Keindahan Dunia Melayu melalui Pantun | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 22 August 2022

KEINDAHAN DUNIA MELAYU MELALUI PANTUN

 

 

 

Tempayan pecah di legar taman,

Di tengah panas, di siram hujan;

Ancaman dunia, wahai teman,

Bertambah kancah, bertambah bentan.

 

Di tengah panas, disiram hujan,

Sudah bersepai zaman berzaman;

Bertambah kancah, bertambah bentan,

Hingga di belai jiwa budiman.

 

Sudah bersepai zaman berzaman,

Marilah tampal dan betulkan;

Biar dibelai jiwa budiman,

Sebelum terlambat, jangan biarkan.

 

Retak seribu jangan biarkan...

 

World Lie Broken

Lie broken in the garden,

A terraccota pot of elements;

Like the many world problems,

Incessant waves of disagreements.

 

A terracota pot of elements,

Made whole with glue and sand;

Incessant waves of disagreements,

You and I can put to an end.

 

Made whole with glue and sand,

Beautiful and useful once again;

You and I can put to an end,

If we put together our hearts, our hands.

 

Do not let all turn to grainy sand...

 

Un pot de terre

Fait tout avec du sable et de la colle,

Un pot de terre cuite beau à nouveau;

Nous pouvons arrêter tous les problèmes,

Si nous mettons tout notre cœur, nos mains.

 

Ne le laissez pas trop tard, mon cher Regardez et voyez la vérite

 

  • ninotaziz


 

hikayat

 

 


Saya agak lambat jatuh cinta dengan pantun dan kesusasteraan Melayu terutamanya Hikayat Melayu yang ditulis pada abad ke-16 dan ke-17. 

 

Seperti ramai kanak-kanak Malaysia, saya membesar dengan membaca dongengan Grimms, Perrault dan Anderson Fairy Tales. Ada juga sedikit sebanyak Hikayat Melayu, Persia. Cina. Indian. Dan mitologi Jepun yang menjadi kegemaran saya,

 

Namun, sudah tentu  saya mengenali Pantun Melayu. Dari kecil, nenek saya di kampung kerap  menyampaikan nasihat dalam bentuk pantun secara santai dan bersahaja apabila kami menziarahinya. 

 

Siapa Cepat Dia Dapat. 

 

Tak Tumbuh Tak Melata 

Tak Sungguh Orang Tak Mengata 

 

Sikit Sikit Lama Lama Jadi Bukit 

 

Ternyata, apabila tinggal bersama datuk dan nenek di kampung, saya mula menyelami dunia Alam Melayu yang cukup indah.  

 

Saya belajar menari tarian Melayu - Joget, Inang, Zapin. Persembahan teater Melayu seperti Wayang Kulit dan Makyong menjadi kegemaran. Saya bermain gamelan. Dan menaiki bot melihat cara hidup di tepi sungai. 

 

Cara hidup Alam Melayu perlahan-lahan membentuk naluri dan nurani saya. 

 

Alam Pantun Melayu

Bertahun-tahun kemudian, saya menjumpai sebuah buku, Alam Pantun Melayu - kajian Pantun Melayu, yang ditulis oleh Francois Rene Daillie dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur. Monsieur Daillie menulis dalam bab pertama - Pantun Melayu sebagai pengembaraan dalam kesusasteraan dunia.


 

hikayat

 


"Saya sentiasa menganggap kesusasteraan sebagai satu pengembaraan, iaitu, secara etimologi, sesuatu yang berlaku kepada anda, bahawa anda perlu lalui sehingga ianya kejadian yang mempunyai kesan mendalam ke atas jiwa dan raga anda…Pada saya, penemuan dengan pantun Melayu merupakan salah satu episod yang paling menarik serta satu elemen utama keseluruhan pengembaraan hidup saya…Kehidupan dan kesusasteraan saling berkait rapat." 

 

Cinta dan kasih Francois Rene Daillie kepada Pantun Melayu terus membuka mata saya. 

 

Pada beliau, pantun adalah sebati dengan cara hidup dan pemikiran Melayu. Rene Daillie berkongsi falsafah dan penyelidikannya dengan cara yang benar-benar terperici dan dengan penuh rasa sayang dan hormat. 

 

Melalui kaca mata Francois Rene Daillie, saya jatuh cinta dengan pantun.  Sejak itu, saya mula mempelajari dan menghargai Pantun Melayu. 

 

Dari yang paling mudah,

 

Buah cempedak di luar pagar,

Ambil galah tolong jolokkan;

Saya budak baru belajar,

Kalau salah tolong tunjukkan.

 

Hinggalah yang penuh kiasan

 

Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih hamba lurutkan,

Hilang emak hilang saudara,

Kerana kasih hamba turutkan...

 

Sebenarnya kedua-dua pantun ini begitu tinggi nilai seninya. 

 

Bentuk pantun

Pantun boleh membayangkan kasih sayang, nasihat, komedi, sinis, satira,  ilmu. Terdapat juga Pantun Baba Nyonya dan dalam dialek Melayu lain. 

 

Keperluan pertama dan terpenting dalam mewujudkan PANTUN adalah pemerhatian dan minat terhadap persekitaran dan alam semulajadi. Yang kedua, menukarkan  pemerhatian ini menjadi metafora atau pembayang maksud. Pantun terbaik juga merupakan pembayang  bunyi! Bukan mudah!

 

Kemudian mesej sebenar pantun disampaikan dalam bentuk formal Pantun. 


 

hikayat

 


Pantun boleh mempunyai 4 baris, 6 baris atau 8 baris dari bentuk Abab, ABCABC atau ABCDabcd. Dalam bentuk yang paling elegan, separuh pertama Stanza biasanya merupakan metafora atau petunjuk tentang apa yang akan datang pada dua atau empat ayat terakhir. 

 

Untuk Pantun Berkait, garisan bergantian kedua diulangi di Stanza berikut. Pantun Berkait amat digemari penyair Perancis dan novelis abad ke-19 seperti Victor Hugo dan Baudelaire dan mejadi asas pada ‘pantoum’. 

 

Daillie berkata, "Pantun Melayu boleh diletakkan di antara pencapaian tertinggi manusia dalam bentuk seni ini ... Pantun Melayu boleh bersaing dengan genre terkenal seperti Haiku Jepun atau Sonnet Eropah."  Kadangkala, melalui pandangan 'orang asing' kita boleh mengenali semula sesuatu yang begitu indah seperti pantun.

 

Marilah kita mendoakan bahawa pantun akan kekal selama-lamanya. Saya tidak mahu anak-anak kita hanya akan dapat mendengar Pantun di majlis perkahwinan. Atau cucu-cucu yang belum lahir, tidak dapat mengenali pantun sama sekali.
 

parafrasa

Monsieur F R Daillie berkata dalam bukunya, "... Pantun tidak pernah mendapat kemasyhuran yang sepatutnya, walaupun pengenalannya ke dalam puisi abad ke-19 di bawah nama'pantoum'." 

 

Banyak perlu dilakukan supaya Pantun Melayu diiktiraf di peringkat antarabangsa demi keindahan bahasa, kesusasteraan dan kualitinya. Kini pantun telah mendapat pengiktirafan UNESCO di atas kerjasama Malaysia dan Indonesia.  Tapi selagi pantun hanya digunakan di majlis perasmian dan perkahwinan, pemuliharaan pantun agak merudum. 

 

Pantun mesti bergerak seiringan dengan masyarakat. - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA
Portfolio Tags