Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Apa Kata Media Cina - 5 March 2022

KEJUTAN 6.1 PERATUS!

Nanyang Siang Pao & Oriental Daily, 3 Mac 2022

 

 

 

KESAN pandemik dan kenaikan inflasi global serta perang Rusia-Ukraine telah membawa kepada kekacauan global dan menjejaskan pemulihan ekonomi.

 

Apabila segala-galanya dalam keadaan tidak menentu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula telah membawa berita baik dan menggembirakan.

 

Pengumuman dividen bagi tahun 2021, adalah sebanyak 6.1% bagi Simpanan Konvensional dan 5.65% untuk Simpanan Syariah.

 

Ia jauh lebih tinggi berbanding tahun 2020 iaitu Simpanan Konvensional 5.2% manakala Simpanan Syariah adalah 4.9%.

 

Dividen ini melebihi ramalan pakar ekonomi dan jangkaan orang ramai, membuktikan bahawa KWSP adalah tabung simpanan persaraan yang terbaik. 

 

KWSP

 

Bagi rakyat yang terpaksa menghadapi kenaikan harga barangan, dividen KWSP yang stabil dan tinggi serta adanya ‘pendapatan yang memberi keuntungan’, sudah tentu kejutan ini memberi kelegaan dan rasa selamat.

 

Selain itu, ahli yang telah membuat pengeluaran kerana pandemik tidak akan merasa menyesal kerana keperluan mendesak.

 

Melihat dari sudut untung dan rugi, lebih ramai pencarum menjadikan KWSP sebagai ‘rujukan’. Oleh kerana kadar pembayaran dividen jauh lebih tinggi daripada deposit tetap bank dan saham, mereka yang mahu keuntungan rasional sudah tentu cenderung memilih untuk mencarum di KWSP. 

 

Serangan wabak COVID-19 benar-benar telah mengganggu rentak perancangan persaraan, kita perlu berusaha untuk menutup jurang ketidaksamarataan simpanan.

 

Sama ada dividen adalah tinggi atau sikit, ia tetap boleh memberi motivasi kepada rakyat, agar poket tidak sentiasa kosong. Rakyat perlu diterapkan dengan konsep ‘lebih banyak dan lama menyimpan, lebih banyak keuntungan yang diperoleh’.

 

Konsep ini adalah rasional dan ia juga boleh membantu membangunkan perancangan dan disiplin kewangan yang baik.

 

KWSP boleh dianggap sebagai dana kekayaan negara yang diuruskan oleh pakar dan pengoperasiannya adalah cemerlang.

 

Ia merupakan institusi yang paling boleh dipercayai dan reputasi sebegini sememangnya layak menjadi kebanggaan orang ramai.

 

KWSP

 

Tetapi selepas dua tahun wabak berleluasa, KWSP terpaksa akur dengan rancangan kerajaan untuk membantu rakyat dan berkompromi untuk membenarkan ahli membuat pengeluaran awal, bertentangan dengan tujuan penubuhannya.

 

Sehingga hari ini, ramai ahli politik yang berterusan memberi tekanan kepada KWSP untuk membenarkan pengeluaran yang lebih banyak.

 

Mujurlah kerajaan jelas adanya batasan pengeluaran untuk program bantuan dan membuat keputusan untuk menghentikannya.

 

Maka institusi ini boleh kembali kepada matlamat yang asal, iaitu melindungi ahli, melindungi persaraan dan melindungi masa depan.

 

Pakar ekonomi, Lee Heng Guie menjelaskan, orang ramai perlu memahami bahawa mereka boleh menikmati pulangan yang lebih tinggi daripada kadar dividen KWSP dengan dua cara iaitu:
 

1. Ahli adalah seorang pekerja dan boleh meminta majikan menaikkan kadar caruman KWSP. Tahun ini kerajaan membenarkan ahli memilih untuk menurun atau mengekalkan kadar caruman 11%. Maka sekiranya ahli yang telah menurunkan kadar boleh membuat peningkatan semula untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik.

 

2. Ahli boleh memasukkan simpanan sendiri atau deposit ke dalam akaun KWSP dengan jumlah RM5,000 sebulan, dengan maksimum RM60,000 setahun.

 

Menurut Lee, pandemik telah menyebabkan simpanan orang ramai semakin berkurangan, tambahan pula dengan kadar faedah simpanan tetap tidak tinggi antara 1-2% sahaja.

 

Lee Heng Guie
                                                       Lee Heng Guie

 

Sekiranya mahu meningkatkan tabung simpanan menerusi kadar dividen 6.1%, maka bolehlah mempertimbangkan untuk memindahkan simpanan tetap ke dalam akaun KWSP memandangkan keuntungannya adalah lebih dua kali ganda.

 

Ahli KWSP juga perlulah berhemat dalam pengurusan kewangan dan cuba untuk tidak menggunakan simpanan mereka.

 

Kenaikan dividen sebenarnya adalah taktik psikologi, memandangkan ekonomi sudah mulai pulih selepas pandemik.

 

Tetapi kadar faedah simpanan tetap tidak akan naik tinggi dan bank akan melakukannya secara berperingkat.

 

Pengumuman dividen KWSP 6.1% kali ini, lebih tinggi daripada unjuran pasaran.

 

Diharapkan pasukan pelaburan KWSP akan mengekalkan pelaburan yang bijak dan terus mengekalkan nisbah pembayaran dividen 6% ke atas. - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao dan Oriental Daily, 3 Mac 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags