Kenanga-Merchantrade lancar e-dompet broker saham pertama Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kenanga-Merchantrade lancar e-dompet broker saham pertama Malaysia

Kenanga Investment

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) mengumumkan jalinan kerjasama dengan Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade) dalam memperkenalkan e-dompet broker saham yang pertama di Malaysia, Kenanga Money, dengan sokongan ciri kad prabayar Visa.

Kenanga Money memberi kebebasan kepada pelanggan untuk memindahkan dana dari akaun dagangan saham ke e-dompet dan kad prabayar dengan mudah bagi pembayaran runcit, pengiriman serta pengeluaran wang di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, berkongsi visi yang sama untuk menginovasikan penyelesaian kewangan, kolaborasi strategik bersama Merchantrade memberi peluang kepada pihaknya untuk membentuk semula pengalaman dalam broker saham buat pelanggan.

“Selain menikmati pendapatan faedah daripada baki kredit, pelanggan juga dapat mengakses dana mereka dengan mudah melalui e-dompet dan kad untuk pembelian harian, pengeluaran tunai dan transaksi pelbagai mata wang di dalam dan luar negara, menjadikannya satu pengalaman yang meningkatkan kemudahan serta fleksibiliti dalam kehidupan seharian mereka.

"Dengan hampir 300,000 pemegang akaun Kenanga, usaha digitalisasi kami memfokuskan peningkatan ekosistem untuk menghasilkan nilai tambah baharu buat pelanggan. Selari dengan itu, Kenanga Money bakal melengkapkan perancangan rangkaian penyelesaian digital kami yang semakin membangun, menyasarkan pada penyediaan sebuah persekitaran bersepadu, lancar dan merangkumi pelbagai aspek untuk menampung capaian pelanggan kami yang kian meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut hadir ketika pelancaran Kenanga Money, Pengerusi Kenanga, Tan Sri Syed Zainol Anwar Syed Putra Jamalullail serta Pengasas dan Penasihat, Tan Sri Tengku Noor Zakiah Tengku Ismail.

Kenanga Money akan dilancarkan secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang.

Menerusinya, pengguna juga akan menikmati kemudahan fungsi pelbagai mata wang yang membolehkan mereka membeli, menjual dan menyimpan sehingga 20 mata wang asing pada satu-satu masa, dengan kadar pertukaran yang kompetitif di Merchantrade.

Sementara itu, Merchantrade merupakan pemain industri teknologi kewangan dan e-tunai yang terkemuka di Malaysia, serta pengendali Perniagaan Perkhidmatan Wang terbesar negara.

Syarikat berkenaan menyediakan perkhidmatan kepada lebih tiga juta capaian pelanggan melalui saluran digital dalam talian dan di aplikasi serta rangkaian fizikal yang luas di seluruh negara.

Selain itu, Merchantrade juga telah membina sebuah ekosistem digital yang komprehensif bagi tujuan kewangan serta perkhidmatan lain menerusi kerjasama dan kolaborasi sesama industri.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran yakin Kenanga Money akan membawa arus perubahan dalam industri broker saham dan disambut baik oleh pelabur.

"Kami sentiasa mencari peluang baharu dengan rakan kongsi yang terbaik untuk bekerjasama dalam memperluas jangkauan kami bagi memenuhi keperluan pasaran yang lebih besar menerusi teknologi dan penyelesaian yang unik.

“Justeru, kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Kenanga dalam melancarkan e-dompet broker saham yang pertama di Malaysia,“ katanya dalam kenyataan sama. – DagangNews.com