Kenapa merancang harta jadi keperluan di waktu ekonomi mencabar hari ini? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 18 July 2022
Wasiyyah

KENAPA MERANCANG HARTA JADI KEPERLUAN DI WAKTU EKONOMI MENCABAR HARI INI?

 

 

 

HARI ini semua orang mengeluh dengan keadaan ekonomi yang semakin tidak menentu.

 

Peningkatan harga barangan asas terutamanya bahan makanan yang seakan tidak terkawal sangat meresahkan rakyat.

 

Kenaikan harga barang ini menyebabkan kuasa beli kita semakin menurun. Selalu ditunjukkan perbezaan jumlah barang di dalam troli pusat perniagaan sebelum inflasi dan hari ini selepas inflasi semakin berleluasa.

 

Dalam masa yang sama, ramai rakyat masih menganggur dan kalaupun ada pekerjaan, gaji yang diberikan tidak setimpal dengan kenaikan kos sara hidup hari ini.

 

Banyak syarikat masih di dalam fasa pemulihan akibat pandemik dan ketidaktentuan ekonomi dunia. Ini menyebabkan majikan tidak mampu memberi gaji seimbang dengan kos semasa.

 

Serba tak kena kita dibuatnya. Apakah usaha yang boleh kita buat untuk membantu masyarakat supaya mereka dapat mendepani suasana ekonomi sekarang ini dengan lebih selesa.

 

Kerajaan telah dan sedang memperkenalkan pelbagai polisi dan insentif bagi tujuan ini. Itu kerja mereka dan biarlah mereka melaksanakannya.

 

Bagi saya pula semenjak 1998, saya secara istiqomah telah mendidik masyarakat bahawa salah satu dari cara untuk memastikan waris kita dapat meneruskan kehidupan dengan selesa ialah PERANCANGAN HARTA.

 

 

 

Wasiyyah

 

 

Dalam pengalaman 24 tahun saya di dalam industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia, memang saya melihat sendiri dengan mata saya bahawa bila berlaku kematian kepada seorang bukan Islam, urusan harta pusakanya diselesaikan dengan cepat oleh keluarganya pada kadar masa purata kurang dari setahun.

 

Kenapa mereka begitu bersungguh-sungguh mempercepatkan urusan pusaka itu? Kerana mereka faham dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar sekarang, sebarang suntikan modal dari harta pusaka sama ada dalam bentuk wang tunai, saham syarikat, tanah atau apa sahaja bentuk harta pusaka, ia akan dapat membantu mereka di dalam perniagaan atau kehidupan mereka.

 

Orang bukan Islam di Malaysia juga secara relatifnya juga lebih ramai yang membuat dokumen perancangan harta iaitu wasiat. Di dalam wasiat ini mereka meletakkan formula agihan harta pusaka mereka.

 

Mengikut Akta Wasiat 1959 iaitu akta yang berkuatkuasa ke atas wasiat orang bukan Islam. Formula agihan ini akan tergunapakai.

 

Dalam perbandingan yang sama, bagi orang Islam pula, kadar purata masa menyelesaikan urusan pusakanya pula ialah antara 1 hingga 3 tahun. Kenapa lama?

 

Kerana orang Islam tidak faham bahawa harta pusaka ialah salah satu sumber modal yang boleh membantu mereka di dalam ekonomi semasa.

 

Waris-waris selalu melambat-lambatkan urusan pusaka dan semasa hidupnya tuan punya harta  pula, mereka tidak menyediakan sebarang dokumen perancangan yang akhirnya menyebabkan timbulnya risiko perbalahan di antara waris-waris.

 

Kesedaran kepentingan perancangan harta dalam kalangan orang Islam di Malaysia memang masih lemah walaupun secara relatifnya ia lebih baik berbanding 24 tahun lepas apabila saya mula melibatkan diri di dalam industri ini.

 

Masih terlalu ramai yang bermentaliti bila mereka mati kelak, pandai-pandailah anak-anak uruskan. Kita dah susah-susah bekerja seumur hidup mengumpulkan harta, takkanlah agihan harta itu pun kita juga nak bersusah-payah?

