Kenapalah proses tuntutan pusaka susah sangat? Permudahkanlah! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 7 March 2022
Wasiyyah

Kenapalah proses tuntutan pusaka susah sangat? Permudahkanlah!

 

 

PANDANGAN ini dilontarkan oleh seorang kenalan saya yang sudah bertahun-tahun lamanya mengkaji isu pengurusan harta pusaka. Dia sangat rajin mengikuti pelbagai seminar dan bengkel untuk menambah ilmunya di dalam bidang ini semenjak bertahun lamanya.

 

Menurutnya lagi, Kerajaan atau pihak berwajib mestilah memperkenalkan prosedur yang lebih mudah dan cepat untuk menjaga kepentingan dan kebajikan waris. Lagi lama proses pusaka itu berjalan, lebih banyak kos yang terpaksa dikeluarkan waris.

 

Lebih besar kemungkinan perbalahan akan tercetus dan waris yang berkeperluan dari segi kewangan akan lambat menerima hak mereka.

 

Ditambah pula dengan keadaan ekonomi tidak menentu akibat penangan pandemik dan faktor luar kawalan yang lain, waris berada dalam keadaan tertekan dan alangkah leganya  jika mereka dapat menerima  harta pusaka hak mereka bagi mengisi keperluan semasa yang mendesak.

 

Dari satu sudut saya setuju dengan pandangan kenalan ini. Memang sejak 2004 lagi, Wasiyyah Shoppe Berhad tanpa jemu-jemu sentiasa mencari jalan bagaimana proses pengurusan pusaka umat Islam Malaysia dapat dipermudahkan dan waris menerima harta pusaka hak mereka dengan lebih cepat.

 

Semenjak bertahun lamanya, kami telah melibatkan pihak-pihak berkepentingan di dalam perbincangan mencari jawapan ini.

 

Ada beberapa strategi yang telah kami ambil di dalam kapasiti kami seperti pengenalan perkhidmatan Al-Wasitah iaitu perkhidmatan pengurusan harta pusaka PERCUMA untuk waris yang pertama di Malaysia.


 

Wasiyyah


 

Kami faham suka atau tidak, bila berlaku kematian, proses perundangan bagi menuntut harta pusaka mesti dilalui tanpa mengira harta yang ditinggalkan itu banyak atau sedikit.

 

Majoriti dari waris yang ditinggalkan tidak tahu secara tepat apa proses yang perlu mereka lalui dan kos yang perlu mereka tanggung untuk melalui proses ini.

 

Tambahan pula mereka tidak boleh berfikir dengan jelas kerana berada di dalam keadaan emosi yang tidak stabil dan kesedihan kerana ditinggalkan oleh orang yang tersayang.

 

Waris kepada pelanggan Al-Wasitah Wasiyyah Shoppe Berhad, akan diberikan perkhidmatan khutbah pusaka di mana pegawai perundangan kami akan datang bertemu waris pada waktu dan lokasi yang telah dipersetujui bersama (tidak semestinya datang ke pejabat Wasiyyah Shoppe Berhad).

 

Di dalam sesi ini, kami akan menerangkan secara terperinci hak waris mengikut hukum faraid, proses perundangan yang perlu dilalui dan dokumen yang kami perlukan bagi memfailkan permohonan bicara kuasa.

 

Selepas semua dokumen diperoleh dari waris, kami yang akan memfailkan permohonan bicara kuasa di lokasi yang berkenaan baik di Mahkamah Tinggi Sivil, Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Syariah (yang mana berkenaan).

 

Waris tidak perlu pening kepala nak mengisi borang atau memfailkan afidavit atau petisyen. Semuanya diselesaikan oleh pihak kami.

 

Apabila datang tarikh perbicaraan, kami akan hadir bersama peguam panel kami (jika berkenaan) untuk mengiringi waris-waris bagi memberikan panduan tentang prosedur perbicaraan.

 

Selepas selesai perbicaraan pula, kami akan melakukan kerja susulan dengan pihak berkenaan bagi memastikan semua Surat Kuasa Mentadbir, Grant of Probate, Letter of Administration, Perintah Pembahagian, Distribution Order atau apa-apa perintah yang berkaitan dikeluarkan dengan cepat.

 

Di atas permintaan pula, kami boleh juga membantu waris untuk melaksanakan atau mendaftarkan perintah-perintah ini bagi memastikan dokumen pemilikan harta berkenaan diturun milik secara sah kepada waris yang berhak.

