara-Negara Komanwel juga boleh digunakan sebaiknya sebagai salah satu kegiatan silang-budaya, yang secara tidak langsung mampu mengangkat kandungan kreatif sebagai elemen yang menyerlah dalam industri budaya (cultural industry) dan ekonomi budaya (cultural economy).

 

ASEAN contohnya yang meletakkan ASEAN Komuniti Sosio-Budaya sebagai salah satu daripada tiga tunggak utamanya – mampu dieksploitasi sebagainya oleh Sekretariat Kebangsaan ASEAN Malaysia (AMNS) dengan sokongan negara anggota dalam mewujudkan pasaran bebas filem dengan kuota tahunan bilangan tertentu contohnya – sebagai usaha pencetus mewujudkan pasaran filem ASEAN yang lebih luas di kalangan penerbit dari negara anggota.

 

Usaha meluaskan pasaran produk budaya memerlukan usaha penyuburan berperingkat – yang boleh didukung kerjasama antara kerajaan – sekaligus membangunkan satu identiti ASEAN – selari hasrat yang digariskan oleh sekretariat induk ASEAN yang berpejabat di Jakarta.

 

asean

 

Setelah ia didukung kerajaan dan kemudiannya menjadi kelaziman – proses pengkomersialan akan berfungsi secara sendirinya – sepertimana contoh yang digerakkan oleh kerajaan Korea Selatan untuk membudayakan budaya K-Pop mereka ke luar negara pada tahun 1990-an dan 2000-an – sehingga akhirnya kini industri K-Pop yang sudah menjadi sebahagian daripada elemen penting globalisasi dan mampu bergerak sendiri atas nilai komersialnya yang tinggi.

 

Inisiatif-inisiatif yang saya sebutkan di atas hanyalah sekadar contoh potensi yang berkemungkinan boleh diusahakan – menurut pandangan saya – yang mana mungkin praktikal untuk diusahakan – malah mungkin juga tidak sesuai atas pelbagai alasan.

 

Namun, gambaran besar yang ingin saya sampaikan adalah tentang bagaimana potensi besar yang boleh dicapai sekiranya wilayah ekonomi dan wilayah pembangunan yang ada ini dapat dieksploitasi sebaiknya oleh industri kandungan kreatif.

 

Apabila disebut tentang inisiatif kerajaan berhubung perdagangan, pelaburan dan sebagainya secara umum – jarang industri kandungan kreatif mengambil peranan. Penggiat industri kandungan tidak harus menyempitkan potensi dengan hanya tertarik kepada inisiatif, misi, acara dan dukungan yang berlabelkan `filem’, `kandungan’ dan `digital’ semata-mata.

 

Matrade

 

Penerbit kandungan tidak harus lagi hanya tertumpu ke pasar filem/ kandungan semata-mata, tetapi harus aktif terlibat sama dalam delegasi perdagangan MATRADE contohnya untuk ke pelbagai negara bagi mencari peluang menawarkan perkhidmatan, mahupun produk kandungan telah dibangunkan kepada potensi bakal pelanggan dari pelbagai sektor – dari pendidikan, kewangan, pertanian, pembinaan dan sebagainya.

 

Usaha memposisi industri kandungan kreatif ke dalam kerangka ekonomi serta kerjasama antara negara merupakan antara pendekatan yang dilihat sangat penting dalam memastikan visibiliti dan signifikan industri ini kepada negara – khususnya di mata kepemimpinan utama negara – bagi memastikan industri ini sentiasa dalam senarai keutamaan mereka. - DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : 

Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia

POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO

COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI

Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek

ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?

BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags