Kementerian Kewangan akui Kastam hadapi cabaran tingkat kutipan duti import | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kewangan akui Kastam hadapi cabaran tingkat kutipan duti import

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Kementerian Kewangan menngakui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk meningkat kutipan duti import dalam usaha meningkatkan hasil negara.

 

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara cabaran yang perlu dihadapi para petugas Kastam termasuk dari segi pemindahan penghantaran, atau transshipment yang tidak dikenakan bayaran, serta pengecualian duti import susulan perjanjian perdagangan bebas, atau FTA. 

 

Bagaimanapun, beliau percaya, mereka mampu mencapai sasaran lebih baik terutama apabila Malaysia terus mencatatkan jumlah perdangangan yang tinggi melebihi RM2 trilion bagi 11 bulan pertama 2021 dan daripada jumlah keseluruhan RM1.1 trilion merupakan eksport berbading RM894 bilion merupakan import. 

 

"Saya juga yakin bahawa sasaran yang lebih tinggi mampu dicapai dengan penggunaan aset-aset fizikal tambahan Kastam seperti mesin pengimbas yang lebih moden, mahupun bot ronda laju.

 

"Saya pasti Kastam juga juga boleh meneliti dengan lebih strategik aset-aset modal insannya tersendiri, terutamanya dari segi hala tuju strategik bagi memastikan keutuhan jabatan itu dalam jangka masa panjang, termasuk transformasi pengurusan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Kali Ke-40 Tahun 2022, hari ini.

 

Tengku Zafrul memberi penekanan bahawa Kastam memainkan peranan penting dalam menggerakkan dasar kerajaan termasuk merealisasikan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) termasuk pemberian remisi penalti, pengecualian cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai pelancongan dan duti eksport.

 

Beliau berkata, menerusi pengumuman Bajet 2022, Kastam diberikan mandat untuk melaksanakan VA iaitu salah satu usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela dan melaporkan cukai yang sepatutnya. 

 

"Bermula awal tahun ini hingga 30 September 2022, Kastam perlu menggerakkan jentera yang dapat memastikan sasaran kutipan bagi program ini boleh dicapai, iaitu antara RM1 bilion hingga RM2 bilion," katanya.

 

Sementara itu, Tengku Zafrul turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua warga dan agensi di bawah Kementerian Kewangan di atas pengiktirafan Adam Smith Awards ASIA 2021 yang menyaksikan kementerian itu dinobatkan selaku Best Funding Solution pada 28 April 2021. 

 

"Tahniah juga diucapkan kerana telah disenaraikan antara lima kementerian yang paling cemerlang," katanya. - DagangNews.com