 

Wasiyyah

 

 

Semua kerja yang saya sebutkan di atas tadi akan dilaksanakan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad secara PERCUMA untuk waris. Di Malaysia, pihak-pihak lain mengenakan caj perkhidmatan di antara 1 -5 % bagi perkhidmatan ini.

 

Kenapa pula Wasiyyah Shoppe Berhad memberikan perkhidmatan ini secara PERCUMA?

 

Jawapannya ialah kerana si ibu atau bapa itu ketika hidupnya telahpun melanggan perkhidmatan Al-Wasitah kami dan manfaat utama kepada perkhidmatan ini ialah perkhidmatan pengurusan pusaka PERCUMA untuk waris. 

 

Segala kerja yang kami lakukan untuk waris ini dapat memudah dan mempercepatkan proses kerana dari segi permuafakatan dan dokumentasi telah lengkap.

 

Namun kami hanyalah boleh membantu persediaan dari pihak waris sahaja. Untuk menjadikan proses pengurusan pusaka benar-benar cepat, ada pihak berpendapat proses di pihak berkenaan seperti Pejabat Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil dan Mahkamah Tinggi Syariah juga perlu diringkaskan dan dikurangkan birokrasinya.

 

Ramai yang beranggapan keperluan menyerahkan pelbagai dokumentasi dan melalui pelbagai proses menjadikan urusan pusaka sangat lambat.

 

Saya bersetuju dengan pandangan ini dari satu sudut iaitu untuk menjaga kebajikan waris. Namun kita semua perlu faham bahawa proses pengurusan pusaka ini melibatkan undang-undang dan lebih kritikal lagi ia melibatkan hukum.

 

Semua agensi berkenaan di dalam membuat keputusan perlu berhati-hati bagi memastikan keputusan yang dibuat itu betul dan waris yang menerima itu adalah waris yang benar-benar berhak dari segi hukum.

 

Kerana itu segala dokumentasi dan pembuktian diperlukan. Masalahnya kepada orang kita kadang-kadang sijil nikah pun tak tahu disimpan di mana.

 

Jika simati ada membuat wasiat atau hibah semasa hidupnya, ia perlu disahkan oleh Mahkamah Syariah. Mahkamah perlu memastikan wasiat atau hibah ini dibuat mengikut peruntukan hukum syarak yang berkenaan sebelum mengeluarkan perintah pengesahan. 

 

 

Wasiyyah

 

 

Dari segi hak ke atas harta pula, perlu disahkan bahawa harta itu benar-benar milik simati. Kerana itu carian hartanah perlu dibuat di pejabat-pejabat tanah berkenaan.

 

Jika simati meninggalkan saham syarikat pula, perlu dipastikan saham itu benar-benar miliknya atau adakah dia hanya bertindak sebagai proksi bagi pihak lain.

 

Untuk keadilan semua pihak, apabila ada pihak-pihak yang menuntut/ mencabar, mahkamah perlu memberi peluang kepada pihak-pihak tersebut untuk mengemukakan tuntutan mereka.

 

Melalui perbicaraan, mahkamah akan membuat keputusan sama ada tuntutan itu mempunyai merit dari segi undang-undang ataupun tidak.

 

Jadi meringkaskan proses dan SOP di dalam urusan pusaka ini mempunyai risikonya yang tersendiri dan ia tidak mudah seperti yang disangkakan.

 

Banyak faktor yang perlu diambil kira dan pastinya peruntukan undang-undang berkenaan juga perlu dilihat secara terperinci bagi memastikan segala tindakan adalah selari dengan undang-undang. 

 

Namun saya tahu juga secara tepat dan jelas bahawa semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, agensi-agensi yang berkenaan sudah dan sedang melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif bagi mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan proses pengurusan pusaka.

 

Atas usaha itu saya ucapkan tahniah kepada mereka.

 

Sebagai masyarakat marilah kita cakna tentang segala perubahan ini dan sama-sama memainkan peranan dan tanggungjawab untuk menyokong segala usaha ini.

 

Insya-Allah bergerak ke hadapan, kita akan dapat melihat proses pengurusan pusaka akan menjadi lebih mudah dan cepat sekaligus memastikan kebajikan waris terbela apabila mereka dapat menerima harta pusaka dengan cepat.          

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags