Kementerian Pelancongan Sarawak cari kaedah bolehkan anak Sarawak pulang tanpa sekatan | DagangNews Skip to main content

Kementerian Pelancongan Sarawak cari kaedah bolehkan anak Sarawak pulang tanpa sekatan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. -  Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak sedang mempertimbangkan untuk membenarkan rakyat Sarawak kembali ke negeri ini tanpa syarat ketat di bawah kempen Jom Ke Sarawak yang dilancarkan hari ini.

 

Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, orang ramai masih lagi khuatir untuk datang ke negeri itu disebabkan beberapa syarat ketat walaupun kini tidak perlu meminta kebenaran polis.

 

"Di Semenanjung Malaysia, terdapat banyak rakyat Sarawak yang tidak dapat pulang ke sini hampir dua tahun. Jadi mungkin kita akan mencari cara supaya mereka dapat pulang tanpa syarat ketat.



"Kami akan mempertimbangkan perkara itu secepat mungkin," katanya pada sidang media hari ini selepas melancarkan kempen 'Jom ke Sarawak' iaitu pelancongan antara negeri pertama sejak pandemik COVID-19.

 

Namun, beliau menegaskan bahawa keputusan akhir hanya akan dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC).

 

"Saya sangat yakin bahawa SDMC akan dapat melihatnya dari pelbagai sudut dan berusaha membantu rakyat Sarawak yang ingin kembali. Kami tahu ada banyak keluhan dan rungutan di media sosial," katanya. 

 

Kempen Jom Ke Sarawak adalah kerjasama bersama antara Lembaga Pelancongan Sarawak, Persekutuan Pelancongan Sarawak,  Persatuan Agensi Agensi Pengendalian Pelancongan Dalam Negeri Sarawak dan Shopee Malasysia.

 

Menurut Abdul Karim, kempen pelancongan sebelumnya Sia Sitok Sarawak 1 dan 2, yang menawarkan potongan hingga 50% untuk rakyat Sarawak, telah mendapat maklum balas yang sangat baik. 

 

"Penduduk Sarawak memberi maklum balas mengatakan mereka gembira dapat meluangkan masa dan menikmati keindahan di negeri mereka sendiri," katanya.

 

Ujarnya, kempen Sia Sitok 1, yang dilancarkan tahun lalu merekodkan 942 tempahan dibuat dengan melibatkan 5,664 orang, sementara untuk Sia Sitok 2 mendapat 507 tempahan yang melibatkan 3,623 orang. 

 

Tempahan bagi kempen Jom Ke Sarawak boleh dibuat sehingga 5 Disember di platform Shopee Malaysia dan tempoh perjalanan sehingga 15 Disember.

 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen tersebut, lawati https://shopee.com.my/m/sarawak-tourism. - DagangNews.com