Kegiatan cetak rompak 'curi' RM3 bilion setahun | DagangNews Skip to main content

Kegiatan cetak rompak 'curi' RM3 bilion setahun

 

 


KUALA LUMPUR 23 Feb. - Penggiat industri kandungan tempatan di Malaysia menyambut baik tindakan terbaharu pihak berwajib dalam memerangi isu cetak rompak digital yang giat berlaku di negara ini.

 

Rata-rata pihak penggiat industri bersetuju bahawa hukuman yang dikenakan ke atas perbuatan cetak rompak digital adalah tidak setimpal. 

 

Pesalah-pesalah ini telah mengakibatkan kerugian ekonomi yang berterusan jika tidak dibendung, di mana impaknya menjejaskan penggiat industri dan seluruh ekosistem di negara ini.

 

Kerugian tahunan yang disebabkan kegiatan cetak rompak digital ini dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada industri media dan hiburan. 

 

Ia juga melibatkan kehilangan sejumlah RM500 juta cukai pendapatan dan mengakibatkan beribu-ribu individu kehilangan pekerjaan.

 

Pada 8 Februari lalu, sebuah syarikat IT di Shah Alam adalah syarikat pertama telah didakwa di mahkamah kerana melanggar Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hakcipta 1987 kerana menjual apaapa teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut di dalam subseksyen 36A(3), Akta yang sama.

 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Pengarah tersebut mengaku bersalah dan sedang menunggu hukuman di mahkamah pada 1 Mac ini.

 

Pada 16 Februari pula, seorang wanita berumur 46 tahun mengaku bersalah di atas pertuduhan memiliki 6 unit Kotak TV Media yang mempunyai aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah. 

 

Tertuduh dedenda sebanyak RM30,000 di bawah Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menjadikan beliau sebagai pesalah pertama disabit kesalahan menjual peralatan perisian penstriman haram (ISD).

 

 

Yusof Haslam
Yusof Haslam

 

 

Dalam kenyataan penggiat industri media dan hiburan (E&M) hari ini, penerbit dan pengarah terkenal negara, Datuk Yusof Haslam berkata, tanpa usaha dan keazaman dari pihak berwajib, kegiatan cetak rompak digital akan terus berlaku. 

 

Perbuatan mencuri ini bukan perkara baru dan perlu diatasi sebaik mungkin oleh pihak penguatkuasa.

 

"Saya kesal melihat retorik yang kosong tanpa membawa sebarang penyelesaian kepada isu sebenar. Tanpa undang-undang yang tegas, cetak rompak akan berterusan dan merebak seperti barah kepada industri kreatif negara dan penggiatnya," katanya. 

 

Sementara itu, Pengarah Kawal-Selia Astro, Laila Saat berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan yang
dikenakan ke atas penjual Peranti Perisian Penstriman Haram (ISD). 

 

"Kami berjanji untuk terus bekerjasama dengan pihak berwajib dan rakan-rakan penyedia kandungan dalam menyampaikan mesej yang tegas bahawa cetak rompak adalah mencuri, haram dan boleh dikenakan tindakan undang-undang," tegasnya.

 

Cetak rompak pada hari ini dilihat seakan-akan menjadi kebiasaan sehingga ramai yang terleka dan terlupa bahawa ia merupakan sebahagian dari perbuatan mencuri. 

 

Cetak rompak adalah musuh utama industri, yang mana ia merompak hasil kerja setiap mereka yang terlibat dalam ekosistem kreatif tersebut; dari pelakon, penulis, penerbit, pengarah dan jurugambar, yang mana secara langsung menghalang sebarang pembangunan.

 

Jika cetak rompak dibiarkan berlaku tanpa sebarang tindakan, ia akan membantutkan segala usaha yang dilaksanakan industri hiburan. 

 

Ini kerana tiada mana-mana pihak yang akan membuat sebarang pelaburan ekonomi terutama ke atas kandungan yang dikategorikan premium seperti Piala Dunia FIFA, kerana khuatir akan risiko ia dicuri dan dipasarkan secara haram.

 

Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem (PFM), Zahrin Alias menambah, pada hari ini, penalti yang dikenakan ke atas mereka yang menggunakan kotak media mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta dilihat agak ringan. 

 

"Hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada mereka. Nilai kerugian yang perlu ditanggung oleh kerana
cetak rompak ini sudah tentu lebih tinggi dari hukuman denda yang hanya RM30,000," katanya.

 

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi pula berpendapat, cetak rompak digital yang menggunakan kaedah ISD ini telah lama membelenggu industri kreatif tanah air.

 

"Besar harapan kami agar sabitan hukuman yang dikenakan baru-baru ini bakal memberi sinar baharu kepada industri dan kes tersebut dijadikan penanda aras; seterusnya memberi keadilan kepada pemain industri kreatif tempatan khususnya, yang rata-rata merupakan mangsa kepada perbuatan jenayah ini,” tegas beliau.

 

Penggiat industri merayu kepada pihak kerajaan Malaysia untuk melakukan kajian semula ke atas undang-undang sedia ada. 

 

Ia tidak memberi perlindungan menyeluruh kepada pemilik hakcipta yang merangkumi setiap kerja-kerja kreatif yang diusahakan.

 

Cetak rompak digital perlu diperangi dengan memastikan hanya kandungan-kandungan yang distrim secara sah.

 

Tindakan tegas perlu diambil ke atas laman sesawang dan platform edagang yang menyediakan penstriman haram dan penjualan ISD secara terang-terangan.

 

Kerjasama juga diperlukan dari semua pihak terutamanya daripada penyedia kandungan, stesen-stesen penyiaran, pihak pengawal selia, badan-badan berwajib dan pengguna, hinggalah ke syarikat telekomunikasi, penyedia perkhidmatan internet dan pemain e-dagang. - DagangNews.com