Kerajaan bincang dengan pemain industri pastikan harga minyak masak berpatutan | DagangNews Skip to main content

Kerajaan bincang dengan pemain industri pastikan harga minyak masak berpatutan

Minyak masak tidak bersubsidi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kerajaan menjalankan perbincangan maya bersama pemain industri sawit negara dalam usaha memastikan kestabilan harga minyak masak tidak bersubsidi di pasaran.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pemain industri tersebut melibatkan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan beberapa pemain industri sawit terkemuka.

 

"Fokus utama perbincangan selepas mesyuarat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan bersama Kabinet itu menumpukan kepada syor dan cadangan yang konkrit dapat disepakati.

 

"Ia adalah untuk memastikan rakyat dapat menikmati harga minyak masak yang berpatutan selain memperoleh situasi menang-menang antara pemain industri, peruncit dan pengguna," jelas beliau dalam laman Facebook rasmi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini.

 

.

 

Turut hadir bagi pihak KPPK ialah Ketua Setiausaha  KPPK, Datuk Ravi Muthaya dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Mad Zaidi Mohd Karli.

 

Pemain industri yang turut serta dalam perbincangan maya itu terdiri daripada Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir;  Ketua Pegawai Eksekutif MPOA, Datuk Mohd. Nageeb Abdul Wahab; Pengarah Urusan Kumpulan IOI, Datuk Lee Yeow Chor; Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby, Mohamad Helmy Othman Basha dan wakil Ketua Pegawai Kesekutif FGV Holding Berhad, Azman Ahmad.

 

KPDNHEP baru-baru ini memberitahu, minyak masak tidak bersubsidi adalah yang dijual dalam botol plastik bersaiz 2kg, 3kg, 5kg dan tin 17kg.

 

Menurut kementerian itu, harga kumpulan minyak masak tidak bersubsidi akan ditentukan oleh paras harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia. 

 

Subsidi hanya diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg 1kg.

 

Minyak masak dalam bungkusan polibeg itu ditawarkan pada harga mampu milik yang sangat munasabah iaitu RM2.50 sepeket.

 

Paras harga berkenaan akan terus ditawarkan meskipun harga CPO di pasaran dunia berlaku peningkatan. - DagangNews.com