Kemudahan pengeluaran baharu Unisem di Gopeng dijangka siap menjelang April 2023 | DagangNews Skip to main content

Kemudahan pengeluaran baharu Unisem di Gopeng dijangka siap menjelang April 2023

KUALA LUMPUR 22 Mac - Unisem (M) Bhd. menjangkakan fasa pertama pembinaan kemudahan pengeluaran semikonduktor yang baharu di Gopeng, Perak dijangka siap menjelang April 2023. 

 

Kilang tersebut yang memiliki keluasan kira-kira 57,000 meter persegi yang terletak di tanah perindustrian seluas 28.5 ekar dianggarkan menelan kos berjumlah RM300 juta.   

 

Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Unisem, John Chia Sin Tet berkata, pembinaan kemudahan utama  itu mencerminkan pandangan lembaga pengarah bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

 

Katanya, ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di samping menyumbang kepada eksport negara.

 

"Apabila siap kelak, kemudahan ini akan dilengkapi dengan peralatan terkini, dan membolehkan kilang Gopeng ini membantu Unisem dalam memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik berdasarkan portfolio produk dan perkhidmatan yang luas.

 

"Ia juga membolehkan Unisem menggandakan kapasiti pengeluaran operasi sedia ada di Ipoh," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Kumpulan hari ini mengadakan majlis pecah tanah bagi pembinaan kemudahan pengeluaran baharu itu di Gopeng, Perak.

 

Majlis itu dihadiri lembaga pengarah dan pengurusan kanan Unisem beserta wakil-wakil General Contractor, Zalam Corporation Sdn. Bhd. dan subkontraktor. 

 

Sebelum ini, Unisem menggunakan sepenuhnya sebidang tanah seluas 15 ekar dengan jumlah keluasan binaan kira-kira 570,000 kaki persegi dan mempunyai 3,500 pekerja ketika ini.

 

Unisem adalah penyedia perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT) global dan menawarkan rangkaian perkhidmatan pembungkusan dan ujian bersepadu khusus.

 

Perkhidmatan utamanya merangkumi reka bentuk, pemasangan, ujian, analisis kegagalan dan pencirian serta pemodelan elektrik, mekanikal dan terma. Selain Ipoh, kumpulan juga mempunyai kemudahan di Chengdu, China. - DagangNews.com