Skip to main content

Kenapa `Tuan' dikaitkan dengan darjat, `Puan' dikaitkan status perkahwinan?

MERREPAK OLEH JOHARDY IBRAHIM

 

MULANYA saya hendak biarkan sahaja. Tetapi semakin kerap pula menerimanya sejak kebelakangan ini. Dibiarkan sebab tidak mahu digelar grumpy old man atau perengus. Cepat sentap. Jiwa sensitif.

``Terima kasih encik”. “Kami sangat hargai usaha encik”. “ Kalau encik sudi...”

Apa salah frasa di atas? Kalau ikut subjek Bahasa Malaysia, mungkin ada guru akan kata betullah penggunaan `encik’ sebagai kata ganti nama pertama. Apa yang salah? Ya mungkin betul, bila dibahas daripada sudut tatabahasa.

Yang salahnya ialah dari sudut etiket (etiquette). Apa itu etiket? Etiket bermaksud adat dan peraturan berkaitan kesopanan, terutamanya dalam kehidupan sosial atau dalam profesion tertentu (takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat).

Dalam bahasa penulisan, dan dalam konteks ini saya maksudkan WhatsApp dan e-mel. Apakah WhatsApp tidak anda anggap platform rasmi? Silaplah jika anda beranggapan WhatsApp sedemikian? Lafaz cerai melalui WhatsApp pun sudah diterima di mahkamah. Inikan pula jika melibatkan komunikasi rasmi anda dengan orang tertentu.

Penulisan secara e-mel kini diperakui platform rasmi. Menaip surat tradisional orang sudah tidak tahu bagaimana hendak mengeposnya.

Jadi untuk komunikasi rasmi, molekkah guna istilah `encik’? Seelok-eloknya gunalah `Tuan’. Contohnya,” Terima kasih Tuan”.

Ini bukan soal meninggikan martabat orang atau kenapa hendak panggil dia tuan, dia bukan bos saya atau mengembalikan kita ke zaman penjajah bila peladang teh British dijawab kuli `Yes Tuan’. Tak. Tak betul. Itu semua hujah kurang berilmu.

Penggunaan perkataan `tuan’ atau `puan’ dalam surat menyurat adalah etiket yang betul iaitu kesopanan. Malah, jika diguna di dalam bahasa pertuturan pun, amat manis dan orang yang membacanya tahu anda yang menulis tinggi budi pekerti.

Lazimnya, bila menyatakan `tuan’ kepada orang yang tidak dikenali, mereka akan rasa gembira dan akan membalas budi bahasa anda dengan berbudi bahasa juga. Jangan hirau jika ada yang tidak membalas dan terus bertutur bahasa pasar dengan anda. Itu mereka. Anda kekalkan kesopanan. Itu namanya anda ada kelas.

Hendak panggil wanita Puan atau Cik?

Bagaimana pula dengan wanita? Panggilan Puan adalah wajar tetapi yang bujang, tidak suka dipanggil puan, mahu dipanggil cik sahaja. Inilah salah ajaran kita sekian lama kerana hanya perkataan `Puan’ dan `Cik’ yang rupa-rupanya ada indikator status perkahwinan. Kenapa `tuan’ tidak diketahui bujang atau berkahwin?

Sepatutnya perkataan `Puan’ sama definisi dengan `Tuan’ iaitu panggilan hormat semata-mata, bukan menunjukkan status perkahwinan atau darjat. Kita sudah terlalu jauh melalut. Lihat sahaja petak mengisi borang. Kalau bujang, tandakan petak `Cik’. Mengapa oh mengapa?

Kalau anda rajin, cuba perhatikan budaya pemerkasaan wanita di Barat, pegawai wanita biasanya dirujuk sebagai “Miss” sahaja. Bukan hendak menyorok status perkahwinan tetapi dalam hal-ehwal profesional dan pejabat, apa kaitan status perkahwinan? Itu di Barat ya. Women Liberation berlangsung agak ekstrem. Berdasarkan pemerhatian umum, budaya ini perlahan-lahan meluas di negara kita.

Bezanya di Malaysia, bila berkaitan urusan rasmi, pegawai wanita bujang atau berkahwin semua kena dihormati dengan panggilan yang sopan seperti `Puan’. Masalahnya yang bujang cepat pula melenting jika dipanggil `Puan’. Ketahuilah bahawa itu adalah panggilan sopan semata-mata. Tidak perlu marah-marah, tiada sesiapa berniat mengorat anda. Atau mungkin anda lebih suka dipanggil `Bos’?

Hari ini Merrepak menumpu khusus hal-hal berkaitan kesopanan baik dalam bahasa pertuturan mahupun penulisan. Bila anda tahu berbahasa Malaysia yang betul tatabahasanya, ia menjadi lebih cemerlang bila anda menyertakan nilai-nilai kesopanan.

