Kehendak syariah bukan penghalang usaha seragamkan kaedah saringan saham | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 21 December 2021

Kehendak syariah bukan penghalang usaha seragamkan kaedah saringan saham

 

 

LANJUTAN daripada penulisan minggu lalu, penulis ada menerangkan tentang perbezaan kaedah saringan saham patuh syariah yang diaplikasi oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Dow Jones Islamic Index (DJII), FTSE Islamik (FTSE) dan MSCI. Perbezaan kaedah ini menyebabkan status patuh syariah saham menjadi tidak konsisten.

 


Dari pandangan para penasihat syariah, mereka boleh menerima perbezaan kaedah yang digunakan dalam sesuatu kaedah saringan saham patuh syariah berdasarkan kepada proses mengubah pendekatan pandangan dari sudut ijtihad.

 

Mereka menerima perubahan dalam ijtihad apabila berlaku perubahan dalam teknologi, perubahan sistem ekonomi dan juga penerimaan perubahan dalam adat sesuatu negara selagi ia tidak melanggar batasan syariah.

 

Baca : Kaedah saringan saham berbeza, kepatuhan tetap sama

 

Ini termasuk kaedah saringan saham patuh syariah yang digunapakai oleh SC, DJII, FTSE dan MSCI yang mana, penetapan kaedah saringan yang dilakukan oleh jawatankuasa syariah mereka adalah berdasarkan kepada situasi setempat, keperluan semasa dan kesepadanan permintaan daripada pelabur untuk mencari saham patuh syariah yang berkualiti. 

 

Perubahan pendekatan dari sudut ijtihad ini mampu membantu perkembangan instrumen kewangan Islam dalam ekonomi.

 

Perubahan pendekatan dari sudut ijtihad ini menjurus kepada keputusan Majlis Penasihat Syariah SC dan para jawatankuasa penasihat Syariah DJII, FTSE dan MSCI memilih formula untuk nisbah-nisbah kewangan dalam kaedah saringan saham patuh syariah mereka.

 

Penggunaan jumlah aset (untuk SC dan FTSE), 36 bulan purata topi pasaran (untuk MSCI) dan nilai ekuiti pasaran (untuk DJII) sebagai denominator nisbah kewangan adalah contoh kepada ijtihad yang telah diputuskan oleh jawatankuasa penasihat syariah masing-masing. 

 

Kelainan denominator nisbah kewangan ini adalah bertujuan untuk menepati permintaan ekonomi serta menyaingi adat, budaya dan situasi sesebuah negara untuk mendapatkan saham-saham berkualiti yang patuh syariah.

 

Dalam usaha untuk menyeragamkan kaedah saringan saham ini, penulis merumuskan sebenarnya kehendak syariah dalam muamalat bukan penghalang, namun, ia bersifat sejagat (universal), menampung (accomodative) serta bersifat membina kepada keperluan ekonomi setempat yang mempunyai latar belakang serta adat budaya dan sistem ekonomi yang berbeza. 

 

Malah, ia bukannya bersifat tidak boleh ubah (qat’i) tetapi bersifat boleh berubah (zanni) untuk membangunkan ekonomi seluruh dunia, walau di mana-mana negara, tempat, masa dan keadaan. 

 

Perbezaan kaedah saringan saham patuh syariah ini telah membuka peluang inovasi instrumen kewangan Islam dan seterusnya berjaya menarik minat pelabur untuk melabur dalam saham-saham patuh syariah yang diapung dalam bursa-bursa seluruh dunia. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags