Kenaikan kos bahan mentah masih menyelubungi prospek Cahya Mata Sarawak | DagangNews Skip to main content

Kenaikan kos bahan mentah masih menyelubungi prospek Cahya Mata Sarawak

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Mei - Kos bahan mentah yang lebih tinggi dan kekangan rantaian bekalan global dilihat terus memberi cabaran kepada Cahya Mata Sarawak Bhd. 

 

Bagaimanapun, MIDF Research mendapati, kumpulan telah memulakan inisiatif kecekapan kos bagi mengimbangi impak kenaikan itu di samping usaha berterusan bahagian pembinaan dan perdagangan dalam mengeluarkan produk ke pasaran.

 

Firma itu berkata, peningkatan permintaan untuk kerja-kerja simen akan terus memihak kepada Cahya Mata Sarawak, meskipun terdapat tekanan daripada kenaikan kos bahan mentah, selaras dengan pandangan positifnya terhadap sektor pembinaan. 

 

Katanya, kelonggaran sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 merentasi semua sektor, telah meningkatkan permintaan simen, yang merupakan hasil utama Cahya Mata Sarawak.

 

"Segmen itu menyaksikan peningkatkan 6.6% tahun ke tahun kepada RM136.6 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM29.2 juta, dengan pertumbuhan 34.1% tahun ke tahun. 

 

"Kami menjangkakan segmen ini akan terus memacu prestasi kumpulan pada masa akan datang, beserta inisiatif kecekapan kos yang dilaksanakan kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Keuntungan bersih Cahya Mata Sarawak susut kepada RM72.02 juta pada suku pertama

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, keuntungan bersih Cahya Mata Sarawak bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 merosot kepada RM72.02 juta berbanding RM77.80 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Bagaimanapun, hasil bagi tempoh berkenaan meningkat kepada RM214.04 juta daripada RM202.06 juta tahun sebelumnya.

 

MIDF Research setakat ini mengekalkan unjuran hasil bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dengan pendapatan sebanyak RM1.17 bilion manakala untung bersih teras berjumlah RM205.6 juta. 

 

Katanya, unjuran itu sejajar dengan jangkaannya terhadap prestasi kumpulan, yang disokong peralihan negara kepada fasa endemik.

 

"Tetapi, kami menyemak semula hasil FY23 dengan sedikit rendah kepada RM1.19 bilion (berbanding RM1.23 bilion sebelum itu) manakala keuntungan teras kepada RM205.6 juta daripada RM225 juta, setelah mempertimbangkan kemungkinan berlakunya kelewatan projek," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Cahya Mata Sarawak dengan harga sasaran pada RM1.62 sesaham. 

 

"Pemangkin kepada kumpulan termasuklah peningkatan perbelanjaan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak, memberi pemain industri peluang yang sangat diperlukan," tambahnya.

 

Setakat 9.48 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.92% kepada RM1.10 dengan 582,300 saham diniagakan. - DagangNews.com