 

Kita tidak merasakan merancang harta dengan baik semasa kita masih hidup itu adalah manifestasi kasih sayang dan tanggungjawab kita kepada harta itu dan waris-waris kita. Kita tidak terkilan meninggalkan harta kita menjadi asbab waris-waris berbalah sesama sendiri.

 

 

Wasiyyah

 

 

Kita sentiasa merasakan waris-waris kita akan berupaya untuk bermuafakat dengan baik tentang harta pusaka kita tanpa secara realistiknya kita melihat kepada faktor-faktor luar kawalan kita yang mungkin mempengaruhi waris-waris selepas kematian kita.  

 

Ramai juga yang masih berfikir tak payah susah-susah nak rancang semasa hidup kerana hukum faraid kan ada.

 

Tapi mereka tidak faham bahawa kalau kita yang masih hidup ini pun tak faham hukum faraid dan berlaku banyak perbalahan harta pusaka , waris-waris kita di masa hadapan berkemungkinan besar lagilah tak faham hukum faraid dan perbalahan harta pusaka berkemungkinan akan menjadi lebih hebat dari zaman kita sekarang.

 

Kalau waris-waris kita  tidak faham hukum faraid bagaimana pula mereka akan uruskan harta kita ?

 

Insya-Allah saya akan ulas isu hukum faraid dan kedudukan instrumen perancangan harta seperti hibah ini secara panjang lebar di dalam penulisan saya yang akan datang bagi memberi perspektif jelas.

 

Artikel kali ini saya hanya mahu memberikan dimensi perspektif ekonomi dan kaitannya dengan perancangan harta.  

 

Saya telah berpeluang untuk berseminar secara zoom dan fizikal di banyak negara-negara Islam. Kebanyakan orang Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia, gagal melihat kaitan di antara perancangan harta dan ekonomi ummah.

 

Malah ada antara profesor di negara teluk juga tidak faham apa perbezaan di antara hibah dan wasiat / hukum faraid.

 

Pada mereka bila sebut bab harta, maka hukum faraid sudah mencukupi dan fokus kepada formula agihannya begitu dititikberatkan sehingga ia mengatasi hikmah hukum faraid itu sendiri.

 

Dalam keadaan ekonomi yang semakin tidak menentu sekarang, ramai juga yang beranggapan bahawa merancang harta bukanlah satu keperluan mendesak.

 

 

Wasiyyah

 

 

Mereka berkecenderungan menangguhkan merancang harta kerana wangnya diperlukan untuk perkara lain yang lebih penting katanya. Merancang harta pada waktu ini tidak penting.  

 

Sebenarnya merancang harta itu menjadi lebih kritikal ketika ini pada masa ekonomi tidak menentu.

 

Bayangkan jika kita meninggal dunia di dalam keadaan sekarang. Sedikit sebanyak kita  ada juga meninggalkan harta tetapi kerana kita tidak merancang, maka urusan pusaka harta pusaka kita menjadi lambat dan bermasalah.

 

Waris-waris pula terpaksa bermula dari ‘kosong’ untuk mengumpulkan harta sendiri sedangkan ayah atau ibu ada meninggalkan harta pusaka.

 

Jika kita meninggalkan waris-waris di bawah umur pula, pasangan kita akan terpaksa bertungkus-lumus mencari wang untuk membesarkan mereka sedangkan kita ada meninggalkan harta pusaka !

 

Siapakah yang akan rugi? Tentulah waris-waris kita sendiri yang terkesan.

 

Jika harta dirancang dengan baik dan harta itu diterima dengan cepat asbab kita telah merancang harta dengan baik semasa hidup kita, harta pusaka itu boleh digunakan untuk membantu waris-waris melepasi keadaan yang serba mencabar hari ini.

 

Orang Islam kaya dengan harta tetapi bila mati, waris ditinggalkan dalam kemiskinan. Cuba fikirkan.    

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags