KUALA LUMPUR 23 Mac - Kerajaan bersetuju mencadangkan supaya hakim Mahkamah Syariah, membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi mengelakkan masa yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu berkenaan sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan.
"Sekarang ini satu persatu bawa ke mahkamah untuk selesaikan kes perceraian. Selepas diputuskan perceraian baru, bawa sekali lagi untuk nafkah. Ia kadang-kadang memakan masa yang lama.
"Sebab itu kita bersetuju mencadangkan supaya dibawa terus dua-dua serentak, perceraian dan juga (tuntutan) nafkah untuk isteri dan anak-anak," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi membincangkan mengenai isu membabitkan undang-undang syariah, lapor Bernama.
Perdana Menteri berkata, jika dua perintah itu dapatkan dapat dilakukan serentak, maka cepatlah urusan yang lebih besar, selain daripada perceraian adalah urusan nafkah anak dapat disegerakan. - DagangNews.com








