Skip to main content

Keputusan di bawah jangkaan, Kenanga semak turun harga saham Media Prima

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Kenanga Investment Bank menurunkan harga sasaran saham Media Prima Bhd kepada RM0.56 sesaham berbanding RM0.69 sebelum ini selepas syarikat itu merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang lebih rendah daripada jangkaan tahun penuh yang dibuat.

 

Dalam nota penyelidikannya Kenanga berkata, Kumpulan itu mencatatkan PATAMI sebanyak RM26.3 juta yang berada di bawah jangkaan PATAMI tahun penuh dan konsensus sebanyak RM40.6 juta (65%) dan RM37.5 juta (70%).

 

"Kami percaya prestasi ia disebabkan oleh anggaran jualan pengiklanan yang terlalu tinggi. 

 

"Media Prima juga tidak mengumumkan sebarang dividen, dan ia sudah dijangkakan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Hasil untuk tempoh 9 bulan pertama 2021 naik 8% kepada RM804.3 juta daripada RM743.5 juta susulan peningkatan sebanyak 114% dalam segmen Omnia yang meningkatkan lagi pendapatan kumpulan. 

 

"Segmen membeli-belah di rumah menyaksikan penurunan sebanyak 6% terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan pengguna yang lebih rendah pada suku semasa yang kami percaya disebabkan oleh pengguna lebih suka menyimpan wang tunai semasa penutupan seluruh negara pada suku ketiga kerana hanya sektor tertentu dibenarkan beroperasi dalam tempoh tersebut. 

 

"Segmen luar rumah terus menyaksikan penurunan sebanyak 22%. 

 

"Selain itu, berikutan pendapatan pengiklanan dan percetakan yang lebih rendah, segmen penerbitan menyaksikan penurunan 15% tahun ke tahun sebanyak RM32.4 juta pada suku ketiga 2021 3QFY21 berbanding RM38.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya," katanya.

 

Kenanga bagaimanapun terus kekal positif terhadap tinjauan masa depan Media Prima dengan melihat pelbagai perkongsian yang dijalankan telah meningkatkan hasil pengiklanan kumpulan dan terus menyokong segmen penciptaan kandungan. I

 

"Suka untuk diingatkan bahawa segmen penciptaan kandungan mengalami kerugian pada tahun kewangan 2020; namun, sejak pembentukan pelbagai perkongsian pada 2021, segmen ini telah menguntungkan selama tiga suku berturut-turut, mencatat margin keuntungan selepas cukai sebanyak 74% pada 9 bulan pertama tahun ini," katanya. -DagangNews.com