Kenanga Research mulakan liputan terhadap Bintulu Port dengan pandangan 'outperform' TP RM5.95 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research mulakan liputan terhadap Bintulu Port dengan pandangan 'outperform' TP RM5.95

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kenanga Research memulakan liputan terhadap Bintulu Port Holdings Bhd. dengan pandangan 'outperform' pada harga sasaran RM5.95 sesaham. 

 

Menurut firma itu, pendapatan kumpulan adalah berdaya tahan disokong kontrak bekalan jangka panjang daripada Petronas dan pelabur industri.

 

Malah, katanya, Bintulu Port juga merupakan pengendali pelabuhan saling terhubung yang berdedikasi dengan sokongan pegangan saham berkaitan kerajaan yang kukuh (Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak)

 

Oleh itu, ia mengunjurkan hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing berkembang 14% dan 26% kepada RM112.3 juta dan RM141.5 juta.

 

"Ini dipacu kontrak jangka panjang bekalan gas asli cecair (LNG), kargo bukan LNG yang berdaya tahan dan trafik kontena sebagai pengendali pelabuhan terbesar Sarawak dengan pertumbuhan volum yang kukuh didorong oleh Taman Perindustrian Samalaju (mendapat sokongan kuat 7 pelabur).

 

"Tambahan pula, Pelabuhan Perindustrian Samalaju tidak menggunakan RM1 bilion dalam Elaun Cukai Pelaburan (ITA) yang boleh menurunkan kadar cukai efektifnya dan seterusnya meningkatkan pendapatannya melepasi paras semasa," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bintulu Port sedang berusaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan LNG tanpa perluasan kapasiti lagi seperti yang dibayangkan oleh Petronas.

 

Secara keseluruhan, perniagaan teras kumpulan masih lagi akan diterajui perniagaan LNG yang menyumbang 49% daripada hasil dengan pertumbuhan masa depan menerusi Pelabuhan Perindustrian Samalaju (menyumbang 20% kepada hasil). 

 

Selebihnya, adalah menerusi pelbagai kargo bukan LNG dan kontena serta perkhidmatan pukal minyak sawit mentah (6% daripada hasil).

 

Pada masa ini, terdapat tiga loji iaitu MLNG 1, 2, dan 3 dengan jumlah kapasiti 29.3 juta tan metrik (kini pada 80% penggunaan) didorong oleh kontrak jangka panjang Petronas yang dilanjutkan sehingga 20 tahun untuk pembekalan LNG kepada Taiwan, Jepun dan syarikat utiliti Korea.

 

Bagi Taman Perindustrian Samalaju pula, ketika ini terdapat 6 pelabur termasuk Sakura Ferroalloys, Malaysian Phosphate Additives, Pertama Ferroalloys, OM Holdings, Press Metal Bintulu dan OCIM. 

 

Baru-baru ini, kemasukan pelabur baharu, Wenan Steel (Malaysia) SB, bakal menjadi pengeluar keluli utama di rantau ASEAN.

 

Melangkah ke hadapan, industri tersebut akan membantu memacu pertumbuhan Pelabuhan Perindustrian Samalaju, dengan jangkaan pulang modal menjelang 2025.

 

Di bawah perkhidmatan pukal, Bintulu Port mengendalikan hampir 95% produk minyak sawit di Sarawak dengan terminal bersepadu yang dikendalikan Wilmar Group Bintulu Edible Oil, Sime Darby Austral Edible Oil, Sarawak Oil Palms SOP Edible Oil, Kirana Edible Oil dan Borneo Edible Oil menggunakan kesemua kapasiti tangki 154,600 tan metrik di Biport Bulkers Sdn. Bhd. 

 

Menurut Kenanga Research, pelbagai gangguan dalam industri perladangan akan menyaksikan bekalan minyak sawit mentah (terutama minyak boleh dimakan) berkemungkinan kekal rapuh sehingga 2023 dengan musim di atas purata pada 2023 dijangka mengembalikan kesesakan bekalan.

 

Bagaimanapun, katanya, margin masih dijangka berdaya tahan dengan kos pengeluaran berlegar antara RM2,000 hingga RM2,500 satu tan metrik ( termasuk kos buruh, baja dan bahan api yang lebih tinggi).

 

"Kami menganggarkan permintaan bukan LNG bagi Bintulu Port akan berkembang 3% dalam tempoh 3 tahun akan datang sejajar dengan volum pertumbuhan purata 5 tahun Sarawak sebanyak 3%," jelasnya. - DagangNews.com