Skip to main content

Kenanga Investment jangka harga minyak kekal tinggi akibat krisis berterusan Rusia-Ukraine

KUALA LUMPUR 4 April - Kenanga Investment menjangkakan harga minyak akan kekal tinggi untuk jangka masa terdekat ini kesan daripada krisis berterusan Rusia-Ukraine yang menyebabkan kedaaan tidak menentu terhadap bekalan minyak global.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan inventori minyak yang rendah, ditambah pula dengan pengambilan stok secara agresif dalam persekitaran permintaan tinggi dan keengganan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dalam memperkenalkan semula bekalan tambahan ke dalam pasaran.

 

“Kami mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent secara purata bagi tahun 2022-2023 sebanyak AS$90 (RM380) setong selaras dengan jangkaan harga pasaran.

 

"Bagaimanapun, sebenar masih bergantung kepada tahap sekatan yang dikenakan serta maklum balas daripada pengeluar minyak lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu juga mengunjurkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menormalisasikan perbelanjaan modal (capex) kepada RM40 hingga RM50 bilion setahun bagi tahun ini dengan aktiviti huluan tempatan dijangka menjadi pelaburan terbesar walaupun dengan peningkatan penggunaan tenaga diperbaharui.

 

Di peringkat global, firma penyelidikan itu menjangkakan perbelanjaan modal dalam penerokaan dan pengeluaran (E&P) global akan diteruskan untuk  fasa pemulihannya.

 

"Kami berpendapat sektor itu masih belum mencapai paras harga stabil sepenuhnya dengan kenaikan berlaku dalam tempoh singkat,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dengan Petronas Chemicals Group Berhad pada harga sasaran (TP) RM11.00 sesaham.

 

Hibiscus Petroleum Berhad dianggap dapat meraih keuntungan menerusi harga minyak manakala Dayang Enterprise Holdings Berhad dengan TP RM1.00 sesaham manakala Uzma Berhad dengan TP RM0.68  ketika pemulihan perdagangan sedang berlaku ketika ini. - DagangNews.com