Skip to main content

Kekalkan Momentum PdPR Sehingga Hujung Tahun

Oleh KHALIJAH MOHD NOR dan NURBARIRAH AHMAD

 

 

KAEDAH Pengajaran dan Pembelajar di Rumah (PdPR) secara atas talian bagi para pelajar sekolah rendah dan menengah telah dilanjutkan sehingga 3 Oktober 2021 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Pembukaan semula sesi persekolahan yang dijangkakan pada 3 Oktober ini adalah secara berperingkat.  Selama beberapa bulan anak-anak melaksanakan PdPR di rumah momentum pembelajaran anak-anak boleh menurun jika usaha daripada anak-anak itu sendiri, ibu bapa atau penjaga diabaikan.

 

Menteri Pendidikan, Senator Dr Radzi Jidin berkata, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN.  Beliau berkata, bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.

 

Dengan kes COVID-19 di Malaysia yang saban hari dalam angka 20,000++ kes setiap hari, anak-anak perlu bersiap sedia untuk meneruskan PdPR yang dijangkakan berpanjangan pada tahun ini. 

 

Beberapa langkah perlu dititikberatkan untuk mengekalkan momentum pembelajaran secara dalam talian di rumah seperti berikut:

 

Biasanya guru-guru akan menghantar latihan PdPR melalui platform WhatsApp, Telegram dan sebagainya pada waktu pagi dengan mengikut jadual waktu setiap kelas. 

 

Anak-anak digalakkan untuk bangun pagi seperti hari ke sekolah dan terus menyiapkan latihan yang diberikan.  Jika bertangguh latihan PdPR ia akan bertambah saban hari.  Jika anak-anak berkongsi peranti dengan ibu bapa bolehlah menyiapkan latihan PdPR selepas ibu bapa pulang bekerja.

 

Mengadakan ruang belajar amatlah penting untuk anak-anak belajar secara kondusif.  Ini dapat membantu mereka menyiapkan latihan PdPR tanpa tekanan dan dapat menyiapkan latihan dengan tenang dan teratur.

 

Bantuan ibu bapa dalam melaksanakan PdPR secara dalam talian amatlah penting bagi anak-anak yang berada di tahap 1 iaitu daripada tahun 1 hingga 3.

 

Ini kerana anak-anak tahap 1 masih lagi memerlukan bantuan ibu bapa dalam membaca arahan yang diberikan oleh guru-guru dan penghantaran jawapan kepada kumpulan WhatsApp ataupun telegram. 

 

Belajar di dalam talian bagi PdPR kadang-kadang memenatkan anak-anak di rumah.  Beriadah di sebelah petang seperti berjogging, aktiviti regangan ataupun melakukan senaman ringan adalah sangat penting bagi anak-anak mendapatkan kesihatan yang baik setelah menyiapkan latihan PdPR di sebelah pagi. Ianya juga dapat menghilangkan tekanan pembelajaran anak-anak di rumah.
 

 

surat

 

Anak-anak dinasihatkan untuk belajar sehari suntuk tanpa berehat.  Ini akan memberi kesan seperti sakit kepala, demam dan prestasi pembelajaran juga boleh menurun.  Rehat yang cukup juga amat penting setelah penat belajar seharian bagi mengekalkan momentum anak-anak untuk belajar pada keesokan harinya.

 

Motivasi yang berterusan daripada semua pihak kepada anak-anak untuk meneruskan proses pembelajaran sepanjang PdPR amatlah penting bagi mengekalkan momentum anak-anak di tahap yang optimum. 

 

Sebagai contoh setiap sekolah di Malaysia mempunyai e-kaunseling yang setiap hari menitipkan kata-kata semangat, mutiara kata dan nasihat kepada anak-anak untuk terus belajar tanpa rasa jemu.  Ini amat penting kerana sebagai manusia biasa sikap malas memang bermaharajalela di hati kita semua. 

 

Selain itu, anak-anak juga berhadapan dengan stres untuk menyiapkan latihan PdPR yang diberi.  Oleh itu, motivasi diri harus diterapkan dari semasa ke semasa.

 

Oleh itu bak kata pepatah dari Robert H. Goddard mengatakan: “tetapkan misi, cabar diri anda dan capai impian tersebut. Hiduplah dengan sihat dan hitunglah setiap waktu yang anda miliki. Bangkitlah mengatasi rintangan dan fokus pada yang positif.”

 

Bertepatan dengan kata-kata motivasi yang diberikan pengekalan momentum pembelajaran anak-anak amat penting bagi mengelakkan anak-anak keciciran di dalam pembelajaran sekaligus menjadikan anak-anak lebih cemerlang dalam pembelajaran.

 

Oleh itu, bantuan daripada orang-orang persekitaran seperti ibu bapa, guru-guru, adik beradik, rakan-rakan amatlah penting bagi mengekalkan momentum pembelajaran dalam talian ini sekaligus menghasilkan anak-anak yang proaktif dan cemerlang dari segi akademik dan kerohanian. 

 

Diharapkan dengan pengurangan kes COVID-19 di Malaysia dapatlah anak-anak kembali ke sekolah seperti biasa bagi proses pembelajaran secara bersemuka nanti. - DagangNews.com

 

 

Khalijah Mohd Nor dan Nurbarirah Ahmad
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Cawangan Melaka