Kejuruteraan Asastera pasang sistem solar di Mydin terbesar Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kejuruteraan Asastera pasang sistem solar di Mydin terbesar Malaysia

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) memperoleh tawaran pemasangan sistem solar dengan kapasiti keseluruhan berjumlah 4,971 kilowatt peak (kwp), menurut makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ia diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, KAB Smart Solar Energy Sdn. Bhd. (KSSE) yang menerima surat anugerah (LoA) dari Mydin Wholesale Emporium Sdn. Bhd. dan menandatangani perjanjian prinsipal dengan FT Hose & Hose Sdn. Bhd. (FT Hose).

 

KAB berkata, LoA dengan Mydin Wholesale Emporium melibatkan pemasangan grid sistem solar photovoltaic untuk Mydin Mall Tunjong di Kelantan, yang merupakan pusat beli-belah MyDin terbesar di Malaysia. 

 

Katanya, melibatkan anggaran kapasiti sebanyak 4,000 kwp, sistem solar ini akan dipasang secara berfasa dan dijangka mencapai tarikh operasi komersial pada suku ketiga 2022.

 

"Projek ini, yang dirancang untuk menghasilkan kira-kira 142 juta kilowatt jam tenaga boleh diperbaharui dijangka mampu mengurangkan kos tenaga sekitar RM50 juta dan meneutralkan 33,105 tan pelepasan karbon dioksida selama 25 tahun," katanya.

 

Sementara itu, bagi perjanjian dengan FT Hose pula melibatkan pemasangan 2 sistem solar di Ipoh, Perak dengan kapasiti masing-masing 521 kwp dan 450 kwp, menjadikan keseluruhannya 971 kwp.

 

Perjanjian ini telah berkuat kuasa dan tarikh operasi komersial dijadualkan pada suku ketiga 2022, jelas KAB.

 

"Sistem solar di 2 lokasi ini dijangka menjana 32 juta kilowat jam tenaga elektrik diperbaharui, mengurangkan kos tenaga hampir RM15 juta dan meneutralkan 7,460 tan karbon dioksida dalam tempoh 25 tahun," katanya.

 

Jelas KAB, di bawah LoA dan perjanjian itu, KSSE atau mana-mana anak yang syarikat yang dinamakan adalah pemilik sah sistem solar berkenaan.

 

Menerusi perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang akan dilaksanakan antara kedua pihak, Mydin
Wholesale Emporium dan FT Hose perlu membayar KSSE bagi tenaga elektrik yang dihasilkan sejajar dengan kadar tenaga solar yang dipersetujui dalam LoA dan perjanjian itu bagi tempoh 21 tahun. 

 

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, sistem solar itu akan membantu mengurangkan pelepasan karbon di samping menjana tenaga hijau pada kos yang rendah.

 

Katanya, kumpulan berharap dapat memberi kesan positif kepada Mydin Wholesale Emporium dan FT Hose dengan menggalakkan inisiatif pembangunan kelestarian.

 

"Kami berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dalam penyelesaian tenaga hijau dan menyokong komitmen Malaysia mencapai 20% penggunaan tenaga diperbaharui menjelang 2025.

 

"Dari perspektif perniagaan, PPA ini juga memberi manfaat kepada kami memandangkan ia menyediakan pendapatan berulang jangka panjang yang stabil," katanya.  

 

Setakat ini, KAB mempunyai kapasiti pemasangan solar sistem berjumlah 10.463 kwp termasuk PPA baru-baru ini yang ditandatangani dengan Tanaosree Thai Chicken Co Ltd, Aapico PCL dan Roongthavorn Plastic Co Ltd. - - DagangNews.com