Kenapa sangat kritikal kita menghibahkan rumah/hartanah kita? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 5 April 2021
WasiyyahShoppe

KENAPA SANGAT KRITIKAL KITA MENGHIBAHKAN RUMAH/HARTANAH KITA?

 

RENTETAN artikel saya minggu lepas, ramai yang kurang jelas dengan huraian saya bertanya, kenapa saya banyak mengenengahkan isu rumah/hartanah? Kenapa sangat kritikal untuk kita menghibahkan rumah kita? Harta-harta lain tidakkah kritikal untuk dirancang melalui hibah?

 

Mari kita ulang balik perkara pokok dalam isu harta pusaka orang Islam supaya semua pembaca faham dari ‘angle’ manakah kita berhujah. Saya perlu kerap berulang kali membicarakan perkara asas ini kerana masyarakat sering terkeliru atas sebab ada pihak-pihak yang tidak faham menyebarkan kekeliruan bahawa apabila kita membuat hibah, kita nak melarikan diri dari faraid. Bila kita membuat hibah kita juga seakan-akan tak percaya kepada waris-waris faraid kita. Izin saya jelaskan buat kesekian kalinya.

 

Harta ialah milik tuan punya selagi dia masih hidup. Selagi masih hidup, tuan punya harta bebas nak buat apa sahaja ke atas hartanya. Bagi wang tunai, dia bebas untuk berbelanja sampai habis tanpa perlu merujuk kepada sesiapa kerana itu hak dia. Tidak timbul isu bila dia menghabiskan wang tunainya, maka dia melarikan diri dari faraid kerana perbuatan menghabiskan duit itu dibuatnya ketika dia masih hidup lagi.

 

Bagi hartanah pula, dia boleh menyewa, memajak, menjual, menghibah, mewasiatkan atau apa sahaja transaksi ke atas harta itu. Tidak timbul langsung isu bila tuan punya harta itu menjual atau menghibah harta itu, maka dia melarikan diri dari hibah. Kenapa? Kerana semua transaksi itu dibuat ketika dia masih hidup dan dia berhak sepenuhnya  untuk bertindak. Apa-apa harta yang telah dijual atau dihibah oleh tuan punya semasa hidupnya, sudahpun tidak menjadi miliknya.  Apabila dia mati, maka harta-harta ini tidak menjadi harta pusakanya kerana ia telah menjadi milik penerima hibah atau milik pembeli yang baru.

 

Apa pula definisi harta pusaka? Harta pusaka ialah semua harta yang masih dimiliki oleh simati ketika kematiannya. Harta ini termasuklah akaun bank, kereta, saham koperasi, saham syarikat, hartanah, akaun pelaburan, KWSP atau apa sahaja kepentingan milik simati yang mempunyai nilai. Harta pusaka ini wajib diagihkan kepada waris mengikut bahagian masing-masing dalam hukum faraid. Waris-waris juga selepas mengetahui bahagian dan nilai mereka, boleh untuk bermuafakat menolak atau membahagikan harta pusaka itu mengikut apa sahaja formula yang dipersetujui bersama.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Baik, selepas kita jelas tentang apa itu perbezaan di antara harta dan harta pusaka, sekarang saya akan terangkan kenapa selama 23 tahun bergiat dalam industri perancangan harta di Malaysia, saya istiqomah menyeru orang Islam supaya membuat hibah terutamanya untuk rumah/ hartanah milik kita.

 

Seruan ini saya buat terutamanya kepada tuan punya harta yang waris-waris faraidnya adalah terdiri dari selain pasangan dan anak-anak sahaja. (Sila semak balik siapakah waris-waris anda mengikut hukum faraid).

 

Saya dah jelaskan di atas bahawa harta pusaka adalah hak waris-waris mengikut hukum faraid. Bagi harta pusaka simati yang bersifat tunai seperti akaun di bank, agihannya sangat mudah dibuat. Selepas ditolak semua hutang simati, lebihan tunai itu akan diagihkan kepada semua waris mengikut bahagian masing-masing.

 

Selepas mereka menerima bahagian ini, terserahlah kepada mereka apa nak dibuat dengan tunai itu. Nak belanja shopping sakan pun boleh, nak beri kepada pasangan dan anak-anak pun boleh, nak pergi holiday pun boleh. Pendek kata, nak kasi perabih pun itu hak mereka. Tiada apa-apa implikasi pun kepada pasangan dan anak-anak simati.

 

Bagi rumah/ hartanah pula situasinya sangat berbeza. Saya sangat yakin dan percaya, niat kita membeli rumah/ hartanah ialah supaya pasangan dan anak-anak kita ada bumbung tempat kita berlindung (perspektif saya sebagai seorang ayah). Tidak pernah terbayang di fikiran kita bahawa rumah/ hartanah yang kita beli itu juga akan menjadi milik waris-waris selain pasangan dan anak-anak (juga perspektif saya sebagai seorang ayah).

