Kerajaan kekalkan tarif elektrik semasa, AmInvestment ulangi saranan 'beli' terhadap TNB | DagangNews Skip to main content

Kerajaan kekalkan tarif elektrik semasa, AmInvestment ulangi saranan 'beli' terhadap TNB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Jan - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan nilai wajar (FV) pada RM12 sesaham berikutan keputusan kerajaan mengekalkan tarif elektrik semasa. 

 

Pada Jumaat, TNB dalam makluman di Bursa Malaysia berkata, kerajaan meneruskan parameter semasa Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi lanjutan tempoh kawal selia kedua dan mengekalkan jadual tarif elektrik semasa berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022 dan sehingga dimaklumkan kemudian.

 

Pihak kerajaan juga memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) di samping mengekalkan rebat ICPT pada 2.00 sen/kWh yang sedang dilaksanakan bagi semua pelanggan, termasuk pelanggan domestik dengan penggunaan bulanan 300 kWh dan ke bawah, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022 dan sehingga dimaklumkan kelak.

 

Malah, TNB juga memaklumkan kesan pelaksanaan ICPT, berlandaskan Panduan Pelaksanaan Kawal Selia (RIG), adalah neutral ke atas TNB dan tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas operasi perniagaan dan kedudukan kewangan.

 

Bagaimanapun, dalam nota kajian hari ini, penganalisis AmInvestment, Gan Huey Ling berkata, terdapat persoalan mengenai kesan rebat tarif ini dan impak neutral ke atas TNB. 

 

"Bagi membolehkan rebat ICPT mempunyai kesan neutral, kami berpendapat kemukingkan terdapat subsidi atau geran disediakan oleh kerajaan. Namun, perkara ini akan disemak dengan pihak pengurusan TNB," katanya. 

 

Pada sama sama, tambah beliau, selain rebat tarif, kemungkinan terdapat tarif surcaj pada separuh kedua tahun ini. 

 

Ini kerana katanya, TNB telah mengiktiraf kos bahan api yang di bawah pemulihan sebanyak RM1.3 bilion pada suku ketiga 2021.

 

"Selain itu, harga tenaga juga melebihi kadar rujukan yang ditetapkan di bawah lanjutan RP2," jelasnya.

 

Di bawah lanjutan RP2, kadar rujukan adalah AS$67 satu tan metrik bagi arang batu dan RM27.20 mmbtu bagi gas. 

 

Menurut Bloomberg, setakat 31 Disember 2021, harga arang batu (harga di Indonesia) adalah AS$159.79 satu tan metrik manakala gas (kontrak Jepun berdasarkan kepada harga import gas asli cecair) adalah AS$6.60 mmbtu. 

 

Huey Ling berkata, di bawah mekanisme ICPT, TNB akan mengiktiraf pemulihan harga bahan api yang kurang atau lebih bagi setiap suku. 

 

"Bagaimanapun, rebat atau surcaj tarif hanya bermula setiap 6 bulan. Oleh itu, terdapat kesan aliran tunai yang ketinggalan," katanya. 

 

Namun, menurutnya, sambungan parameter di lanjutan RP2 bermakna kadar pulangan TNB pada 7.3% masih kekal dilindungi. 

 

Setakat 10.32 pagi ini, harga saham TNB susut 1 sen atau 0.11% kepada RM9.33 dengan 375,000 saham diniagakan. - DagangNews.com