Kerajaan muktamadkan rundingan masalah kewangan Malaysia Airlines 31 Dis ini | DagangNews Skip to main content

Kerajaan muktamadkan rundingan masalah kewangan Malaysia Airlines 31 Dis ini

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kerajaan akan berbincang lebih lanjut dengan Khazanah Nasional Berhad bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi Malaysia Aviation Group Bhd. (MAGB) dan unitnya, Malaysia Airlines Bhd. (MAB).

 

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abd. Rahim Bakri berkata, ia bertujuan untuk mengenal pasti hala tuju syarikat khususnya dalam mengukuhkan kedudukan kewangannya dan mencari penyelesaian strategik bagi kumpulan penerbangan tersebut.
  

Katanya, kesan COVID-19 terhadap industri penerbangan secara global adalah amat buruk dan Malaysia Airlines tidak terkecuali daripada menerima impak penularan pandemik ini.

 

"MAB kini beroperasi dengan kira-kira 75% daripada pesawatnya tidak dapat diterbangkan akibat sekatan perjalanan dan turut menyaksikan kapasiti dan pendapatannya terjejas," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. 

 

Beliau menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai sejauh mana kemampuan syarikat penerbangan di Malaysia terutama Malaysia Airlines mampu bertahan dalam krisis ekonomi kesan daripada pandemik COVID-19.

 

Sebelum pandemik COVID-19, kedudukan kewangan MAB didapati telah merosot yang mana prestasi kewangan MAGB pada 2015 berjumlah RM1.1 bilion, RM700 juta (2016), RM1.2 bilion (2017) dan RM1.3 bilion pada 2018.

 

Abd. Rahim berkata, setakat 31 Ogos 2020, jumlah kecairan yang dimiliki MAGB adalah sekitar RM366 juta selain kira-kira RM578 juta yang tersedia untuk digunakan daripada dana yang diperuntukkan oleh Khazanah.

 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan, beliau memberitahu, Malaysia Airlines berdepan masalah untuk membayar sewa kepada pembiaya dan syarikat pemberi pinjaman.

 

Setakat ini, katanya, Khazanah telah menyuntik RM28 bilion kepada syarikat penerbangan itu dan apabila pandemik melanda awal tahun ini, ia hanya beroperasi pada kadar 25% sahaja. 

 

"Dalam hal ini, kerajaan ambil langkah teruskan perbincangan mengenai pelan penstrukturan semula hutang, pajakan dan sewa.

 

"Perbincangan ini menampakkan perkembangan yang baik dan kita akan tamatkannya pada 31 Disember ini," katanya. 

 

Pada 30 November lalu, MAB dilaporkan meminta sokongan kewangan dari pemegang saham tunggalnya, Khazanah berhubung rundingan mengenai penstrukturan semula hutang dengan pemiutang dan pemajak melangkaui tarikh akhir yang sepatutnya pada 11 Oktober 2020. 

 

Malah, syarikat penerbangan negara itu dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya AS$500 juta suntikan modal dari Khazanah. - DagangNews.com