Kenaikan OPR secara berkala elak rakyat tanggung beban lebih teruk akibat tekanan inflasi | DagangNews Skip to main content

Kenaikan OPR secara berkala elak rakyat tanggung beban lebih teruk akibat tekanan inflasi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Julai - Orang ramai akan membayar hutang yang lebih tinggi pada separuh kedua ini apabila Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas (bps) dalam tempoh berkenaan. 

 

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, bank pusat memutuskan menaikkan OPR yang yang menjadi penanda aras pinjaman dan simpanan sebanyak 25 bps kepada 2.25%.

 

Kenaikan itu yang kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00% semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu. 

 

 

Razli Ramli
Razli Ramli

 

 

Pensyarah Kanan Azman Hasim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Razli Ramli berkata, kenaikan OPR kepada 2.25% sememangnya sudah dijangka kerana kenaikan OPR daripada 1.75% kepada 2.00% sebelum ini sebenarnya merupakan langkah berkala yang diambil kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barang.

 

Jelasnya, kenaikan OPR yang berkala sebegini akan menstabilkan kesihatan ekonomi negara dan boleh menyelamatkan rakyat daripada bebanan yang mungkin lebih dahsyat dari sekarang.

 

"Malaysia tidak ada pilihan. Pasaran ekonomi dunia sedang menghadapai krisis ekonomi terutamanya inflasi yang hebat kerana COVID-19 dan isu Ukraine. 

 

"Untuk kelastarian ekonomi jangka masa panjang melalui dasar monetari, kenaikan OPR memang tidak boleh disekat. 

 

"Namun, Malaysia mempunyai pilihan untuk mengawal kadar kenaikan OPR sama ada secara mendadak atau secara berkala. Dalam hal ini, negara memilih secara berkala dengan mengambil kira suasana beban rakyat ketika ini," katanya kepada DagangNews.com hari ini. 

 

Beliau yang juga kolumnis Iktisad di portal ini dan Setiausaha Agung, Persatuan Senior Kewangan Islam (ARIF) menjelaskan, kenaikan tersebut sebenarnya adalah satu pelarasan pemulihan prestasi ekonomi Malaysia untuk menghadapi keterbukaan ekonomi kepada saingan negara-negara luar. 

 

"Ia juga sebenarnya merupakan persediaan kepada tekanan inflasi yang dijangka berterusan dalam kekalutan nilai ringgit yang perlu dikembalikan secepat mungkin," tambahnya.

 

 

Baca : BNM naikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25%

 

 

BNM

 


BNM menyifatkan pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. 

 

MPC akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

 

Bagi bank pusat, kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. 

 

Sementara itu, MIDF Research percaya tumpuan semasa penetapan dasar monetari BNM adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan. 

 

Bagaimanapun, katanya, keputusan kenaikan kadar itu bergantung kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan berterusan dalam persekitaran makroekonomi khususnya pemulihan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik.

 

"Dengan kenaikan inflasi teras dan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan, kami percaya BNM akan menaikkan OPR sebanyak 50 bps pada separuh kedua ini.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan normalisasi dasar akan terus dilaksanakan dalam mesyuarat MPC pada September ini dengan kenaikan lagi 25 bps," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan dalam keberhutangan isi rumah.

 

MIDF Research menyifatkan kenaikan kadar tersebut dalam mesyuarat MPC keempat tahun ini adalah memenuhi jangkaannya dan juga pasaran.

 

Firma itu berpendapat keputusan menaikkan OPR itu adalah tepat pada masanya sejajar dengan pertumbuhan ekonomi domestik yang semakin stabil secara berterusan seperti ditunjukkan dalam data makroekonomi terkini dan trend inflasi teras.

 

"Kami percaya penilaian terkini menunjukkan keyakinan berterusan bahawa keadaan makroekonomi Malaysia akan terus bertambah baik," katanya.

 

Sebaliknya, tambahnya lagi, BNM menegaskan bahawa risiko kepada pertumbuhan kekal dalam radar terutamanya kemungkinan kelembapan dalam pertumbuhan global, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan lebih banyak gangguan kepada rantaian bekalan. - DagangNews.com