Kenal pasti dahulu ejen hartanah atau broker haram, tegas MIEA | DagangNews Skip to main content

Kenal pasti dahulu ejen hartanah atau broker haram, tegas MIEA

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP) telah menyaksikan aduan berhubung isu penipuan hartanah yang diterima Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) meningkat sebanyak 30%.

MIEA berkata, masih ramai orang awam yang meletakkan risiko terhadap simpanan dan kewangan mereka dengan mempercayai pihak yang tidak diluluskan dan disahkan dari segi undang-undang dalam melaksanakan transaksi hartanah.  

Presiden MIEA, Lim Boon Ping menegaskan bahawa kenyataan ejen hartanah menipu adalah perkara yang serius kerana terdapat perbezaan antara 'ejen berdaftar' dan 'broker haram'.

 

LIM BOON PING
Lim Boon Ping

 

"Broker haram mengaut keuntungan yang cepat dan mereka tidak dilatih atau diiktiraf atau diberi kuasa untuk melakukan transaksi hartanah,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Boon Ping berkata, MIEA telah mengenalpasti 13 cara orang awam ditipu yang boleh dirujuk menerusi pautan www.myrealagents.com.

Beliau mengulas mengenai laporan oleh akhbar tempatan berhubung isu penipuan hartanah, yang didakwa menggunakan terma tidak tepat, sekaligus dipercayai menyebabkan kekeliruan orang awam dan mencemarkan kerjaya berkenaan.

Tambah Boon Ping, kenyataan itu perlu tepat dan membezakan antara ejen hartanah serta broker haram.

“MIEA telah membuat ribuan kenyataan dan turut melaksanakan kempen kesedaran iaitu #MYREALAGENTS. Kami menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang untuk melaksanakan transaksi hartanah untuk menggunakan Ejen Hartanah Berdaftar (REA), Ejen Hartanah Percubaan (PEA) atau Perunding Hartanah (REN).

“Kami juga menggalakkan masyarakat untuk mendapatkan bantuan MIEA dalam mengenalpasti sekiranya pihak yang mereka berunding adalah ejen sah.

“MIEA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran hartanah yang kedengaran terlalu indah untuk dipercayai. Orang awam boleh memerika ejen hartanah mereka menerusi laman web BOVAEP (www.lppeh.gov.my), hubungi BOVAEP di talian at 03-2288 8815 atau hantarkan e-mel ke info@lppeh.gov.my,” katanya.  – DagangNews.com