Kenaikan gaji kurang, bonus sedikit dijangka berterusan hingga 2021 - MEF | DagangNews Skip to main content

Kenaikan gaji kurang, bonus sedikit dijangka berterusan hingga 2021 - MEF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Kenaikan gaji pekerja dan bonus staf menyaksikan penurunan dengan ketara pada tahun ini, menurut kaji selidik dijalankan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

 

Dalam kaji selidik berjudul MEF Salary Surveys for Executives and Non-Executives’, hanya 58.4% syarikat responden menawarkan kenaikan gaji kepada staf eksekutif berbanding 88.3% pada 2019. 

 

Syarikat yang menawarkan kenaikan gaji kepada pekerja bukan eksekutif pula menurun kepada 61.7% berbanding 87.6% pada tahun lalu. 

 

Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, purata peningkatan gaji bagi eksekutif dan bukan eksekutif pula lebih rendah pada 2020 berbanding 2019, masing-masing menurun kepada 4.82% dan 4.79%.

 

Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman
Syed Hussain Syed Husman

 

“Hasil ini dijangka disebabkan oleh impak COVID-19. Trend itu dijangka berterusan sehingga memasuki tahun hadapan memandangkan peningkatan purata gaji yang diramalkan bagi eksekutif dan bukan eksekutif pada 2021 lebih rendah iaitu masing-masing 4.59% dan 4.57%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Hasil dapatan kaji selidik itu telah dilancarkan hari ini.

 

Kaji selidik edisi ke-26 itu merangkumi 179 kedudukan jawatan yang ditanda aras oleh 20,733 eksekutif, manakala kaji selidik bukan eksekutif pula melibatkan 64,625 staf dengan 138 kedudukan jawatan.

 

Sementara itu, bonus yang diramalkan buat eksekutif dan bukan eksekutif pada 2021 juga merudum, masing-masing kepada 1.75 dan 1.57 bulan berbanding bonus sebenar 1.94 dan 1.65 bulan bonus yang ditawarkan pada 2020. 

 

Tambah Syed Hussain, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat responden beroperasi pada kadar 60% hingga 70% kapasiti tenaga kerja dan meningkat kepada 80% bagi semua tahap eksekutif bermula pengurusan atasan hingga staf ketika PKP Bersyarat (PKPB). 




“Lebih daripada separuh syarikat responden melaksanakan pembekuan pengambilan pekerja eksekutif dan bukan eksekutif pada 2020 dalam menangani impak pandemik COVID-19, manakala kira-kira 38% daripada syarikat-syarikat itu mengekalkan amalan merekrut.

 

“Kira-kira 36% daripada syarikat responden belum menentukan dasar merekrut 2021 mereka memandangkan prospek pandemik COVID-19 masih belum menentu. 

 

“Sebanyak 31.8% syarikat akan mengekalkan dasar pengambilan pekerja baharu, manakala kira-kira 20% daripada syarikat melaksanakan dasar pembekuan pengambilan pekerja memasuki 2021,” ujarnya. - DagangNews.com