Kerajaan Persekutuan lulus 2 lagi lebuh raya SSLR dan LTB bernilai RM10.62 bilion | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Persekutuan lulus 2 lagi lebuh raya SSLR dan LTB bernilai RM10.62 bilion

Seksyen Pujut Bagi Pakej Kerja Sungai Tangap – Jalan Pujut Link (WPC11) yang merupakan sebahagian daripada Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Ogos 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

MIRI 7 Ogos - Kerajaan Persekutuan turut meluluskan dua lagi projek mega di utara Negeri Sarawak di bawah Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) bernilai RM10.62 bilion.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek ini bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui 2 opsyen jaringan jalan raya.

 

Menurutnya, pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui Negara Brunei Darussalam, menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96km yang bakal ditambah baik kepada dua buah lorong dua hala.

 

Bagi mereka yang tidak mahu melalui Negara Brunei Darussalam, boleh menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km yang merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77km.

 

"Projek ini yang melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion bakal membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.

 

"Dengan penelitian teknikal yang kini di peringkat akhir, Kerajaan komited untuk memulakan pembinaan Fasa 2 Projek SSLR dan Projek LTB seawal tahun depan dengan tempoh pembinaan selama tiga hingga lima tahun.
 

"Fasa 2 Projek SSLR khususnya akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan di sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama," kata beliau.

 

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Seksyen Pujut Bagi Pakej Kerja Sungai Tangap – Jalan Pujut Link (WPC11) yang merupakan sebahagian daripada Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di sini hari ini.


 

PM
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendengar penerangan Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai laluan Sungai Tangap – Jalan Pujut Link (WPC11) yang merupakan sebahagian daripada Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di Miri hari ini.

 


Ismail Sabri berkata, pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ialah komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya secara lebih terancang, sistematik dan efisien demi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.

 

Katanya, sejajar dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) iaitu ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, projek ini memastikan pembangunan sosioekonomi yang lebih baik bagi dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Sarawak.

 

Projek ini telah dibahagikan dalam bentuk pakej meliputi beberapa fasa termasuk jajaran dari Telok Melano ke Lawas sepanjang 1,054 kilometer.

 

Ia melibatkan kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan sedia ada kepada dua lorong dua hala dari Sematan ke Miri dan pembinaan jalan baharu dari Teluk Melano ke Sematan dengan kos pembinaan sebanyak RM16.117 bilion.

 

Sehingga kini, status kemajuan Fasa 1 Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786km telah mencapai 85 peratus. Ia meliputi 11 Pakej Kerja dari Telok Melano ke Miri dan keseluruhan kerja dijangka siap pada suku pertama tahun 2023.

 

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek-projek seperti ini membuka lebih banyak peluang kepada Keluarga Malaysia di Sarawak untuk sama-sama terlibat sama ada sebagai perunding, pembekal mahupun kontraktor.

 

"Ini sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi tempatan selain melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memberi sumbangan kepada pembangunan Negeri Sarawak," kata beliau.


 

PM

 


Perdana Menteri berkata, projek ini juga bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) bagi membolehkan Sarawak mencapai taraf negeri maju seperti yang dirancang oleh Premier Sarawak.

 

"Pembangunan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini juga merupakan hasil perancangan yang rapi dan holistik antara 6 Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri melalui Highway National Development Planning (HNDP)," ujar Ismail Sabri. - DagangNews.com