Kejayaan program vaksinasi membolehkan pemulihan ekonomi negara - Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kejayaan program vaksinasi membolehkan pemulihan ekonomi negara - Pakar Ekonomi

Gambar panorama Kuala Lumpur oleh CHUTTERSNAP

 

 

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Sept –  Malaysia akan terus kekal sebagai negara yang mampu menarik pelaburan asing walaupun negara masih berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19, menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

 

Katanya, Malaysia sememangnya sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian masyarakat dan budaya yang seharusnya menjadikan negara ini unik dan mudah untuk didiami.

 

“Perkara ini seharusnya merupakan suatu kelebihan yang mana para pengusaha dari luar negara akan mudah menyesuaikan diri apabila mereka melabur di negara ini.

 

Selain itu, tenaga buruh yang ramai dan populasi yang muda serta dasar kerajaan yang mesra perniagaan dan pelaburan seharusnya dapat menarik perhatian para pelabur untuk datang ke negara ini,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Beliau ditanya sama ada Malaysia masih menjadi negara pilihan bagi pelabur luar negara walaupun terdapat laporan yang mengatakan pelabur kurang minat untuk melabur disebabkan nilai ringgit yang rendah.

 

Menurut Mohd Afzanizam, “Faktor keamanan juga jelas menjadikan negara sebagai sebuah tempat perniagaan yang sihat untuk beroperasi.

 

“Justeru, kelembapan nilai ringgit sepatutnya membantu dalam meningkat nilai daya saing negara,” jelas beliau.

 

Beliau berkata kebimbangan terhadap COVID-19 serta ketidaktentuan politik juga memberi kesan kepada aliran modal asing.

 

“Meskipun demikian, rata-ratanya Malaysia merupakan destinasi pelaburan dan perniagaan yang baik disebabkan oleh infrastruktur seperti logistik, jalan raya, kemudahan awam serta perundangan yang komprehensif yang seharusnya dapat menjamin daya saing sesebuah perniagaan,” ujar beliau.

 

 

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

 

Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Mohd Azmin Alu baru baru ini mengumumkan bahawa Malaysia merekodkan pelaburan baharu berjumlah RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama tahun ini.

 

Jumlah itu adalah lonjakan 95.6% berbanding RM41.2 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Ditanya tentang perkembangan ekonomi negara, Mohd Afzanizam berkata: “Saya memang berpandangan bahawa kunci kepada pemulihan ekonomi yang konsisten dan mampan adalah bila ekonomi Malaysia akan dibuka.

 

“Kita sedia maklum bahawa program vaksinasi telah berjalan dengan lancar dan ini memungkinkan bagi pembukaan ekonomi yang lebih meluas. Dan terbukti, telah banyak negeri yang kini diklasifikasikan sebagai fasa 2 dan 3 dibawah Program Pemulihan Negara (PPN).

 

“Justeru, ekonomi dijangka akan lebih baik lagi pada masa akan datang. Namun sentimen yang berhati-hati akan terus berlaku disebabkan risiko peningkatan kes baru akan sentiasa ada,” tegas beliau.

 

Menyentuh tentang sektor pelancongan yang baru dibuka semula,  Mohd Afzanizam berkata: “Seharusnya (ia akan menjadi) lebih baik lagi setelah ekonomi mula dibuka secara beransur-ansur.

 

‘’Namun, ia dijangka akan terus menghadapi banyak kekangan disebabkan sempadan negara yang masih lagi ditutup.

 

“Oleh itu, para pelancong dari luar negara dijangka begitu terhad. Perkara ini menandakan bahawa potensi pertumbuhan bagi sektor pelancongan belum lagi mencapai tahap yang sepenuhnya disebabkan kekangan yang masih lagi berkuatkuasa,” tambah beliau. DagangNews.com