Kerajaan cukup sumber kewangan untuk beri Permai - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Kerajaan cukup sumber kewangan untuk beri Permai - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Kerajaan masih mempunyai ruang untuk memperuntukkan perbelanjaan tambahan, dalam konteks ini, termasuk pakej bantuan baharu, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai). 

 

Sumber kewangan itu boleh dikendalikan dengan berhati-hati menerusi skop Belanjawan 2021 dan defisit fiskal sebanyak 5.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Walaupun kerajaan tidak mendedahkan jumlah suntikan fiskal langsung di bawah pakej rangsangan Permai, namun CGS-CIMB Research menjangkakan perbelanjaan tambahan itu tidak melebihi daripada RM2 bilion. 

 

Nilai anggaran itu menyaksikan suntikan fiskal RM1 bilion bagi Program Subsidi Upah (PSU) 3.0, pengambilan lebih 3,500 pekerja kesihatan (RM150 juta), peruntukan hospital swasta (RM100 juta), Program Bakul Makanan (RM50 juta), skim caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) delivery riders (RM24 juta), Geran Khas Prihatin (RM650 juta) dan one-off RM500 kepada pemandu teksi dan bas (RM66 juta).

 

Ini hanya merangkumi 0.1% daripada KDNK, CGS-CIMB mengulas lanjut. 

 

“Tambahan lagi, sekiranya harga minyak global kekal pada kadar AS$56 setong berbanding unjuran dalam Belanjawan 2021 pada AS$42 bilion setong, kami menjangkakan kerajaan mampu mengutip hasil tambahan daripada sumber itu kira-kira RM4 bilion. 

 

“Ini berdasarkar penelitian RM300 juta setiap AS$1 setong. 

 

“Oleh itu, kami tidak melihat Permai mencetuskan reaksi buruk pasaran terhadap kedudukan fiskal kerajaan,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Baca : Impak PKP ke atas ekonomi masih terkawal - PM

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan baharu iaitu Permai yang bernilai RM15 bilion seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas beberapa buah negeri.

 

Baca : PM umum Permai, pakej rangsangan baharu bernilai RM15 bilion

 

Baca : Kumpulan pertama terima vaksin COVID-19 awal Mac - PM

 

Baca : Pekerja tidak memenuhi caruman minimum dibenar mohon SIP

 

Secara amnya, pakej bantuan Permai akan menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan selain mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan. 

 

Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah Permai  yang berteraskan kepada tiga matlamat utama.

 

Dalam pada itu, PKP dijangka dilanjutkan memandangkan kes jangkitan harian COVID-19 kekal tinggi, ramal CGS-CIMB. 

 

Malah, Muhyiddin dalam ucapan pengumumannya petang semalam turut tidak menafikan bahawa sejak pelaksanaan PKP 2.0, statistik harian kes positif COVID-19 masih tinggi. 

 

Sementara itu, CGS-CIMB percaya skop pengembangan fiskal yang signifikan mungkin dihadkan oleh kadar siling hutang kerajaan dan kebimbangan terhadap potensi penarafan kewangan negara.

 

Secara keseluruhannya, CGS-CIMB 'neutral' terhadap pakej bantuan Permai dan meletakkan penarafan sama ke atas kesan suntikan fiskal itu terhadap perolehan korporat. 

 

Berdasarkan penilaian awalnya, pakej rangsangan itu tidak memberi impak ke atas sektor pengguna yang dijangka kekal berhati-hati untuk mengeluarkan perbelanjaan walaupun terdapat PSU 3.0 dan bantuan kewangan daripada kerajaan. 

 

"Sementara itu, sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) mungkin tidak mendapat manfaat secara langsung daripada pemotongan cukai khas bagi pengurangan sewa yang diberikan kepada premis perniagaan kerana pada masa ini mereka menikmati pengecualian cukai apabila membayar sekurang-kurangnya 90% keuntungannya sebagai dividen. 

 

"Untuk syarikat telekomunikasi, kami tidak melihat pakej data khas 15GB akan memberi impak besar kerana anggaran hanya 2 hingga 2.5 juta pelajar (iaitu 5-6% dari jumlah pelanggan industri) yang layak untuk itu, hanya berlangsung selama empat bulan, dan mungkin perlahan kerana penggunaan data yang lebih tinggi," tambah CGS-CIMB. 

 

CGS-CIMB mengekalkan unjuran KLCI pada paras 1,759. - DagangNews.com