Kementerian Komunikasi dan Multimedia lancar Geran Kandungan Digital 2022 bantu syarikat kandungan kreatif digital | DagangNews Skip to main content

Kementerian Komunikasi dan Multimedia lancar Geran Kandungan Digital 2022 bantu syarikat kandungan kreatif digital

Siri animasi Didi & Friends merupakan antara produk yang berjaya dihasilkan menerusi inisiatif Geran Kandungan Digital (DGC).
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 April - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan Geran Kandungan Digital (DCG) bagi 2022 dengan permohonannya dibuka sehingga 30 April ini.

 

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, syarikat kandungan kreatif digital dengan modal berbayar minimum sebanyak RM20,000 amat digalakkan untuk memohon.

 

“Mereka boleh memilih antara geran untuk kos pembangunan bernilai sehingga RM300,000 atau kos pemasaran dan pelesenan harta intelek (IP) sehingga RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, DCG yang diperkenalkan sejak 2016  menyasarkan untuk membantu para pencipta kandungan digital di negara ini membangunkan kandungan baharu atau memasarkan dan melesenkan IP seperti kandungan animasi, media interaktif dan permainan digital.

 

"DCG merupakan antara siri geran terawal yang direka khas oleh MDEC untuk industri kandungan kreatif digital bagi 2022," katanya.

 

Beliau berkata, industri kandungan kreatif sangat pantas berkembang serta menjadi tumpuan utama di bawah inisiatif MyDIGITAL, justeru K-KOMM komited untuk memastikan industri ini terus mendapat sokongan yang diperlukan agar kekal kompetitif.

 

“Saya sedar bahawa persekitaran perniagaan amat mencabar ketika ini, khususnya kepada syarikat pemula niaga dan syarikat yang terjejas sebelum ini.

 

kementerian
Tan Sri Annuar Musa

 

"Saya yakin inisiatif DCG ini mampu menjadi pemangkin kepada mereka untuk kekal kukuh dan lebih berdaya saing di pasaran tempatan dan global,” katanya.

 

Beliau berharap, syarikat yang menerima manfaat daripada DCG, mampu melakar sejarah dan pencapaian yang lebih baik berbanding sebelum ini.

 

“K-KOMM menerusi MDEC akan terus komited menyediakan pelbagai bantuan lain khususnya dalam membantu pertumbuhan ekosistem pembangunan kandungan digital negara,” katanya.

 

Dalam pada itu, MDEC telah meluluskan 55 projek bernilai lebih RM34.5 juta bagi membantu syarikat kandungan kreatif digital dalam membiayai idea di peringkat pembangunan dan memastikan ia menjadi lebih mesra pelaburan dan kebolehpasaran, katanya.

 

Antara kandungan kreatif digital yang berjaya dicipta melalui inisiatif ini termasuk siri Didi & Friends oleh DD Animation Sdn. Bhd., Ejen Ali the Movie oleh Wau Animation Sdn. Bhd. dan animasi Astrology oleh Lemon Sky Animation Sdn. Bhd.

 

Sementara itu, filem animasi Ejen Ali the Movie telah mencatatkan rekod sebagai filem animasi tempatan yang paling laris dengan kutipan pawagam sebanyak RM35 juta. - DagangNews.com