 

Apabila tuan punya rumah/ hartanah itu meninggal dunia, waris-waris selain dari pasangan dan anak-anak itu juga mempunyai hak dan sebaik proses tuntutan pusaka selesai, mereka juga menerima bahagian dari rumah/ hartanah tersebut (sekiranya mereka menuntut bahagian mereka). Akan tercatat di dalam hak milik yang baru, nama-nama semua waris mengikut bahagian masing-masing.

 

Mereka juga adalah pemilik sah kepada rumah/ hartanah itu mengikut tafsiran Kanun Tanah Negara 1965. Ini bermakna sekiranya pasangan dan anak-anak kita ingin membuat apa-apa transaksi ke atas rumah/ hartanah tersebut seperti menyewa atau menjual rumah/ hartanah itu, maka waris-waris lain tadi juga perlu diberikan hak hasil sewaan atau hasil jualan mengikut bahagian mereka. Malah waris-waris lain tadi boleh untuk tidak bersetuju dengan harga jualan atau nilai sewaan rumah itu. Boleh para pembaca bayangkan kesukaran yang bakal timbul?

 

 

WasiyyahShoppe
Kampung Baru berlatar belakang bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

 

 

Ramai di antara kita sangat biasa mendengar permasalahan pusaka yang berlaku ke atas tanah di Kampung Baru Kuala Lumpur, kes pusaka ‘legend’ yang semenjak puluhan tahun lepas tiada noktahnya. Kerajaan bersilih ganti, pelan pembangunan kerap ditukar, kes pusaka ini masih tidak selesai secara total sehingga hari ini. Pemandangan rumah buruk yang hampir roboh di tengah-tengah bangunan pencakar langit Kuala Lumpur masih kelihatan.

 

Di atas sebidang tanah, ada puluhan malah ratusan waris yang berhak ke atasnya. Bolehkah tanah ini digembleng potensi ekonominya untuk manfaat semua waris? Hampir pasti jawapannya ialah tidak. Waris-waris ini memang mewarisi tanah yang bernilai jutaan RM tetapi nilai itu tidak dapat direalisasikan dan tidak memberi manfaat langsung kepada mereka kerana permuafakatan waris puluhan atau ratusan orang ini sukar dicapai.

 

Mahukah anda melihat rumah anda yang sebuah itu akhirnya nanti diwarisi oleh puluhan malah mungkin ratusan orang? Sekiranya ia hanya melibatkan pasangan, anak-anak, cucu cicit anda sahaja, mungkin ia masih ‘tolerable’ tetapi jika ia melibatkan adik-beradik anda, anak-anak dan cucu cicit mereka?

 

Anda boleh bayangkan kesukaran yang bakal timbul pada masa hadapan apabila rumah anda yang sebuah itu bakal dimiliki secara bersama 20 tahun akan datang dalam kalangan anak-anak anda, cucu cicit anda bersama sepupu-sepupu mereka , dua pupu-dua pupu mereka dan berkupu-kupu? Maka masuklah rumah anda sebagai salah satu statistik harta pusaka terbeku di Malaysia yang sudahpun bernilai RM70 bilion sekarang!

 

Ini realiti. Ini bukan cerita rekaan. Memang bunyinya sangat indah dan realistik bahawa kita perlu yakin dengan waris-waris (jika waris faraid anda selain dari pasangan dan anak-anak) bahawa mereka boleh bermuafakat bab harta pusaka dan mereka akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

 

Hakikatnya kita lihat sekeliling dan nilaikan sendiri. Isu ini bukan tentang faraid itu tidak bagus. Faraid itu hukum yang mesti dipatuhi dan penuh dengan hikmahnya . Isu ini ialah berkaitan waris-waris itu sendiri tidak faham peranan dan tanggungjawab mereka.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Atas sebab itulah Islam juga mempunyai hukum berkaitan hibah. Ia adalah pilihan yang boleh digunakan oleh tuan punya rumah/ hartanah seperti saya dan anda selagi kita masih hidup. Kita buat hibah bukan kerana kita tidak percayakan hukum faraid atau tidak percayakan waris-waris faraid, kita buat hibah kerana ia pilihan yang Allah sediakan untuk kita dan kita mahu mengelakkan risiko rumah/ hartanah kita dikongsi puluhan malah mungkin ratusan orang pada masa akan datang.

 

Saya ulang semula, bagi harta bersifat tunai, tiada masalah untuk ia difaraidkan kerana ia tiada kesan jangka panjang kepada waris-waris. Bagi rumah/ hartanah pula, kerana kesan jangka panjangnya, maka sangat kritikal untuk kita membuat hibah. Pilihan di tangan anda. - DagangNews.com

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Berhad
ariffinsabirin

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags