Kenakan PKPD ke atas sektor perkilangan, bukan tindas peniaga kecil - MTEM | DagangNews Skip to main content

Kenakan PKPD ke atas sektor perkilangan, bukan tindas peniaga kecil - MTEM

Sektor perkilangan dikatakan menjadi punca penularan wabak COVID-19. - Gambar hiasan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Kerajaan sewajarnya menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) ke atas sektor perkilangan memandangkan sektor itu menjadi punca penularan wabak COVID-19.

 

Saranan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) ini adalah senada dengan gesaan yang dinyatakan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) minggu lalu bagi mengelakkan lebih ramai peniaga kecil tertindas.

 

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, 48% kes penularan COVID-19 adalah berpunca daripada sektor perkilangan.

 

Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman turut membangkitkan persoalan sejauh mana kepentingan modal besar ini mempengaruhi dasar dan penguatkuasaan kerajaan dalam menangani wabak ini hingga menganaktirikan peniaga-peniaga kecil yang mempunyai lebih ramai pekerja tempatan.

 

"Sektor ekonomi lain terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang majoritinya adalah bumiputera pula dihukum dengan sekatan ke atas aktiviti perniagaan.

 

"Sedangkan, penularan wabak ini kebanyakan berpunca daripada kluster kilang dan perumahan pekerja yang kemungkinan tidak capai standard dan pematuhan sepenuhnya pada Akta 446 demi mengutamakan keuntungan semata-mata. 

 

"Ini amat tidak patut kerana syarikat yang memiliki kilang-kilang besar itulah yang sebenarnya meraih
keuntungan besar atau punyai kapasiti kewangan lebih kukuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, hakikatnya sepanjang PKP 1.0 dan 2.0 rakyat yang terdesak, telah mengeluarkan wang simpanan  mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Sinar dan i-Lestari berjumlah RM77.8 billion.

 

"Kita menyokong keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKP 3.0 tetapi Kementerian Kewangan mesti mempertimbangkan bantuan tambahan untuk rakyat terutama golongan peniaga dan usahawan bumiputera sebagai pemangkin terhadap kelembapan ekonomi," tambah beliau. 

 

Pada 13 Mei lalu, DPMM mengemukakan beberapa cadangan tindakan yang perlu dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik dan kluster jangkitan COVID-19 berikutan pihaknya menerima banyak aduan daripada komuniti usahawan khususnya mengenai kelangsungan serta kehilangan mata pencarian akibat beberapa PKP yang mula dikenakan pada 18 Mac 2020.

 

DPMM juga meminta agar prosedur operasi standard (SOP) antara Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu diselaraskan untuk mengelak sebarang kekeliruan.

 

Ahmad Yazid berkata, setelah merujuk kenyataan DPMM dan meneliti laporan terkini Kementerian Kewangan, MTEM menyokong sepenuhnya semua cadangan tersebut kerana beranggapan apa yang sedang atau diberi oleh Kementerian Kewangan memang tidak mencukupi untuk rakyat menghadapi kesan daripada PKP 3.0.

 

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan pemberian bantuan pakej kewangan seperti Dana Sara Hidup COVID-19 3.0 kepada 6 juta orang dengan bantuan sebanyak RM1,200 berjumlah RM8 bilion.

 

"Ini boleh disalurkan melalui subsidi upah di bawah kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mereka yang layak iaitu mempunyai upah di bawah RM5,000 yang diremit kepada terus pada majikan," katanya. 

 

Bahkan, beliau turut menyarankan supaya moratorium bersasar diberikan selama 12 bulan sekiranya kerajaan tidak boleh melaksanaan moratorium selama 6 bulan melibatkan semua jenis pinjaman perbankan, peminjam wang berlesen, pinjaman kredit termasuk kad kredit.

 

Bagaimanapun, katanya, moratorium bersasar ini hanya terhad pada nilai pinjaman untuk kenderaan berharga di bawah RM150,000, nilai hartanah di bawah RM1.5 juta dan semua pinjaman di bawah RM100,000 tanpa kenaikan bunga.

 

"Sudah tiba masanya, kerajaan mendengar suara rakyat demi rakyat dan bukan akur dengan kepentingan pihak bank atau taksub pada pandangan agensi penarafan antarabangsa.

 

"Umum mengetahui bank-bank tidak langsung terjejas malah terus mencatat keuntungan sejak pandemik melanda," tegasnya.

 

MTEM yang menaungi lebih 500,000 perniagaan Melayu, jelas beliau hanya menzahirkan kegusaran semua pemegang taruh ekonomi Melayu, jika tiada tindakan susulan seterusnya.

 

"Bukan sahaja ia merencatkan pemulihan ekonomi negara, tetapi kedudukan ekonomi orang Melayu semakin tercorot dan bakal meningkatkan jurang kekayaan antara kaum dengan dahsyat sekali selepas pandemik ini berakhir," katanya. - DagangNews.com