Skip to main content

Kekacauan politik berisiko kepada pelaburan asing - CGS CIMB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Pergolakan politik hingga membawa kepada pengisytiharan darurat di negara ini akan memberi impak kepada pelaburan asing dalam pasaran ekuiti Malaysia, menurut CGS-CIMB. 

 

Berdasarkan penilaian awal firma penyelidikan itu, pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) akan meningkatkan risiko pendapatan korporat yang lebih tinggi manakala darurat pula akan menjejaskan sentimen pelabur asing. 

 

Walaupun mengekalkan unjuran FBM KLCI pada akhir tahun sekitar 1,759 mata tetapi pasaran akan terus tidak menentu disebabkan risiko politik dan kebimbangan terhadap hasil.  

 

"Kami berpendapat bahawa pengisytiharan darurat boleh melambatkan kemungkinan pengembalian pelaburan asing ke pasaran ekuiti Malaysia kerana ketidaktentuan politik. 

 

"Ini berlaku apabila 2 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), menjadikan kerajaan kini mempunyai 109 Ahli Parlimen daripada keseluruhan, 220," jelas penganalisisnya, Ivy Ng Lee Fang dalam nota kajian hari ini. 

 

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob mengumumkan keputusannya menarik diri daripada menyokong kerajaan PN berkuat kuasa serta merta dan terbaharu diikuti Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. 

 

Semalam, Yang Dipertuan Agong mengisytiharkan darurat di seluruh negara sehingga 1 Ogos 2021, kali pertama dalam tempoh lebih daripada setengah abad. 

 

CGS-CIMB menyifatkan langkah penggantungan Parlimen ini membolehkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengelak daripada menghadapi pilihan raya umum (PRU) sehingga pandemik COVID-19 ini berakhir. 

 

Keputusan itu dapat memberi Muhyiddin lebih kuasa untuk menangani lonjakan kes COVID-19 termasuk operasi di hospital swasta serta membolehkan polis dan tentera terlibat membantu dalam mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan awam.

 

"Tindakan ini mendapat kritikan ahli politik pembangkang yang menyalahkan Muhyiddin kerana gagal menangani wabak ini apabila ia semakin melonjak. Dalam masa sama, kerajaan didakwa menggunakan alasan ini (pandemik) untuk kekal berkuasa," katanya. 

 

Malaysia sekali lagi merekodkan angka harian tertinggi bagi jangkitan baharu COVID-19 apabila 3,309 kes dilaporkan setakat semalam menjadikan jumlah kumulatifnya mencecah 141,533 jangkitan dengan 30,390 kes aktif. 

 

Menurut Lee Fang, memandangkan perincian yang digariskan Perdana Menteri dilihat tidak mengehadkan aktiviti ekonomi seperti ditetapkan di bawah PKP 2.0, ia akan menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup pada kadar 0.7% bagi setiap 2 minggu PKP dilaksanakan. 

 

"Tambahan pula, dengan penguatkuasaan secara meluas dalam perundangan dan pembuat dasar menerusi kuasa darurat boleh meningkatkan pelaksanaan yang lebih konkrit bagi menyelesaikan krisis kesihatan dan kemerosotan ekonomi," jelas beliau. 

 

Impak darurat kepada pertumbuhan KDNK

 

Firma penyelidikan itu turut meninjau impak pengisytiharan darurat sepanjang tahun lalu yang dilaksanakan 79 negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

Ini termasuklah Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Perancis, Indonesia, Filipina dan Thailand. 

 

"Kami tidak dapat menafikan kesan kepada pertumbuhan KDNK apabila langkah-langkah darurat dilaksanakan, memandangkan COVID-19 menyebabkan berlakunya penguncupan ekonomi yang besar," katanya. 

 

Di Malaysia, Lee Fang berkata, satu-satunya pengisytiharan darurat di seluruh negara di bawah Ordinan Darurat 1969 ketika rusuhan kaum pada Mei 1969 yang berlarutan selama 21 bulan, tidak menjejaskan trajektori pertumbuhan pada tahun-tahun berikutnya. 

 

Bagaimanapun, ujarnya, perbandingan ini mungkin boleh diperdebatkan dengan mengambil kira situasi pada ketika itu dan hari ini. 

 

"Namun, tempoh darurat yang berlarutan dan kebimbangan akibat ketegangan politik di negara ini mungkin menyebabkan ketidaktentuan yang boleh menjejaskan sentimen perniagaan dan pengguna termasuk pelaburan langsung asing bagi tempoh sederhana dan panjang," katanya. - DagangNews.com