Kenapa penganalisis jangka tiada lagi potongan OPR tahun ini? | DagangNews Skip to main content

Kenapa penganalisis jangka tiada lagi potongan OPR tahun ini?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mac - Kali terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) adalah sekitar Julai tahun lalu. 

 

Pemotongan sehingga 25 mata asas (bps) kepada rekod terendah dalam sejarah, 1.75% diputuskan ekoran bank pusat itu melihat impak pandemik COVID-19 ke atas ekonomi global ‘teruk’ selain aktiviti ekonomi Malaysia menguncup dengan ketara pada suku kedua 2020 (2Q20). 

 

Apabila kes COVID-19 negara kembali mencanak dengan prospek kehadiran vaksin COVID-19 masih kabur ketika memasuki separuh kedua 2020 (2H20), rata-rata penganalisis menjangkakan BNM akan mengurangkan lagi OPR sebanyak 25 bps untuk menyokong ekonomi negara. 

 

Bagaimanapun, jangkaan itu meleset apabila hasil mesyuarat MPC sekitar September 2020 memutuskan OPR kekal pada kadar 1.75% yang dilihat akomodatif, seterusnya paras itu dikekalkan sehingga semalam. 

 

Melihatkan pendirian BNM, para penganalisis dalam nota kajian masing-masing meramalkan mungkin tiada lagi pemotongan OPR yang akan dilakukan pada tahun ini berdasarkan sebab-sebab tertentu.

 

Ini termasuk CGS-CIMB Research yang sebelum ini mengunjurkan pemotongan OPR sebanyak 25 bps pada separuh pertama 2021 (1H21) setelah mengambil kira teras inflasi lemah ketika itu, mengubah suai jangkaan kepada tiada pemotongan OPR pada tahun ini. 

 

Mengambil kira unjuran KDNK dan inflasi lebih tinggi

 

Lengkungan kadar hasil yang ketara di mana menggambarkan unjuran pertumbuhan Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) dan inflasi lebih tinggi, akan mengurangkan sebarang keperluan akomodasi dasar monetari lanjut, ramal firma penyelidikan itu. 

 

Baca : Ada risiko OPR dipotong dalam tempoh 6 bulan ini

 

Jangkaan itu turut mengambil kira ketidaktentuan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang semakin berkurangan.

 

PKP

 

CGS-CIMB memberikan contoh situasi kadar hasil tiga tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang telah meningkat 10bp, kadar hasil 10 tahun MGS sebanyak 40 bp dan kadar hasil 20 tahun sebanyak 55 bp, setakat ini pada tahun 2021. 

 

“Bagaimanapun, BNM menekankan bahawa ketidakstabilan pasaran kewangan baru-baru ini tidak meruncingkan keadaan kewangan dengan ketara (yang berpotensi) untuk menghalang pemulihan ekonomi.

 

“Oleh itu, kami yakin kadar faedah jangka pendek cenderung untuk bertahan selama untuk beberapa tempoh masa,” jelas CGS-CIMB. 

 

Menerusi empat perjumpaan MPC berturut-turut, bank pusat itu memutuskan OPR kekal pada kadar 1.75% setelah mengurangkan sehingga 125 bps, jumlah pemotongan terkumpul sepanjang tahun lalu. 

 

Potongan -125 bps cukup

 

Jumlah potongan berkenaan cukup untuk menyokong ekonomi dan tiada keperluan bagi sebarang pemotongan lanjut, itu pula pandangan MIDF Research. 

 

Bagi firma penyelidikan itu, kelonggaran dalam sekatan terhadap ekonomi  negara secara beransur-ansur membenarkan perbelanjaan pengguna dan aktiviti perniagaan untuk pulih semula. 

 

Selain itu, sentimen ekonomi juga dijangka bertambah baik dengan adanya program vaksinasi dengan  kes baharu jangkitan COVID-19 yang turut berkurangan, tambah MIDF lagi. 

 

Muhyiddin Yassin

 

“Walaupun terdapat petunjuk inflasi akan meningkat, namun harga-harga yang kian melonjak itu kekal sebagai pemacu utama bagi faktor bekalan terutamanya harga minyak mentah yang kian meningkat. 

 

“Secara keseluruhannya, kami berpendapat OPR akan dikekalkan pada 1.75% bagi tahun 2021 untuk memastikan dasar kadar faedah kekal akomodatif dalam menyokong pemulihan ekonomi,” ujar MIDF.

 

Menerusi kenyataan dasar monetari BNM sebelum ini, bank pusat itu secara umumnya melihat terdapat dasar-dasar monetari lain yang cukup untuk menyokong pemulihan ekonomi negara termasuk suntikan fiskal diumumkan oleh kerajaan. 

 

“Ketika OPR tidak berubah, BNM menggunakan dasar lain sepanjang beberapa bulan lalu,” kata Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB). 

 

Ada dasar lain yang menyokong ekonomi negara

 

Ini termasuk kelonggaran diberikan kepada bank-bank untuk menggunakan MGS dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dalam mematuhi nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022 daripada tempoh sebelumnya, 5 Mei 2020 hingga 31 Mei 2021, kata Maybank IB.

 

Bersama-sama dengan pemotongan 100 bps SRR kepada 2.00% pada Mac 2020, langkah-langkah itu melancarkan kecairan atau mudah tunai sebanyak RM46 bilion, jelas firma penyelidikan itu lagi. 

 

bank

 

“Keputusan terkini mengenai OPR oleh BNM perkukuhkan unjuran kami bahawa tiada perubahan terhadap kadar itu pada tahun ini. 

 

“Selanjutnya, ada ‘kelonggaran pasif’ kerana OPR sebenar berubah menjadi negatif, purata -0.85% pada tahun 2021 (purata 2020: +3.24%) terhadap ramalan inflasi +2.6% tahun ini (2020: -1.2%). Oleh itu, terdapat penurunan -406 bps pada OPR sebenar tahun ini (2020: + 82bps).

 

“Kadar faedah sebenar adalah faktor dalam perbincangan MPC BNM,” jelas Maybank IB.

 

Pengekalan OPR pada kadar 1.75% semalam diputuskan ekoran pemulihan ekonomi dilihat semakin rancak, disokong oleh sektor perkilangan dan perdagangan antarabangsa di samping program vaksinasi yang dilaksanakan di kebanyakan negara. 

 

Baca : BNM kekalkan OPR 1.75%

 

Penunjuk terkini bagi Malaysia pula menyaksikan permintaan luaran yang bertambah baik dan perbelanjaan pengguna berterusan.

 

Jelas BNM lagi, walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akan menjejaskan pertumbuhan pada suku pertama, kesannya dijangka tidak seteruk yang dialami pada suku kedua 2020.

 

Dari segi trajektori katanya, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021. 

 

Baca : Potongan OPR: Apakah kesannya kepada anda?

 

Mengenai prospek pertumbuhan KDNK Malaysia, BNM dijangka mengkaji semula unjuran yang ketika ini pada kadar +6.5% hingga +7.5% bagi 2021, di mana ramalan rasminya akan dikeluarkan pada penghujung bulan ini. 

 

CGS-CIMB, MIDF dan Maybank IB masing-masing mengunjurkan KDNK 2021 mencatatkan kadar pertumbuhan +5.0%, +5.4% dan +5.1%. - DagangNews.com