Skip to main content

Kenapa Sukuk Kelestarian laris, bukankah ini #KerajaanGagal?

Pemandangan Masjid Putrajaya dan Kompleks Jabatan Perdana Menteri yang dirakam oleh Steve Runt. - Pinterest

 

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

“PADA 21 April 2020, kerajaan mengumumkan kejayaan menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia dalam dolar AS menerusi terbitan bertempoh matang 10-tahun berjumlah AS$800 juta dan sukuk bertempoh matang 30 tahun AS$500 juta dengan pengagihan menyeluruh dari Asia hingga ke Amerika Syarikat (AS).

 

Keyakinan pelabur jelas dicerminkan melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali. Berikutan permintaan yang amat menggalakkan, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan saiz terbitan asal daripada US$1.0 bilion kepada US$1.3 bilion.

 

Menurutnya, kedua-dua tranche itu telah mendapat penarafan A3 oleh Moody's Investors Service dan A- oleh S&P Global Ratings. Permintaan yang tinggi ini juga memberikan kadar hasil dan spread terendah bagi terbitan sukuk berdenominasi dolar AS oleh Malaysia dengan tranche 10-tahun ditetapkan pada 2.070 peratus [T + 50 mata asas] dan tranche 30-tahun pada 3.075 peratus [T +80 mata asas].”

 

Jika anda tidak pernah mendapat latihan amali atau mengikuti mana-mana kursus kewangan, nescaya anda terfikir: apa ke benda ayat di atas tu? Atau buat-buat tidak tidak tahu, walhal tidak tahu itu bukan dibuat-buat.

Merrepak hari ini mengemukakan kepada anda perkara-perkara asas berkaitan Sukuk, secara mudah supaya kita sama-sama belajar dan faham serba sedikit. Tidak perlu menghafalnya sebab tiada kuiz di akhir artikel ini.

 

  1. Apakah makna Sukuk?

Sukuk adalah bon yang patuh Syariah.

 

  1. Apa pula bon?

Apabila anda membeli bon (bond dalam bahasa Inggeris), anda sebenarnya meminjamkan wang kepada penerbit bon bagi tempoh yang sudah ditetapkan. Anda akan diberi kadar faedah yang telah ditetapkan awal, yang biasanya dibayar secara tahunan di dalam kerangka masa yang ditetapkan.

Nilai bon itu dibayar balik pada akhir tempoh tersebut dan anda dapat wang anda semula.

Tetapi inilah yang dinamakan riba.

Hukum Islam menegah penjanaan wang ke atas wang, instrumen kewangan yang merangkumi dagangan dan penjualan hutang dan pemberian pinjaman konvensional (termasuk bon).

Atas faktor inilah Sukuk diperkenalkan bagi mengisi jurang antara pembiayaan kewangan Islam dengan pasaran modal global.

Dalam bahasa Arab, Sukuk bermaksud صكوك, صك sakk, "instrumen sah, surat ikatan, cek" merupakan istilah Arab bagi sijil kewangan tetapi boleh diterima sebagai bon Islam.

 

merrepak

 

  1. Jadi apa itu Sukuk?

Menurut takrifan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sukuk merujuk kepada sijil-sijil yang memiliki nilai sama, dimana terbukti pemilikannya tidak dipecah-pecahkan atau pelaburan di dalam aset menggunakan prinsip-prinsip Syariah dan konsep diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Malaysia.

 

Organisasi Perakaunan dan Audit bagi Institut Kewangan Islam (AAOIFI) menyifatkan sukuk sebagai sekuriti dengan denominasi setaraf mewakili kepentingan pemilikan individu di dalam portfolio aset sedia ada atau akan datang.

 

  1. Beza bon dengan Sukuk?

Secara umumnya, kelihatan tiada beza kerana sukuk boleh distruktur bagi menawarkan pulangan tetap sama seperti bon konvensional.

Namun berbeza dengan pegangan bon, pihak yang memegang sukuk dibenarkan kepentingan pemilikan di dalam aset atau perniagaan yang dibiayai, dan pulangan diikat pada prestasi aset yang mendasar sukuk.

 

Dalam konteks Sukuk Kelestarian, aset sandarannya adalah aset lestari iaitu baucar yang mewakili hak perjalanan rangkaian pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan KL Monorail.

 

Sebagai terbitan berdaulat pertama yang menggunakan aset sandaran seumpama ini, ia menjadi penanda aras baharu selain menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran kewangan Islam global, serta memperkukuh kedudukan negara sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.

 

merrepak
Infografik ini diambil dari laman Facebook/Intraday untuk perkongsian ilmu.

 

  1. Beza bon dengan Sukuk ini macam perbankan Islam dan konvensional?

Boleh dikatakan demikian. Memanglah ada yang berdebat bahawa perbezaan sukuk dan bon hanya dari segi teknikal. Tetapi bagi orang Islam, bab teknikal inilah super sensitif.

Menurut Bon & Sukuk Information Exchange, amalan meraih untung daripada wang semata-mata, dengan menggadaikan produktiviti dan orang sebenar adalah punca kepada banyak masalah ekonomi yang melanda dunia sejak sedekad yang lalu.

