Keputusan FTSE dijangka terus sokong permintaan bon kerajaan | DagangNews Skip to main content

Keputusan FTSE dijangka terus sokong permintaan bon kerajaan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 April - Keputusan positif FTSE Russell untuk ‘menyingkirkan’ bon kerajaan Malaysia daripada senarai pemerhatian dijangka terus menjadi pemangkin kepada peningkatan permintaan pasaran hutang negara. 

 

Turut sama menyokong situasi iu adalah dasar monetari yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk kekal akomodatif sepanjang tahun ini, menurut Kenanga Research. 

 

“Namun, kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST) 10 tahun yang terus meningkat mungkin secara marginnya merencatkan permintaan bon tempatan pada minggu ini. 

 

“Hasil (bon kerajaan) mungkin terus merudum pada minggu ini, namun pada kadar yang perlahan,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Kenanga Research mendedahkan kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) terus menurun, antara -27.6 mata asas (bps) hingga -9.0 bps. 

 

Jelas firma itu, MGS 10 tahun menyusut 21.7 bps kepada 3.119%, paras rendah sepanjang empat minggu, sementara MGS 3 tahun menokok 1.7 bps kepada 2.128%.

 

Kata Kenanga, permintaan bagi MGS dan GII dipacu, terutamanya oleh pengumuman FTSE Russell berhubung pengekalan bon Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI). 

 

Pengumuman itu juga menyaksikan setelah dua tahun, Malaysia dibuang daripada senarai pemerhatian bagi potensi penurunan gred.

 

Baca : Malaysia tidak tersingkir dari Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE

 

“Kami menjangkakan aliran masuk asing ke pasaran hutang akan terus bertambah baik dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang, dipacu oleh keputusan FTSE Russell selain kadar hasil yang berbeza bagi bon tempatan. 

 

“Namun, risiko penurunan telah muncul berikutan kemungkinan timbulnya sentimen risiko global akibat lonjakan semula kes COVID-19 di Eropah.

 

“Dalam pada itu, tebaran kadar hasil MGS-UST 10 tahun meruncing kepada 140 bps daripada minggu lalu, 166 bps,” tambah Kenanga.

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit berjaya membalikkan kerugiannnya berbanding dolar AS pada minggu lalu walaupun kadar hasil UST 10 tahun diniagakan melebihi paras 1.74%.

 

Jelas Kenanga, mata wang negara disokong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi, angka PMI pembuatan lebih baik dan data perkilangan China yang kukuh selain penyingkiran Malaysia daripada senarai pemerhatian FTSE Russell.

 

Baca : Mac 2021: PMI pembuatan Malaysia naik kepada 49.9 

 

“Ringgit dilihat menyusut sedikit sebanyak 0.08% berbanding dolar AS kepada 4.143 seperti mana ditunjukkan oleh Purata Pergerakan Eksponen (EMA) 5 hari pada minggu ini.

 

“Secara teknikal, ringgit dijangka diniagakan lebih rendah berbanding dolar AS pada minggu ini, dengan paras rintangan segera pada kadar 4.147 bagi R1, diikuti 4.154 bagi R2,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajian berbeza. - DagangNews.com