Kenanga Investors lancar dana wakaf pertama dengan YWM | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investors lancar dana wakaf pertama dengan YWM

Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof Madya Dr. Amir Shaharuddin (dari kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri, Suhaimi Saudi; Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Islamic Investors Berhad, Zulkifli Ishak pada majlis pelancaran Dana Wakaf Al-Ihsan, semalam.
 

 


KUALA LUMPUR 14 April - Kenanga Investors Berhad melancar Dana Wakaf Al-Ihsan Kenanga dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sebagai penerima dan pentadbir dana wakaf yang dilantik.

 

Dana Wakaf Al-Ihsan ini merupakan saluran pelaburan terbuka yang membuat pelaburan dalam pelbagai portfolio ekuiti, sukuk, instrumen pasaran wang Islam dan deposit Islam yang mematuhi prinsip syariah. 

 

Sejajar dengan prinsip wakaf, separuh daripada pendapatan yang diperoleh akan diagihkan kepada pelbagai sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pemerkasaan ekonomi dan pemuliharaan atau pembangunan alam sekitar.

 

Malah, dana ini adalah sesuai untuk para pelabur dermawan yang pada masa sama berusaha mendapatkan pertumbuhan modal dan pengagihan pendapatan yang stabil melalui kaedah kepelbagaian meluas dan pengurangan risiko. 

 

Jumlah pelaburan minimum awal ialah RM1,000 dengan setiap pelaburan tambahan pada nilai RM100.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis berkata, Kenanga Investors merancang untuk mengembangkan pelaburan syariah setelah menerajui pelbagai pencapaian perintis dan inovatif industri dalam industri pengurusan dana.

 

Potensi wakaf, katanya, iaitu suatu saluran yang berasaskan filantropi Islam, akan menjadi sangat bermakna dalam memberikan impak yang positif kepada aspek ekonomi dan sosial golongan yang kurang bernasib baik. 

 

"Dana ini akan berfungsi sebagai landasan pelancaran bagi produk serupa yang lain, berkaitan dengan ESG, sebagai sebahagian daripada langkah Kenanga Investors ke arah pelaburan mapan dan bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan.

 

Pengeluaran wakaf dibuat kepada projek dalam sektor yang telah dikenal pasti akan dipantau oleh jawatankuasa bersama yang terdiri daripada Kenanga Investors, YWM dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim). 

 

Projek-projek penerima wakaf akan dilaksanakan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (SDG 2030) yang merangkumi 17 SDG dengan sasaran yang berkaitan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof Madya Dr. Amir Shaharuddin menjangkakan dana ini akan menimbulkan kesedaran dan minat yang tinggi disebabkan oleh ciri altruistiknya, terutama dalam iklim sosial pada hari ini yang akan membawa kepada pemerkasaan masyarakat dan pengurangan kemiskinan. - DagangNews.com