Seperti hujah awal di atas, kalau anda guna `encik’ sebenarnya tidak salah. Tetapi bila anda guna `tuan’, bahasa Malaysia anda terbilang sebab anda menggunakan sepenuhnya ciri-ciri kesopanan, adab tertib dan budi bahasa. Dan kesopanan juga adalah satu daripada 5 ciri Rukun Negara.

Patronising

Alang-alang Merrepak hal kesopanan, saya hendak sentuh satu lagi aspek. Sesekali mungkin ada ahli keluarga, sahabat handai datang kepada anda menceritakan kesusahan mereka. Kita ambil contoh kematian. Mereka sedih sebab kehilangan bapa atau ibu atau suami atau isteri contohnya.
 

aaa

Benar, anda mungkin juga pernah mengalami situasi sama kematian ahli keluarga. Tetapi itu tidak memberi anda hak untuk menyatakan kepada orang yang mengadu itu “Saya faham kesedihan anda. Saya sendiri pernah melaluinya”.

Kenapa tidak berhak? Kerana setiap individu adalah berbeza. Emosi dan akal masing-masing. Cara menyerap kesedihan juga berlainan. Anda mungkin sedih tiga bulan, dan bulan keempat anda sudah ceria. Apakah anda jangka orang yang mengadu akan sama seperti awak? Apakah anda boleh jamin orang itu akan keluar daripada kemurungan?

Jadi semasa hendak mententeramkan orang yang sedih, gunalah akal lebih panjang. Dengarlah masalah dia. Nasihatlah dia mengikut asas cerita dia. Apa hal hendak kaitkan cerita anda pula di dalam cerita dia? Tidak sama. Anda mungkin kuat. Anda mungkin bermotivasi. Orang lain belum tentu sekuat anda. Jadi janganlah kata `anda pernah melalui detik serupa dengan dia’.

BASIKAL

Yang terakhir hendak saya sentuh sikit ialah berkaitan berbasikal. Ya, saya berbasikal setiap Ahad secara berkumpulan, biasanya menuju ke Taman Botani Negara Shah Alam di Seksyen 8. Benar, untuk menuju ke situ, kena lalu sedikit jalan utama dari simpang lampu trafik. Jadi ada kenderaan lalu-lalang dari penduduk Seksyen U11.
 

aaa

Bagi saya, penduduk di Bukit Bandaraya U11, tahu mereka berjiran dengan taman rekreasi di mana sangat ramai orang datang untuk beriadah, jogging dan berbasikal. Mereka cukup bertolak-ansur dengan bilangan kereta yang hendak masuk ke taman botani, termasuk pengayuh basikal.

Lain daripada itu, saya dengan sahabat handai berkayuh di kawasan hutan, termasuk Taman Cabaran Putrajaya (PCP) atau ladang kelapa sawit Ulu Yam, contohnya. Ini sebab disiplin basikal saya adalah MTB (Mountain Bike) dan bukan RB (Road Bike) yang tayarnya halus tidak sesuai masuk hutan.

Saya faham kenapa ada rungutan orang terhadap geng berbasikal sebab melibatkan soal keselamatan. Samalah seperti motosikal dibawa di Lebuh raya Persekutuan tetapi tidak menggunakan lorong khas motosikal. Samalah bahaya. Itu kita faham.

Yang saya tidak faham bagaimana idea hendak mengembalikan lesen basikal dicetuskan semula. Saya sempat melalui zaman basikal berlesen pada 1980-an. Arwah bapa dah bayar tetapi tidak boleh bawa balik basikal lagi. Ia disebabkan tauke kena bayar lesen basikal. Lawaknya, saya kena tunggu 3 hari! Sebab tauke tunggu banyak-banyak baru dia pergi ke JPJ. Saya tidak lupa sebab selama tidak dapat basikal itulah, saya kena naik bas ke sekolah!

Idea itu bagaimanapun, diperjelaskan oleh Kementerian Pengangkutan sebagai idea agensi semata-mata dan bukan dasar yang hendak dilaksanakan. Lega mengetahuinya. Kemudian timbul pula kenyataan PDRM bakal mendenda RM1,000 kepada pengayuh di lebuh raya.

Demi keselamatan, saya seru anda semua yang gemar berbasikal seperti saya supaya sentiasa ingat pengguna jalan raya lain. Geng kayuh di Seksyen 4 Shah Alam, pasanglah lampu depan dan belakang bila waktu malam. Senang sahaja. Kita hendak orang hormat kita berkayuh, kita kena buatlah apa yang sepatutnya atas dasar keselamatan. Boleh ya? - DagangNews.com

 

Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Mulanya Di Sini oleh Freedom berulang-ulang kali. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com.  Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel johardy@dagangnews.com