Kemenangan BN di Melaka bukti sokongan rakyat terhadap Ismail Sabri untuk terajui kerajaan pulihkan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kemenangan BN di Melaka bukti sokongan rakyat terhadap Ismail Sabri untuk terajui kerajaan pulihkan ekonomi

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) berbual dengan penduduk semasa melawat Melaka pada 14 November 2021. - Gambar Agenda Daily

 

 

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Nov – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu, adalah bukti bahawa rakyat hanya mahu BN menerajui kerajaan bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi dan membawa kestabilan sosio-ekonomi negara, menurut Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed.

 

Katanya, negara ini memerlukan kepimpinan kuat seperti yang ada pada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menumpukan pada pencapaian hasil ekonomi dan menyokong kebajikan rakyat.

 

“Pada pendapat saya, Malaysia, daya tahan anda sangat mengagumkan. Orang ramai gembira dengan kemenangan BN dan pasaran saham harus memberi respons positif hari ini,’’ katanya kepada DagangNews ketika dihubungi hari ini.

 

Setakat 10.30 pagi tadi, FBM-KLCI berada pada 1,525.58 naik 0.04 mata, FBMACE berada pada 6,812.35 turun 2.71 mata, dan FBMEmas berada pada 11,245.06 turun 0.58 mata.

 

Jumlah dagangan ialah 876.206 juta saham bernilai RM546.942 juta.

 

“Kami di Juwai IQI ingin mengucapkan tahniah kepada BN di atas kemenangan besar yang menakjubkan dan telah meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kepimpinan strategik mereka, ujar Shan.

 

Menurut beliau lagi, sentimen rakyat di peringkat akar umbi, mereka mahukan parti dan pemimpin yang matang serta bijak untuk menerajui dan mencapai hasil ekonomi demi kepentingan  mereka.

 

Katanya, ahli politik berpengalaman yang telah terbukti seperti BN berjaya memenuhi harapan rakyat.


 

Shan Saeed
Shan Saeed

 

Shan berkata, dasar ekonomi berteraskan rakyat akan meningkatkan taraf hidup rakyat di peringkat makro seperti mana yang dibentangkan pada Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 merupakan satu sebab BN menjadi pilihan rakyat.

 

“Kami menjangkakan KDNK akan meningkat pada suku terakhir dan seterusnya. Unjuran pertumbuhan KDNK 4-5% untuk 2022 boleh dicapai.

 

Prospek negara adalah stabil dan di atas semua keputusan pilihan raya yang kukuh menyokong struktur peringkat makro. Ringgit akan mengekalkan kestabilan struktur antara 3.75 dan 4.15 tahun depan berbanding dolar Amerika.

 

Harga komoditi yang lebih tinggi, permintaan dalam negeri yang kukuh dan kestabilan makroekonomi adalah pemboleh ubah utama bagi ekonomi.

 

“Kami di Juwai IQI sebagai firma pembrokeran hartanah berdiri teguh pada prospek ekonomi walaupun disurami dengan kelemahan kewangan global dan penipuan kewangan yang melibatkan negara ekonomi maju.

 

Daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, lima kerusi dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional dua kerusi dan bakinya adalah milik BN. - DagangNews.Com