Kenaikan elaun Lembaga Pengarah dianggap wajar, jelas Felda | DagangNews Skip to main content

Kenaikan elaun Lembaga Pengarah dianggap wajar, jelas Felda

KUALA LUMPUR 24 Jun - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyifatkan semakan elaun Lembaga Pengarah adalah wajar setelah sekian lama ia tidak pernah disemak.

 

Malah, ia juga adalah sejajar dengan prestasi syarikat yang mencatatkan pencapaian terbaik pada 2021 di mana FGV Holdings Bhd. memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.175 bilion.

 

"Untuk rekod, Felda sebelum ini pernah menolak resolusi bayaran yuran Pengarah FGV pada 2019 apabila syarikat itu tidak mencatatkan keuntungan. 

 

"Ini jelas membuktikan komitmen agensi ini dalam melindungi kepentingannya sebagai pemegang saham utama," tegasnya dalam kenyataan hari ini.

 

Felda berkata, imbuhan tersebut juga disifatkan wajar setelah dikaji perunding luar secara perbandingan dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan syarikatsyarikat tersenarai dengan modal pasaran setaraf FGV sebagai penanda aras. 

 

Semakan itu juga, katanya, merangkumi elaun Pengerusi dan turut melibatkan elaun kereta yang hanya diklasifikasikan semula kepada yuran pengarah. 

 

"Perubahan ini bersesuaian dengan tanggungjawab Lembaga Pengarah untuk menguruskan syarikat 
tersenarai yang bermodal pasaran cukup besar seperti FGV. 

 

"Pemegang saham selain Felda juga telah mengundi menyokong kenaikan imbuhan tersebut semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) yang baru sahaja selesai sebagai tanda kewajaran semakan ini," katanya.

 

Baca : FGV pay hike for directors, was it justified?

 

Semalam, agenda AGM tersebut menyatakan elaun Pengerusi Bukan Eksekutif FGV dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM480,000 sekali gus menjadikan elaun bulanan RM40,000 sebulan berbanding RM25,000 sebelum ini.

 

Pada masa sama, elaun Pengarah Bukan Eksekutif FGV bagi tempoh sama juga naik daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan.

 

Susulan itu, ia mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pemimpin politik yang menyatakan kekhuatiran mereka selepas merujuk kepada agenda AGM FGV yang tular.

 

Antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan sama ada AGM tersebut akan hanya menumpukan kepada kenaikan elaun Pengerusi dan Lembaga Pengarahnya.

 

Menurut Felda, sebagai pemegang saham terbesar FGV, ia akan terus menerima manfaat daripada pencapaian syarikat yang terbaik setakat ini hasil daripada penstrukturan korporat yang telah dilaksanakan 
selama ini. 

 

Katanya, Felda akan terus memastikan FGV beroperasi secara cemerlang berdasarkan pengurusan yang terbaik dengan pulangan yang optimum kepada Felda untuk menjaga kepentingan peneroka dan generasi baharu. 

 

"FGV, sebagai sebuah syarikat yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia memerlukan ahli lembaga pengarah berpengalaman dan mahir yang bertanggungjawab merangka strategi pertumbuhan mampan serta memacu syarikat ke arah kecemerlangan untuk manfaat Felda dan pemegang taruhnya. 

 

"Oleh itu, Felda akan memberikan sokongan yang sewajarnya kepada dasar-dasar, cadangan dan perancangan daripada FGV berdasarkan jaminan bahawa pencapaian syarikat itu mesti terus dipertingkatkan," katanya. 

 

Felda sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa kepentingan peneroka dan generasi baharu sentiasa dibincangkan di peringkat Felda dan kekal sebagai agenda utama. 

 

"Walaupun FGV tidak berurusan secara langsung dengan peneroka, kejayaan FGV adalah juga kejayaan Felda dan peneroka," jelasnya. - DagangNews.com