Kembali kepada GST atau perbaiki SST? | DagangNews Skip to main content

Kembali kepada GST atau perbaiki SST?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

SECARA logiknya, ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan sedang berdepan dengan gelombang ketiga penularan wabak di seluruh negara, sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengembalikan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

 

Bukan sangat disebabkan perubahan kerajaan, kerana pemansuhan GST adalah satu daripada janji manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14. Mereka sendiri tidak mengotakan banyak perkara manifesto, apalah sangat hendak dihirau oleh kerajaan sedia ada hari ini. Logik juga, bukan?

 

Cuma ini berkait dengan COVID-19. Ada dua perspektif. Satu tidak mahu, satu lagi mahu. Yang tidak mahu ialah sentimen rakyat dan komuniti peniaga kerana COVID-19 telah menyebabkan ekonomi negara lumpuh, ada orang kehilangan kerja akibatnya, ada yang dipotong gaji dan ada yang ketakutan kerja mereka akan hilang.

 

Yang mahu ialah orang yang tahu bahawa untuk memulihkan ekonomi jugalah maka GST ini boleh membantu. Beberapa penganalisis ekonomi termasuk pakar percukaian kini mula meluahkan apa yang suatu masa dahulu dianggap sebagai pendapat `paling tidak popular’, malah merupakan satu penyebab kerajaan BN digulingkan.

 

Begitu jeliknya GST ini diperlakukan oleh ahli politik yang menggunakannya sebagai senjata ampuh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada 2018, dan kita tertawa kebodohan kepada diri sendiri membaca pernyataan kerajaan PH yang mengakui kerugian 50% daripada kutipan yang dicatat GST sebelum itu. Tetapi artikel ini bukan artikel politik. Ini adalah MERREPAK hal pemulihan ekonomi Malaysia.

 

Fakta: GST yang berkuatkuasa pada 1 April 2015 meraih hasil cukai RM41 bilion pada 2016 dan RM44 bilion pada 2017.

 

Rakyat dibuai dengan tiga bulan bebas cukai selepas kemenangan pilihan raya umum PH pada Mei 2018 sebelum penguatkuasaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST 2.0) pada 1 September 2018. Fakta : SST sekadar mencatat perolehan RM27.5 bilion.

 

Satu lagi fakta: GST bukanlah suatu sistem percukaian direka daripada ilham hasil mimpi Datuk Seri Najib Tun Razak semasa bermalam di Pekan, Pahang. Sebaliknya ia adalah hasil rundingan dan perbincangan pakar-pakar ekonomi negara yang diminta mencari satu kaedah bagaimana hendak menutup ketirisan yang dinikmati para peniaga tetapi merugikan negara sekian lama.

 

GST dimomok oleh penentang Najib sebagai sistem percukaian ala-penjajah British yang hanya merugikan penduduk yang dijajah. Kononnya, rakyat membayar berganda berbanding SST.

 

Hanya selepas GST ditamatkan oleh PH dan diganti dengan SST pada 1 September 2018, baharulah kita sedar bahawa harga cukai perkhidmatan minum di restoran itu tidak menurun sesen pun! Sebab itu tak perlu sibuk tinggalkan duit tips di restoran. Mereka sudah caj service tax kaw-kaw!

 

gst
Infografik Kredit ENGKU ALID

 

Satu aspek kelemahan GST yang diperakui ramai ahli ekonomi luar dan dalam negara ialah kadar 6% yang anggap mengejut dan membebankan secara mendadak.

 

Kita telah melihat bagaimana pengenalan GST telah dijadikan faktor utama barangan dinaikkan harga. Tetapi kita juga melihat bila selepas GST dimansuhkan, harga barangan tidak pula turun-turun.

 

Atas hujah keperluan negara memiliki dana secukupnya untuk memulihkan ekonomi jugalah  mengapa sekarang ada sebilangan ahli ekonomi, pakar percukaian mula berani menyarankan agar diperkenalkan semula GST. Ini kerana ia adalah kaedah percukaian paling berkesan untuk negara meraih hasil.

 

Dan hasil ini sangat-sangat penting ketika kerajaan berusaha memulihkan negara kesan pandemik COVID-19.

 

Tetapi di dalam keadaan banyak perniagaan pun sedang sakit sekarang, apakah pengenalan semula GST ini kena pada masanya?

 

Secara umumnya, memang tidak sesuai tetapi jika sewaktu aman pun SST hanya mencatat RM27.5 bilion, berapakah boleh diunjurkan semasa COVID-19 ini? Kira nasib baik jika dapat raih RM9 bilion.

 

Oleh itu, GST boleh diperkenalkan semula tetapi pada kadar yang lebih rendah seperti 3% mulai sekarang sehingga 2021. Tahun hadapan, kerajaan boleh mengkaji semula sama ada hendak melanjutkan 3% GST atau naikkan kepada 4%. Bergantung kepada prestasi ekonomi negara tahun hadapan. Ini contoh sahaja.

 

Dan tidak perlu `blanket ruling’ GST ini dilaksanakan. Pekebun kecil getah atau kelapa sawit misalnya, hanya dikenakan cukai GST bila komoditi mencatat kenaikan harga.

 

Samalah seperti inisiatif kerajaan sekarang seperti pengecualian cukai perkhidmatan bagi hotel, pelepasan cukai bagi pengurangan sewa, penangguhan pembayaran cukai adalah langkah yang betul bagi membina semula ekonomi negara.

 

Tapi kalau saranan ini pantas dijadikan senjata politik sekali lagi, kita minta rakyat yang sayangkan negara supaya meneliti sedalam-dalamnya pandangan dan hujah pakar-pakar ekonomi luar dan dalam negara untuk anda benar-benar faham bahawa GST adalah sama dengan sistem percukaian yang diamalkan di negara Barat.

 

gst

 

GST bukan eksklusif dicipta di Malaysia. Cukai seumpamanya ada di Singapura, Indonesia dan banyak negara di dunia. Kurangkan membaca celaan politik mengenai GST. Negara kita perlukan bantuan kita semua untuk pulihkan ekonomi. Tolong rasional.

 

Dan seandainya GST ini dianggap terlalu sulit untuk dilaksanakan, apatah lagi oleh kerajaan hari ini yang majoritinya amat nipis, malah masih bercakaran, mungkin cara terbaik ialah memperbaiki lagi SST.

 

Perbaiki SST, masukkan perkara-perkara yang berkesan daripada GST ke dalam SST dan laksanakan penguatkuasaan yang lebih jitu.

 

Kerajaan menyasarkan kutipan cukai SST sebanyak RM22 bilion tahun ini. Dan setakat 30 Jun lalu, sebanyak RM13.3 bilion telah diperoleh, mengikut data Bank Negara. Sebagai perbandingan, GST meraih RM20.24 bilion dalam tempoh lima bulan sahaja iaitu Januari-Mei 2018.

 

Di sini kerajaan kena nekad. Pengenalan semula GST ada impak positif dan negatif. Apa cara pun atau apa cukai hendak dilaksanakan, rakyat akan menanggung kesannya. Fikirlah sedalam-dalamnya.   – DagangNews.com

 

gst

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, yang merupakan Editor DagangNews.com dan bekas Pengarang Berita Ekonomi Utusan Malaysia, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Mulanya Di Sini oleh Freedom berulang-ulang kali. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com.  Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel johardy@dagangnews.com

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud dengan `membebel'.