Kelonggaran pergerakan petanda baik bagi pasaran | DagangNews Skip to main content

Kelonggaran pergerakan petanda baik bagi pasaran

Sekatan perjalanan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mac. - Kawalan pergerakan yang semakin dilonggarkan di negara ini dilihat memberi petanda baik dan positif kepada sentimen pasaran.

 

CGS-CIMB Research berkata, perkara tersebut mengurangkan kebimbangan terhadap risiko pendapatan syarikat-syarikat dan pekedai-pekedai.

 

"Permulaan program vaksinasi COVID-19 juga dilihat positif kerana dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan baharu dari semasa ke semasa.

 

"Kami berpendapat bahawa program vaksinasi yang berjaya akan menyebabkan berlakunya penilaian semula selain mengubah minat kepada saham yang mendapat keuntungan daripada pemulihan ekonomi.

 

"Pelabur mungkin akan mengekori rapat perkembangan kehadiran bekalan dan liputan vaksin yang ditetapkan dalam setiap fasa program yang sesuai dengan sasarannya," jelas CGS-CIMB Research.

 

Baru-baru ini kerajaan Malaysia mengumumkan negeri Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur tidak lagi berada di bawah fasa PKP, sebaliknya dimasukkan ke fasa PKPB bermula hari ini hingga 18 Mac 2021.

 

Dalam tempoh berkenaan, perjalanan rentas negeri kekal dilarang, bagaimanapun perjalanan antara daerah dalam negeri adalah dibenarkan kecuali Sabah.

 

Lain-lain negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya pula berada di bawah perintah PKPP.

 

Kerajaan juga menjangkakan 2.7 juta dos vaksin Pfizer akan tiba di Malaysia pada separuh pertama 2021.

 

Susulan itu, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya percaya bahawa kejayaan pelaksanaan program vaksinasi itu akan menjadi kunci untuk meningkatkan sentimen pasaran.

 

"Kami kekalkan sasaran KLCI sebanyak 1,759 mata," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com