Kelington ada keupayaan raih projek berskala besar | DagangNews Skip to main content

Kelington ada keupayaan raih projek berskala besar

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Kejayaan Kelington Group Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM420 juta menandakan keupayaan kumpulan untuk memperoleh projek berskala besar pada masa depan. 

 

Penganalisis Malacca Securities Research, Kenneth Leong berkata, sebelum ini, Kelington hanya menunjukkan kemajuan dalam kontrak tunggal dengan nilai antara RM50 hingga RM100 juta. 

 

"Kami mendapati ini merupakan projek terbesar yang pernah diraih Kelington setakat ini. Pastinya, ia meningkatkan nilai projek dalam tangan kumpulan kepada paras tertinggi mencecah hampir RM764 juta. 

 

"Ini juga secara tidak langsung melebihi sasaran nilai projeknya bagi tahun kewangan 2021 sebanyak RM450 juta," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Baca : Kelington dapat kontrak RM420 juta bina, baik pulih kilang di Sarawak

 

 

Semalam, syarikat kejuruteraan bersepadu ini menerusi anak syarikat penuhnya, Kelington Technologies Sdn Bhd (KTSB) meraih kontrak RM420 juta melibatkan kerja-kerja membaik pulih dan membina kilang di Sarawak.

 

Tanpa mendedahkan nama klien, Kelington dalam sebuah kenyataan hanya menyebut kerja pembinaan dan membaik pulih itu untuk ‘sebuah syarikat pembuatan, yang dimiliki oleh syarikat penyelesaian dan perkhidmatan penyimpanan data terkemuka dunia’.

 

Susulan itu, Leong menjangkakan momentum akan berterusan dengan beberapa projek lagi bernilai RM50 hingga RM100 juta bagi Kelington untuk merekodkan pencapaian syarikat, berdasarkan kepada jualan semikonduktur yang kukuh.

 

Pada Julai 2021, jualan global semikonduktor mencatat peningkatan 29% tahun ke tahun kepada AS$45 bilion. 

 

Malah, katanya, kekurangan bekalan cip semikonduktor mungkin berlanjutan sehingga 2022 memandangkan bekalan tidak mampu memenuhi permintaan pesat pasaran yang disokong oleh pelancaran 5G, penggunaan automasi dan internet segala-galanya (IoT). 

 

Firma itu menyemak naik kepada saranan 'beli' berbanding 'pegang' bagi saham Kelington sebelum ini dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1.90. 

 

"Bagaimanapun, risiko kepada penarafan ini masih dipengaruhi prospek industri semikonduktor. Sebarang perubahan dari segi jualan semikonduktor boleh menjejaskan penghantaran berskala besar bagi projek Ultra High Purity (UHP) ke China dan Singapura, memandangkan segmen UHP menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan pendapatan dan keseluruhan hasil," jelasnya. 

 

Kelington pada 7 Sept lalu menerusi menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kelington Engineering (S) Pte Ltd memperoleh satu lagi kontrak UHP bernilai RM49 juta melibatkan kerja-kerja pengagihan sistem gas pukal untuk sebuah kilang pengeluar semikonduktor di Singapura. - DagangNews.com