Kenal pasti 'wang haram' daripada saham tidak patuh syariah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 16 November 2021

Kenal pasti 'wang haram' daripada saham tidak patuh syariah

 

 

MINGGU lalu penulis ada menyatakan bahawa pengisytiharan status saham patuh syariah akan diwarta oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SACSC) pada Jumaat, 26 November ini. Hasil daripada pengisytiharan ini akan terbitlah saham-saham yang dahulunya diklasifikasi sebagai patuh syariah akan bertukar status kepada sekuriti tidak patuh syariah. 

 


Sebagai pelabur, maka seharusnya mereka akan melupuskan saham-saham tersebut daripada potfolio pelaburan saham yang dipegang. 

 

Timbul persoalan pula bagaimana para pelabur dapat mengasingkan dividen yang boleh terima dan tidak boleh terima, hasil daripada pelupusan saham yang baru sahaja bertukar status kepada tidak patuh syariah. 

 

Seterusnya, terbit pula soalan iringan tentang apa yang perlu dibuat dengan dividen yang tidak boleh terima itu.

 

Jadi, minggu ini penulis kongsikan prosedur yang boleh dilaksanakan oleh para pelabur jika mereka berdepan keadaan sedemikian.

 

Sebagai contoh, Syarikat ABC Bhd. telah dinyahsenarai daripada senarai saham patuh syariah pada 26 November 2021. Kos pembelian 100 lot sahamnya adalah sebanyak RM200,000. Ini bermakna harga 1 lot ialah RM2,000. 

 

Pada hari pengumuman status sekuriti, harga 1 lot telah mencecah RM2,300. Seterusnya, pengurus dana berjaya melupuskan keseluruhan 100 lot sekuriti tersebut pada 30 November 2021 pada harga RM2,700 untuk 1 lot.

 

Jumlah keuntungan yang terhasil daripada pelupusan 100 lot saham Syarikat ABC Bhd. pada 30 November 2021 pula adalah sebanyak RM70,000 (iaitu RM270,000 – RM200,000). 

 

Jumlah keuntungan yang terhasil jika pelupusan dibuat pada hari pengisytiharan status dibuat adalah sebanyak RM30,000 (iaitu RM230,000 – RM200,000).

 

Menurut panduan SACSC, pengurus dana hanya dibenarkan menyimpan RM30,000 keuntungan itu sahaja, manakala RM40,000 (RM70,000 – RM30,000) wajib disalurkan kepada Baitulmal atau mana-mana badan kebajikan yang diluluskan oleh penasihat syariah dana tersebut. 

 

Keuntungan yang boleh diambil adalah RM30,000 dan keuntungan yang tidak boleh diambil adalah RM40,000. 

 

Jumlah RM40,000 ini adalah yang disebut sebagai wang syubhah yang juga dikenali sebagai wang tidak patuh syariah atau wang haram. 

 

Wang syubhah ini perlu disalurkan kepada Baitulmal untuk dibersihkan dan kemudiannya dipulangkan kepada masyarakat.

 

Prosedur pengendalian wang syubhah oleh pengurus-pengurus dana harus diberitahu kepada para pelabur di luar sana, terutama yang beragama Islam.

 

Ini amat penting untuk menyakinkan mereka bahawa pengurusan dana yang dilaksanakan adalah 100% patuh syariah, meskipun berlaku penukaran status saham apabila disaring oleh SACSC seperti yang berlaku pada 26 November 2021 nanti. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm
 

Portfolio Tags