Skip to main content

Kenanga Research semak turun penarafan segmen sarung tangan kepada 'underweight' akibat lebihan bekalan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jun - Kenanga Research menyemak turun penarafan sektor sarung tangan kepada 'underweight' berbanding 'neutral' didorong petunjuk analisis bekalan-permintaan menunjukkan berlakunya lebihan kapasiti dalam sektor itu dalam tempoh dua tahun akan datang. 

 

Firma itu menjangkakan, persekitaran operasi yang lemah untuk terus membebankan pembuat sarung tangan dalam jangka sederhana hingga jangka panjang.

 

Secara khususnya, keputusan kewangan peneraju industri Top Glove Corp Berhad menunjukkan pendapatan lebih lemah bagi segmen itu dan menjangkakan pendapatan itu akan terus terkesan.

 

Katanya, purata harga jualan (ASP) yang tidak seimbang dengan kos pengeluaran memberi kesan kepada margin keuntungan dan keadan itu menjadi lebih sukar apabila kadar penggunaan kilang secara purata adalah rendah antara 50% hingga 60%.

 

Firma itu menjangkakan keadaan itu akan berterusan untuk jangka sederhana panjang. 

 

"Keadaan itu akan menjadi lebih buruk kesan daripada permintaan yang lemah dan ia mendorong kepada lebihan bekalan di dalam pasaran selain memberikan tekanan kepada ASP.

 

"Pada masa sama, pelanggan enggan memberikan komitmen kepada pesanan yang banyak kerana menjangkakan harga jualan akan terus berkurangan pada masa akan datang," katanya.

 

Firma itu menetapkan sasaran seperti berikut kepada beberapa syarikat seperti Hartalega Holdings Berhad (market perform; harga sasaran (TP) RM2.90), Top Glove (underperform; TP RM0.80), Kossan Rubber Industries Berhad (underperform; TP RM1.20) dan Supermax Corp Berhad (underperform; TP RM0.65). - DagangNews.com