Kadar faedah dan inflasi dibuat-buat ke atas harga berdasarkan hutang, dan bukan nilai sebenar adalah punca utama bagaimana gelembung terbentuk, meletus yang kemudiannya mengakibatkan kemelesetan ekonomi dan kemalapan kehidupan.

 

  1. Kaedah penetapan harga sukuk

Sukuk, tidak seperti bon, ditetapkan harga mengikut nilai sebenar pasaran bagi aset yang disokong oleh sijil sukuk.

Harga bon pula berdasarkan penarafan kredit pihak yang menerbitkannya. Ini adalah diperlukan dalam kes bon kerana apabila anda menjual bon di pasaran kedua, anda sebenarnya menjual hutang di dalam konteks pinjaman yang disandarkan.

Sukuk, penjualannya di pasaran kedua hanyalah sekadar penjualan pemilikan aset.

 

  1. Apa peraturan kerajaan hendak terbitkan Sukuk?

Dari sudut teknikal, sukuk kerajaan dinamakan Terbitan Pelaburan Kerajaan atau Government Investment Issue (GII) bermatlamat mengumpul dana daripada pasaran modal tempatan untuk membiayai  perbelanjaan pembangunan kerajaan.

GII adalah sekuriti Islam diterbitkan patuh kepada keperluan Syariah dan merupakan instrumen hutang alternatif bagi kerajaan.

GII diterbitkan mengikut Akta Pendanaan Kerajaan 1983.

 

  1. Kenapa sukuk laris?

Ada pihak mempersoalkan bagaimana Sukuk Kelestarian jadi begitu laris, sedangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilabel sebagai `kerajaan tebuk bumbung’.

 

merrepak

 

Berikut adalah faktor-faktor yang boleh dikaitkan dengan kelarisan Sukuk Kelestarian:

 

a) Jenama Sukuk Malaysia

Sejak sukuk korporat pertama dilancarkan di Malaysia pada tahun 1990 oleh Shell MDS, pasaran sukuk di Malaysia terus membangun dan pada masa sama, disokong oleh persekitaran penerbitan Malaysia yang kondusif, dasar-dasar bagi aktiviti pelaburan yang amat mesra dan infrastruktur kewangan Islam yang menyeluruh.

 

Ringkasnya, letak saja sukuk di pasaran, jenama `Sukuk Malaysia’ ini sudah dikenali global, malah diiktiraf sebagai penerbit sukuk terbesar di dunia dan pasaran kewangan Islam paling maju oleh Thompson Reuters’ Islamic Finance Development Indicator.

 

b) Aset sandaran yang bagus

Sepert disebut awal di atas, sukuk ini aset sandarannya adalah aset lestari iaitu baucar yang mewakili hak perjalanan rangkaian pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan KL Monorail.

 

c) Kecenderungan Pelabur Asing Untuk Aset Tetap

Trend organisasi pelaburan di Amerika Syarikat, terutamanya sejak setahun pandemik COVID-19 melanda dan `penyingkiran’ Presiden Donald Trump yang dianggap menghuru-harakan Wall Street, ialah kepada pelaburan aset tetap. Dan sukuk ini tergolong dalam portfolio pelaburan berjangka panjang yang cukup selamat. Sebab itu Sukuk Kelestarian ini menggunakan mata wang dolar AS.

 

d) Mahu mempolitikkan bagaimana?

Penentang politik terhadap Perdana Menteri kini galak memainkan hashtag #KerajaanGagal. Ini adalah cubaan mempengaruhi rakyat supaya Muhyiddin segera membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

 

Kejayaan Sukuk Kelestarian ini membungkam kempen itu ke tepian. Bagaimana hendak dikatakan gagal bila sukuk keluaran kerajaan sekarang berbondong-bondong pelabur datang mahukannya? Bukankah ini bukti #KerajaanBerjaya?

 

  • Jadi, untuk mereka yang mahu PRU15, minta guna kewarasan sebentar, kalau tiada kesabaran. Negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

  • Tahu tak Sarawak yang satu-satunya negeri kenakan kuarantin bagi kemasukan pelawat pun kini angka positif harian mencanak-canak, berlawan Top 2 dengan Selangor?

  • Suntikan vaksin pun sampai sekarang macam hendak setengah mati menunggu sambil membelek MySejahtera tiap hari.

  • Pandemik ini benar. Dan ia tidak selesai lepas Raya ini atau pada Jun tahun ini. Malah ada yang kata sudah divaksin pun tidak jamin COVID-19 akan hapus. Jadi kita kena bersedia bab ini dahulu, bukan sibuk berpolitik.

  • Rakyat tidak ingin PRU15 selagi angka kes positif COVID-19 tidak menurun. Rakyat tidak hirau PRU15 selagi tidak divaksinasi. Tolonglah faham, wahai ahli politik yang bijaksana di pihak pemerintah dan pembangkang.

  •  Sekian. - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Pengarang Urusan DagangNews.com, yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Pupus oleh Dewa berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.