Kembalikan FGV kepada Felda - Akar umbi | DagangNews Skip to main content

Kembalikan FGV kepada Felda - Akar umbi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Keputusan menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA) antara Felda dan FGV Holdings Bhd. minggu lalu dilihat satu langkah bijak oleh kerajaan untuk mengembalikan semula aset bernilai agensi tersebut daripada jatuh ke tangan pihak lain.

 

Malah, suara di peringkat akar umbi juga mahukan supaya FGV dapat diambil semula oleh Felda berdasarkan rekod baik agensi kerajaan itu menguruskan Felda Holdings (sebelum penyenaraian FGV pada 2012) sehingga mampu merekodkan pendapatan sehingga RM1.85 bilion pada 2011. 

 

Menerusi penyenaraian itu, keuntungan paling tinggi direkodkan FGV adalah pada 2012 iaitu RM1.03 bilion dengan harga pasaran FGV sekitar RM4.45, tetapi ia semakin menurun sehingga tahun lalu hingga merekodkan keuntungan berjumlah RM16.51 juta. 

 

Penyusutan itu juga disebabkan ketidaktentuan dalam pasaran harga minyak sawit, harga saham yang lemah serta beberapa langkah pelaburan yang kurang menguntungkan. 

 

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berharap terdapat perancangan lebih baik untuk Felda mengambil semula FGV setelah kerajaan memutuskan untuk menamatkan LLA. 

 

aaa
Sulong Jamil Mohamed Shariff

 

Katanya, ini kerana Felda telah membuktikan kejayaannya menguruskan Felda Holdings dan peneroka memperoleh dividen antara 16 hingga 18%. 

 

"Setakat ini, suara akar umbi mahu Felda ambil semula FGV dan bukannya pihak lain kerana kejayaan kita dah terbukti dulu dan kita harapkan kegemilangan Felda dapat dipulihkan kembali," katanya kepada DagangNews.com hari ini. 

 

 

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kami Anak Felda, Fakhrurrazi Mohd. Habib berkata, sekiranya FGV jatuh ke tangan pihak lain, adalah sukar untuk mendapatkannya kembali pada masa hadapan.

 

aaa
Fakhrurrazi Mohd. Habib

"Jika boleh biar Felda ambil semula FGV dan jangan bagi pada pihak ketiga tidak kiralah sesiapa pun. Sebab FGV adalah rentetan kejayaan orang-orang Felda, kakitangan dan anak-anak Felda yang bangunkan suatu ketika dulu. 

 

"Tetapi selepas ini, tanpa LLA sama ada FGV masih jadi tarikan kepada pihak luar atau tidak, saya tidak pasti. Ini terpulang kepada pemegang saham yang akan buat keputusan," katanya.

 

Menurut beliau, tanah ladang di bawah LLA dan kilang tersebut yang diambil semula adalah aset paling bernilai yang memberi sumber pendapatan pada Felda selama ini. 

 

Dengan keputusan itu, katanya, Felda tidak perlu lagi menjadi 'peminta sedekah' sebaliknya boleh menguruskan kembali tanah tersebut terutama dengan adanya keyakinan kerajaan yang menerbitkan sukuk RM9.9 bilion dapat mengembalikan semula Felda di landasan yang betul. 

 

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Muhammad Fadzli Hassan berkata, langkah Felda mengambil semula tanah LLA dan kilang sawit dapat membantu memulihkan aliran tunai agensi tersebut pada masa hadapan.

 

aaa
Muhammad Fadzli Hassan

 

Ini kerana katanya, sejak 2012 hingga 2017 ia hanya memberi hasil sekitar RM1.9 kepada Felda berbanding RM1.8 bilion yang pernah direkodkan pada 2011. 

 

"Dalam hal ini, FGV tidak ingkar tetapi nilai yang diberi kepada Felda adalah tidak setimpal. 

 

"Bagaimanapun, usaha Felda untuk pulihkan semula aliran tunai bukannya dengan meningkatkan pegangan dalam FGV sebaliknya ambil semula tanah ini sebab ia adalah aset penting," jelasnya. 

 

Pada 15 Oktober lalu, FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Perspective Lane (M) Sdn. Bhd. (PLSB) yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menyatakan minat untuk menjadi pemegang saham terbesar menerusi suntikan aset perladangan ke dalam FGV bagi pertimbangan mendapatkan kepentingan saham.- DagangNews.com