Kenanga Investment Bank peroleh 4.99% ekuiti dalam Merchantrade | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investment Bank peroleh 4.99% ekuiti dalam Merchantrade

Kenanga Investment Bank Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kenanga Investment Bank Berhad (Kumpulan Kenanga) memperoleh 4.99% kepentingan ekuiti dalam syarikat pengendali perniagaan perkhidmatan e-tunai terbesar di Malaysia, Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade).

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, perolehan itu dicapai susulan daripada pemeteraian kolaborasi antara Kenanga dan Merchantrade dalam memperkenalkan e-dompet broker saham yang pertama di Malaysia iaitu Kenanga Money. 

"Merchantrade adalah salah satu jenama bagi pembayaran dan pengiriman wang secara digital yang berkembang maju di negara ini. 

"Konsisten menerajui usaha pendigitalan dan memacu inovasi dalam perkhidmatan kewangan, mereka pantas melebarkan sayap merentasi Asia dalam segmen yang dijangka bakal mengalami pertumbuhan pesat. 

"Justeru itu, kami amat berbesar hati dapat terlibat sama dalam prospek berkembang Merchantrade ini dan berharap untuk meneroka lebih banyak lagi peluang digital bersama," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Chay Wai Leong
Chay Wai Leong 

 

Pegangan ekuiti tersebut turut mendapat sokongan daripada pemegang saham lain termasuk Celcom Axiata Bhd. dan Sumitomo Corporation dari Jepun.

Tahun lalu, Merchantrade berjaya meraih anugerah unggul iaitu Anugerah Perkhidmatan Kewangan dalam Teknologi Kewangan.

Syarikat berkenaan juga menyediakan perkhidmatan kepada lebih daripada tiga juta pelanggan melalui saluran digital dalam talian dan di aplikasi serta rangkaian fizikal yang luas di seluruh negara.

"Memandangkan dua jenama tempatan ini turut sama menyasarkan pada inovasi digital, terdapat sinergi yang luar biasa antara Kenanga dan Merchantrade baik daripada segi model perniagaan, barisan produk mahupun nilai korporat. 

"Masa hadapan adalah milik mereka yang berjaya berhubung dengan pelanggan secara digital melalui spektrum produk serta perkhidmatan yang luas dan bermakna. Membangunkan sebuah ekosistem yang kukuh dan memberi nilai tambah kepada pelanggan merupakan teras kepada strategi digital kami," ujarnya lagi.

Kenanga sebelum ini juga telah menjalinkan kerjasama dengan pemenang anugerah syarikat pembiayaan rantaian bekalan digital, Bay Group Holdings Sdn. Bhd. dalam usaha melakukan transformasi terhadap pasaran pemfaktoran tradisional di Malaysia. - DagangNews.com