Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Irsyad - 11 March 2022

Kelebihan berselawat semasa solat dan di luar solat

 

 

 

Anjuran untuk berselawat ke atas Nabi SAW bukan hanya ketika sedang menunaikan solat iaitu dalam bacaan tahiyat awal dan akhir sahaja, bahkan diluar solat seperti ketika berdoa dan mendengar Nabi SAW disebut juga turut dituntut.

 

Menurut bahasa, ‘selawat’ adalah bentuk jamak dari ‘solat’ yang bermakna doa, pujian keberkatan, kemuliaan, kesejahteraan, dan ibadah.

 

Menurut istilah pula, ‘selawat’ adalah bentuk doa dan pujian untuk Nabi SAW sebagai ibadah kepada Allah SWT.

 

Makna selawat dari Allah SWT kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan dari-Nya.

 

Terdapat juga yang menyatakan makna taufik dari Allah SWT untuk mengeluarkan hamba-Nya dari kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya).

 

Manakala makna selawat malaikat pula ialah doa memohon tambahan gandaan pahala.

 

Sementara makna selawat orang mukmin pula adalah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi SAW.

 

irsyad

 

Anjuran dan galakkan supaya berselawat ke atas Nabi SAW ada dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya” (Surah al-Ahzab: 56).

 

Syeikh al-Maraghi dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa wahai orang beriman doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda dengan cara yang kamu mampu lakukan seperti mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu.

 

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi yang menukilkan pandangan Imam Ibn 'Abd al-Barr bahawa para ulama telah bersepakat hukum berselawat kepada Nabi SAW adalah fardu kepada semua yang beriman berdasarkan firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat ke-56 di atas.

 

Imam al-Qurtubi pula berpendapat bahawa tiada perbezaan pandangan dalam kalangan ulama hukum berselawat adalah wajib sekali seumur hidup. Manakala hukumnya pada setiap masa adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut).

 

Manakala Ibn ‘Atiyyah menjelaskan tentang hukum sunat muakkad tersebut dengan menyatakan bahawa tiada alasan bagi seseorang itu untuk meninggalkan selawat. Tambahnya, orang yang meninggalkan selawat kerana cuai adalah golongan yang telah ditakdirkan tiada kebaikan baginya.

 

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar telah menjelaskan antara tempat perlu melafazkan selawat ialah ketika tasyahud akhir, tasyahud awal, solat jenazah, khutbah, nama Nabi SAW disebut, akhir qunut, selepas azan, berdoa, masuk masjid dan sebagainya.

 

 

irsyad

 

 

Terdapat pelbagai kelebihan dan keutamaan berselawat ke atas Nabi SAW yang akan diperoleh oleh seseorang yang sentiasa melazimi dalam kehidupan seharian.

 

Pertama, Allah SWT akan membalas dengan gandaan selawat yang lebih banyak dan besar.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali” (Riwayat Muslim).

 

Kedua, Allah SWT akan menghapuskan dosa dan mengangkat darjat orang yang berselawat.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat” (Riwayat al-Nasaie).

 

Ketiga, berselawat menandakan cinta dan sayang kepada Nabi SAW. Sebaliknya dianggap bakhil jika berkira dan tidak mahu berselawat.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut namaku, mereka tidak berselawat” (Riwayat al-Tirmizi).

 

Keempat, mendapat kedudukan yang dimuliakan di sisi Allah SWT di akhirat kelak.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku” (Riwayat al-Tirmizi).

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah anjuran dan kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW yang perlu diraih dan direbut oleh setiap umat Islam.

 

Kempen dan kesedaran berkaitan anjuran berselawat ini perlu dilakukan secara berterusan oleh pelbagai pihak dari semasa ke semasa.

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags