Kekurangan tenaga kerja ‘kikis’ AS$3 bilion hasil minyak sawit Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kekurangan tenaga kerja ‘kikis’ AS$3 bilion hasil minyak sawit Malaysia

 

KUALA LUMPUR 8 Mac - Sektor minyak sawit Malaysia berdepan risiko ‘kehilangan’ AS$ 2.89 bilion atau sekitar RM11.83 bilion dari segi hasil bagi setiap tahun apabila terdapat sekatan pekerja asing akibat penularan COVID-19.

 

Anggaran kerugian itu didedahkan oleh sekumpulan pemain industri berkenaan yang terdiri daripada penanam, pemain industri penapis dan pekilang.

 

“Sektor perladangan yang memerlukan tenaga buruh ramai telah mencatat aliran keluar bersih pekerja asing, terutama selama satu tahun terakhir, ketika kontrak pekerjaan mereka telah berakhir,” jelas kumpulan itu menurut Reuters.

 

Malaysia sebagai pengeluar sawit kedua terbesar dunia bergantung kepada pekerja asing, merangkumi sehingga 70% daripada tenaga kerja di ladang-ladang dalam negara.

 

Bagaimanapun, isu kekurangan pekerja mula timbul apabila Malaysia menutup sempadan negara pada pertengahan Mac tahun lalu.

 

Tambah kenyataan itu, ramai juga pekerja yang tidak mahu menyambung kontrak masing-masing.

 

Menurut kenyataan itu lagi, kekurangan pekerja telah menyebabkan kerugian perolehan tandan buah sawit sehingga 17.14 juta tan setiap tahun atau 20% pengurangan kadar hasil. 

 

Selain itu, industri tersebut juga mengalami kerugian pengeluaran minyak sawit mentah sehingga 3.43 juta tan dan 857,000 tan isirong sawit. 

 

“Kerugian melepas dijangka bernilai RM11.83 bilion daripada hasil setahun dan keuntungan sebanyak AS$1.07 bilion (RM4.37 bilion) setahun,” tambah kumpulan itu lagi. 

 

Nilai itu adalah berdasarkan harga minyak sawit mentah dan isirong sawit masing-masing pada kadar RM3,000 dan RM1,800 bagi setiap tan. 

 

Jelas kenyataan itu, pembendungan pandemik COVID-19 juga meletakkan kerajaan berdepan kerugian RM896 juta dari segi hasil pendapatan cukai setiap tahun.

 

Untuk rekod, bekalan sawit yang terhad memacu harga minyak sawit negara ke paras 10 tahun tertinggi iaitu RM3,903 setiap tan setakat hari ini.

 

Tetapi pekebun tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya harga tinggi tersebut kerana kekurangan pekerja seterusnya pengeluaran ladang tidak dapat dioptimumkan, kata kumpulan itu.

 

Kumpulan itu memberi amaran bahawa kadar hasil sawit negara akan jatuh lebih rendah jika pekerja tidak mencukupi pada awal musim puncak pengeluaran menjelang bulan Jun.

 

Kumpulan yang terdiri daripada 12 badan industri itu memohon kepada kerajaan untuk menarik semula sekatan kemasukan dan pengambilan pekerja asing selepas perladangan utama di Sarawak dibuka semula kepada golongan berkenaan pada minggu lalu. - DagangNews.com