Kembalikan GST untuk hentikan ketirisan akibat ekonomi gelap | DagangNews Skip to main content

Kembalikan GST untuk hentikan ketirisan akibat ekonomi gelap

Koon Lin Loong

KUALA LUMPUR 30 Jun – Menguatkuasakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) boleh menjadi kaedah berkesan bagi mendapatkan kembali hasil cukai yang lesap akibat aktiviti ekonomi gelap, selain mengurangkan kebergantungan Kerajaan terhadap cukai langsung (cukai korporat dan perseorangan) bagi membantu pemulihan ekonomi kesan daripada krisis kesihatan COVID-19 ini. 

Selain mengekang entiti-entiti daripada berterusan beroperasi di bawah ekonomi gelap, GST juga akan memastikan mereka akan mula dapat menyumbang kepada hasil negara yang sangat penting sekarang untuk kerajaan mengambil pelbagai bentuk pembangunan sosial, kata Koong Lin Loong, Pengarah Urusan Reanda LLKG International Chartered Accountants.

Daripada sudut analisis kuantitatif, beliau menggariskan bahawa GST yang berkuatkuasa pada 1 April 2015 sebelum diambil alih Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST 2,0) pada 1 September 2018, berjaya meraih hasil cukai RM41 bilion pada 2016 dan RM44 bilion pada 2017.

Dibandingkan dengan hasil yang diperoleh menerusi SST 2.0 pada 2019 hanya RM27.5 bilion (yang melangkaui sasaran RM22 bilion bagi tahun tersebut).

“Penyelesauan terbaik adalah dengan menumpukan kepada sumber-sumber cukai tidak langsung dengan mengembalikan GST yang akan meluaskan asas percukaian (pada kedua-dua tahap input dan output) sementara memastikan kaedah pungutan yang lebih cekap,’’ kata Koong yang juga pengerusi jawatankuasa SME, Persatuan Dewan Perdagangan & Industri Cina Malaysia (ACCCIM).

“Di dalam iklim ekonomi semasa yang merudum, tiada salahnya menguatkuasakan semula GST pada 3% bermula 2021 sebelum perlahan-lahan menaikkannya kepada 4% pada tahun seterusnya dan mungkin 6% menjelang 20205.”

Daripada sudut lebih luas, GST boleh membantu peningkatan hasil daripada percukaian langsung. Di peringkat cukai korporat, banyak perniagaan berkemungkinan akan melaporkan kerugian dengan sebilangan sudah pun gulung tikar disebabkan kesempitan aliran tunai akibat impak larangan bergerak atau lockdown bagi mengawal virus COVID-19 merebak.

Seiring dengan ini, pungutan cukai perseorangan juga akan menjadi kesulitan kerana ramai pencari nafkah sudah kehilangan kerja atau berdepan pemotongan gaji antara 20-50% oleh majikan mereka.

Di samping GST, satu kaedah lain untuk menutup ketirisan cukai akibat aktiviti ekonomi gelap ialah dengan melaksanakan penyiasatan cukai atau audit cukai yang `tidak popular’ untuk membanteras kes mengelak atau lari cukai, tambah Koong.

Pada Januari lalu, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan ekonomi gelap negara berjumlah 21% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dianggarkan RM300 bilion.

Ekonomi gelap, yang juga dikenali sebagai ekonomi bawah tanah atau pasaran gelap, sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah yang merangkumi hasil haram daripada rasuah, penyeludupan senjata api, rokok, dadah, pelacuran/pornografi, perjudian haram/dalam talian, pemalsuan pasport dan pemerdagangan manusia.

Selain itu, ekonomi gelap juga meliputi sektor rasmi tidak berdaftar seperti perniagaan tidak berlesan, pekerja bebas (freelancer), pekerja sambilan dan ekonomi gig/tunai yang sulit dijejak dan dikesan.

Ini termasuk mereka yang bekerja tetap tetapi pada masa yang sama, mempunyai kerja sambilan yang menjana pendapatan lebih tinggi daripada kerja tetap mereka.

Kajian semula duti eksais

S. Saravana Kumar yang merupakan Rakan Kongsi dan Ketua Percukaian, SST & Kastam di firma Rosli Dahlan Saravana Partnership menyarankan agar Kerajaan meningkatkan usaha mendapatkan kembali kehilangan hasil cukai daripada aktiviti-aktiviti haram, termasuk terus mengukuhkan sumber-sumber sedia ada untuk mempercepatkan proses pemulihan.

“Kerajaan hendaklah bersedia mengambil langkah tegas termasuk berfikir di luar kotak untuk menghentikan ketirisan hasil cukai,’’ tegas beliau. “Di Australia, pihak berkuasa percukaian menggunakan khidmat peguam percukaian terkemuka bagi mewakili kerajaan untuk mendapatkan semula hasil cukai.”

Bagi menghentikan penyeludupan berleluasan `produk dosa’ seperti alkohol dan rokok, Saravana menyarankan agar Kerajaan mengkaji semula kadar eksais duti sedia ada dengan melaksanakan kadar yang bersamaan dengan negara-negara jiran.

“Dengan melakukan demikian, tidak wujud insentif untuk penyeludup membawa masuk produk seumpamanya untuk dijual di negara ini,’’ ujar beliau. “Kadar duti tinggi yang melampau, disulitkan lagi dengan penguatkuasaan yang lemah serta amalan rasuah dalam kalangan pihak penguatkuasan menggalakkan penyeludup untuk mengedar produk ini pada harga rendah.”

Jika rantaian pembekalan menerusi penyeludupan tidak ditangani sewajarnya, maka pengedar, perunit dan konsumer produk seludup hendaklah dibawa ke muka pengadilan menerusi penambahbaikan undang-undang sivil dan jenayah,’’ kata Saravana.

Sementara GST adalah telus dan cukai yang lebih adil untuk membanteras gejala ekonomi gelap, beliau berpendapat masanya tidak sesuai untuk memperkenalkan GST, meskipun pada kadar lebih rendah.

“Cukai seharusnya diperkenalkan bila ekonomi berjalan baik, misalnya cukai hasil ke atas peladang kelapa sawit yang hanya dikenakan apabila harga minyak sawit mentah melepasi paras khusus,’’ saran beliau.

“Namun inisiatif Kerajaan seperti pengecualian cukai perkhidmatan bagi hotel, pelepasan cukai bagi pengurangan sewa, penangguhan pembayaran cukai adalah langkah yang betul bagi membina semula ekonomi negara,” kata Saravana.